Terlepas Dari Sumpahan ‘LISTEN LISTEN LISTEN’

Dr Mohd Faizal Musa

Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA)

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

43600, Bangi, Selangor

Satu soalan yang sering diungkapkan oleh orang awam ialah, apakah itu hak asasi manusia? Apakah kita benar-benar memerlukannya? Apakah hak asasi manusia boleh dididik untuk generasi baharu Malaysia?

Hak asasi manusia terbina berasaskan tiga tunjang moral iaitu kebebasan, persamaan dan maruah manusia; ‘human rights are undeniably based upon an appeal to three moral ideals; freedom, equality and human dignity’ (Andrew Fagan, 2011: 3). Oleh kerana definisi hak asasi manusia menurut kaca mata barat itu memelihara dan mengiktiraf hak setiap individu iaitu kebebasan, persamaan dan maruahnya, maka ya, ia benar-benar diperlukan malah didambai oleh setiap individu yang waras. Untuk menjawab soalan berikut, apakah hak asasi manusia boleh dididik untuk generasi baharu Malaysia, jawapannya ya, semestinya boleh, wajar dan wajib hak asasi manusia diasuh, dipupuk dan dididik untuk generasi baharu Malaysia. Sebelum poin berasaskan soalan-soalan di atas dihuraikan, satu kenyataan yang penting untuk dihadami ialah sebahagian besar aktivis dan penggiat hak asasi manusia bersetuju bahawa hak asasi manusia dicabul dan dinodai oleh mereka yang minda dan akalnya tidak tercerahkan, atau mereka yang mengalami gejala ketidakpedulian.

Hal ini misalnya ditekankan oleh Pengarah Pusat Hak Asasi Manusia Universiti Essex, dan juga pengarang buku The Atlas of Human Rights, Andrew Fagan. Menurut Fagan (2011: 2-3), ‘in a sense, those who continue to violate and abuse human rights may be thought of as suffering from a lack of suitably enlightened mind. Human rights violations are blamed on ingrained ignorance, and the mean for overcoming ignorance in any form is eduaction.’

Satu-satunya jalan yang ada untuk mencerahkan akal minda serta mengeluarkan seseorang manusia dari gejala ketidakpedulian adalah dengan mendidiknya, justeru, poin penting yang terkait dari perenggan-perenggan di atas adalah pendidikan hak asasi manusia menjadi keperluan. Sebahagian besar pendidik hari ini dijangka dapat bersetuju bahawa metode pengajaran yang memaksakan dengan kaedah listening passively telah berlalu, bahkan kelompok manusia yang diajar atau dididik perlulah ‘actively engaged in their own learning’ dan dalam hal ini, pengajaran dan pembelajaran yang dimaksudkan adalah pendidikan hak asasi manusia.

Terma pendidikan hak asasi manusia mencakupi pendidikan mengenai nilai-nilai demokratik serta pendidikan mengenai ‘mutual respect and understanding’. Ia didefinisikan ‘sebagai pendidikan, latihan, penyaluran maklumat yang bertujuan untuk membangunkan budaya hak asasi manusia di mana ia adalah komprehensif dan bukan sahaja untuk memberitahu mengenai hak asasi manusia itu semata-mata bahkan mengenegahkan skil-skil yang diperlukan untuk mempromosi, mempertahankan dan mengaplikasinya dalam hidup’. Pendidikan mengenai nilai-nilai demokratik menumpukan aktiviti-aktiviti yang digubal khusus untuk membantu manusia memain peranan penting dalam kehidupan demokratik. Di mana setiap individu mengamalkan hak mereka dan dalam masa yang sama bertanggungjawab terhadap masyarakat sekeliling. Ia juga menekankan pendidikan mengenai ‘mutual respect and understanding’ yang berhasrat untuk mengutara dan menjelmakan rasa hormat diri, rasa hormat terhadap individu lain dan pembaikan hubungan antara individu pelbagai tradisi budaya.

Di Barat, pendidikan hak asasi manusia diajarkan bukan sahaja kepada anak-anak sekolah, tetapi lebih penting kepada guru. Ia bukan sahaja diajarkan kepada pelajar universiti tetapi pendidikan hak asasi manusia kini dilatih, diajar dan dikursuskan buat penguatkuasa undang-undang, pembuat polisi dan dasar, para administrasi, seniman dan tentunya ibu-bapa (OSCE, 2009: 9). Di peringkat sekolah, dan pengajian tinggi antara komponen-komponen besar yang terkandung dalam pendidikan hak asasi manusia yang mensasarkan generasi baharu ini antara lain adalah a) pendidikan gender; b) pendidikan inter-budaya anti rasisme; c) pendidikan personal dan nilai-nilai sosial; d) pendidikan global; e) pendidikan untuk pembangunan berterusan; f) pendidikan kewarganegaraan; g) pendidikan keamanan; h) pendidikan sivik (Nancy Flowers, 2011: 4-5).

Sudah tiba masanya hak asasi manusia dididik untuk generasi baharu Malaysia, malah pendidikan hak asasi manusia ini seharusnya diterapkan kepada semua peringkat masyarakat bagi membolehkan hak-hak asasi seseorang individu dihormati serta dipertahankan. Sehingga hari ini, cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia supaya pendidikan hak asasi manusia diajarkan di sekolah-sekolah menengah masih dipandang sepi (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, 2006). Pun tanpa menunggu kelengahan tersebut, pendidikan hak asasi manusia masih perlu diperkenalkan di semua peringkat. Sebagai contoh, untuk permulaan, sesebuah universiti boleh mengundang figur publik yang dapat diteladani untuk satu sesi bersama siswa baharu. Figur tersebut hendaklah faham, mahir dan lebih jelas, mengamalkan hak asasi ke darah dagingnya supaya ia dapat ditonjolkan dalam sesi tersebut. Ketika figur tersebut mempromosi hak-hak demokratik seorang warganegara misalnya, para siswa hendaklah tidak mendengar sahaja atau listening passively, siswa sebaliknya digalakkan supaya menyuarakan rasa dan gejolak dalam diri yang bergumulan. Mereka harus secara aktif berpartisipasi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran tentang hak-hak demokratik seorang warganegara dengan membantah jika berasa perlu, atau menyumbang pandangan berbeza. Penglibatan sedemikian meski terlihat vokal dan melulu hendaklah disambut serta disahut oleh pihak universiti atau educator dengan baik. Pihak universiti malah sewajarnya mencambah semangat, membaja harapan dan idea baharu dan tidak memperolokkannya. Pendidikan hak asasi manusia bermula secara sangat halus, iaitu dengan menghormati hak setiap manusia untuk berbeza pandangan lantas menghormati pilihan kehendaknya. Selain diperlakukan secara terhormat, seorang siswa, atau individu yang berbeza hendaklah tidak dinafikan haknya untuk bersuara.

Merujuk kepada insiden antara Suara Wanita 1 Malaysia yang direpresentasikan oleh Sharifah Zohra Jabeen dan cik Bawani KS, pendidikan hak asasi manusia sama sekali tidak akan berjaya dalam kerangka ‘when I speak, you listen’ kerana era Hamurabi dengan kuasa kudus (divine right) telah lama berakhir. Kerangka ‘when I speak, you listen’ adalah natijah dari ‘you owe me, so shut up’. Kerangka listen, listen listen ini adalah ciri autoritarianisme kerana kuasa menjadi kudrat (might is right). Ia diterjemahkan oleh Sharifah Zohra Jabeen dengan menolak hak cik Bawani untuk bersuara secara verbal dan secara aksi di mana mikrofon beliau ‘dirampas’. Ia adalah lambang jelas bagaimana suara seorang siswa dirampas secara kasar. Lebih menyedihkan ia berlaku di sebuah universiti di mana-mana pendidikan hak asasi manusia wajar diajarkan.

Namun secara positifnya, klip video selama 24 minit yang tersebar secara meluas di laman sesawang dan laman sosial antara Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin dan Bawani KS itu dengan sendirinya telah menjadi satu bentuk pendidikan hak asasi (secara informal) yang mempunyai impak meluas, tersendiri dan sungguh fenomenal di Facebook dan forum Internet. Klip tersebut membocorkan ‘rahsia’ bagaimana peredaan sikap dilakukan di kampus-kampus. Dalam analisis psikologi sosial, forum yang dihadiri oleh Bawani KS dan diceramahkan oleh Sharifah Zohra Jabeen tersebut adalah pengesahan apa yang pernah dinyatakan oleh K. Ramanathan (1989: 53) sebagai ‘teknik-teknik brainwashing digunakan dalam penyiaran sesuatu ideologi’ di mana propaganda dan indoktrinasi politik dilakukan terhadap rakyat.

Satu hal yang menjadikan forum itu berbeza ialah apabila Bawani KS bingkas dan menyuarakan pandangannya. Samada hujah cik Bawani KS berwibawa atau benar, adalah satu soal lain, beliau ternyata terdidik dengan hak-hak asasi dan fahami sepenuhnya ‘respect and human rights’ lalu mahu merungkaikan ‘cengkaman kerangka when I speak, you listen’ tersebut. Sekiranya cik Bawani KS tidak bangun dalam forum itu, kita akan melihat satu senario di Pyongyang, Korea Utara, di mana semua orang bersorak dan bertepuk tangan mengeyakan propaganda dan indoktrinasi politik yang sedang berjalan. Apa yang Suara Wanita 1 Malaysia tidak sedar ialah, dalam era laman sosial, boleh dan telah pun menjadi medium pendidikan hak asasi yang ampuh, tindakan mensenyapkan Bawani KS menjadi satu sukatan pelajaran hak asasi manusia yang sungguh berkesan. Klip video selama 24 minit itu mendatangkan kejijikan buat sebahagian besar pengulas di internet, kerana secara mendadak mereka sudah terlepas dari sumpahan ‘listen listen listen’. Secara mendadak pengunjung dan penonton klip video tersebut di internet tersedar bahawa selama ini mereka sendiri pernah menjadi tukang sorak yang tidak berani itu, dan dengan sendirinya figur Bawani KS yang berani telah menjadi figur terhormat. Natijah ini dapat dirungkai berdasarkan kerangka sosiologi tertentu.

Sebagai seorang sosiolog, saya sangat tertarik melihat insiden antara Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin dan Bawani KS  ini kerana ia menjelaskan apa yang diungkap oleh Karl Wolfgang Deutsch’s (1964) mengenai ‘political behavior’ dalam buku beliau yang tersohor, The Nerves of Government. Terdapat tiga sumber yang membentuk political orientation seseorang individu. Tiga pengaruh dari sumber berbeza ini memberikan efek kekal. Salah satu pengaruh paling besar yang membentuk pandangan atau sikap politik seseorang itu adalah keluarganya.  Adalah satu kelaziman ibu-bapa akan mewariskan pandangan atau nilai ideologi yang mereka sikapi kepada anak-anak. Kedua, pandangan politik seseorang individu akan diperolehi daripada ‘educational authority figures’ seperti guru di sekolah, atau pensyarah di universiti. Akhir sekali, ‘peers’ turut memain peranan yang kuat, malah sebenarnya paling kuat berbanding dua pengaruh sebelumnya. Dalam hal ini  ‘peers’ bermaksud kumpulan teman-teman yang saling membentuk pengetahuan, tabiat dan orientasi seseorang individu. Dalam erti kata lain ‘peers’ adalah entiti sosial yang merubah cara pandang atau meneguhkan pandangan politik seseorang.

Hari ini, sosialisasi dimudahkan oleh jaringan yang tidak dapat dibendung iaitu Facebook dan Twitter. Ia menjadi satu bentuk jaringan ‘peers’ yang sangat berpengaruh  khususnya untuk para remaja (dan siswa) menyalur pandangan, saling bertukar idea dan harapan. Bahkan, hari ini, ‘peers’ dalam kalangan Facebook dan Twitter ini melampaui teman mereka secara fizik. Dalam erti kata lain juga, laman sosial ini dapat berfungsi menjadi pendidik hak asasi manusia yang berkesan meski tidak langsung.

‘Peers’ seumpama ini sudah pun ditelah oleh Deutsch sejak tahun 60an. Menurut Deutsch, komputer dan alam siber akan memberi perubahan besar pada aktivisme masyarakat. Aspek paling dominan yang dibincangkan oleh Deutsch dalam bukunya adalah apa yang beliau namai sebagai ‘feedback and equilibrium’. Menurut beliau, ‘feedback’ adalah jaringan komunikasi yang berupaya menggerakkan perubahan tabiat ekoran berlakunya pertukaran informasi; ‘that produces action in response to an input of information, and includes the results of its own action in the new information by which it modifies its subsequent behavior (Karl Wolfgang Deutsch, 1964: 88).’ Secara mudahnya, ‘feedback’ adalah sejenis ‘output’ yang kembali kepada sistem sebagai ‘input’. Sementara itu, ‘equilibrium’ adalah kembali kepada keadaan asal ketika ia dikecahkan; ‘return to a particular state which was disturbed.’

Apa yang menarik, ‘feedback’ ini dapat dianalisa dengan formula ‘lag and gain’. Menurut Deutsch, analisa ‘lag and gain’ ini diperhatikan pada tempoh masa yang membolehkan satu-satu ‘feedback’ negatif itu bergetar dalam masyarakat sehingga ia akhirnya kembali kepada posisi asal dalam bentuk yang telah dibaikpulihkan sebagai satu ‘gain’ yang positif; ‘lag is the time that elapses between the moment a negative feedback system reaches a certain distance from its goal and the moment it completes corrective action corresponding to that distance. Gain means the extent of the corrective action taken.’

Dalam insiden Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin dan Bawani KS, ‘lag’ yang diambil memakan minggu, dalam tempoh itu Bawani KS menjadi ‘mangsa’ dan mengalami ‘kesunyian’ sebelum ia terjelma kembali dalam bentuk yang telah dibaikpulihkan lalu disambut sebahagian besar masyarakat atau paling tidak kelompok ‘peers’ sebagai sesuatu yang harus dibela. Seolah-olah masyarakat, paling tidak penumpu internet, tersedar dan dipulihkan dari satu sumpahan ‘listen listen listen’ selama beberapa dekad. Analisa berasaskan ‘lag and gain’ ini menunjukkan Sharifah Zohra Jabeen dan propaganda yang direpresentasinya di pihak yang salah lantas memerlukan korektif yang besar. Maka tidaklah menghairankan, pemimpin-pemimpin parti yang diasosiasikan dengan Sharifah Zohra Jabeen dengan segera menjarak diri daripadanya, malah menafikan pengetahuan mereka dengan beliau (lihat http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/as-varsity-video-goes-viral-umno-leaders-move-to-head-off-storm/). Getar yang berjalan dalam tempoh minggu itu menjadikan Bawani KS kini mendapat momentum ‘peers’ yang lebih besar, lebih besar daripada jumlah tukang ejeknya di dalam dewan tersebut. Analisa ‘lag and gain’ malah menunjukkan kerugian di pihak  Sharifah Zohra Jabeen yang kini mengalami ‘kesunyian’ seperti yang dialami oleh Bawani KS sebelumnya.

Berasaskan analisa atau formula yang dikemukakan oleh Karl Wolfgang Deutsch ini, kerugian adalah jelas ditempiasi oleh parti yang diasosiasikan dengan Sharifah Zohra Jabeen. Maka, tidak juga menghairankan jika parti yang bertentangan dan membangkang gagasan yang diwakili oleh Sharifah Zohra Jabeen itu memanfaat dan menuai hasil ‘lag and gain’yang tidak terjangka ini demi kepentingan mereka. Tambahan pula, keadaan sekarang adalah sangat sensitif memandangkan setiap kelompok politik sedang merebutkan pengaruh dan dokongan.

Nilai-nilai kemanusiaan (hablumminannas) mendapat tempat yang besar dalam Islam malah disangkutkan dengan nilai-nilai ketuhanan (habluminallah). Hak-hak asasi manusia memang dididik secara tegas dalam ajaran Islam. Bahkan transendensi budaya hak asasi tersebut terbentuk dari tiga asas utama:

‘Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.’ (Ali-Imraan 104).

Islam melihat umat yang gagal dan tidak baik adalah umat yang gagal mempertahankan budaya hak asasi dengan membiarkan hak asasi manusia dicabul dan dinodai oleh mereka yang minda dan akalnya tidak tercerahkan. Islam juga mengecam mereka yang mengalami gejala ketidakpedulian. Kelihatannya satu-satu pengamal transendensi budaya hak asasi manusia dalam klip video tersebut adalah Bawani KS. Seperti yang telah dinyatakan sebelumnya, apa yang paling menarik dari insiden ‘listen listen listen’ ini adalah pendidikan hak asasi manusia telah diajarkan secara tidak tersangkakan sehingga membuahkan kesedaran demokratik yang sihat.

 

RUJUKAN

Deutsch, KW. 1964. The Nerves of Government: Models of Political Communication and Control. Free Press. New York.

Fagan, A. 2011. An Education in Human Rights. Dlm. Soka Gakkai International Quarterly. October: 2-3.

Flowers, N. 2011. Preparation for a Responsible Life. Dlm. Soka Gakkai International Quarterly. October: 4-5.

OSCE Organization for Security and Co-operation in Europe. 2009. Human Rights Education in the School Systems of Europe, Central Asia and North America: A Compendium of Good Practice. Office for Democratic Institutions and Human Rights. Warsaw.

Ramanathan, K. 1989. Asas Sains Politik. Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd. Kuala Lumpur.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia. 2006. Research on Knowledge and Practice of Human Rights in Secondary School. Human Rights Commission of Malaysia. Kuala Lumpur.

The Malaysian Insider. 2013. As varsity video goes viral, Umno leaders move to head off storm. http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/as-varsity-video-goes-viral-umno-leaders-move-to-head-off-storm. 15 Januari.