Tidak Timbul Isu #SayaZahra atau #SayaBukanZahra

Gambar: The Malaysian Insider
Gambar: The Malaysian Insider

Saya tak faham rakyat Malaysia yang mesti meremeh-remehkan isu besar dan memperbesar-besarkan isu remeh.

Apabila seorang anak muda bernama Zahra berucap di atas pentas di hadapan Timbalan Perdana Menteri, ramai pula yang menumpukan perhatian kepada Zahra.

Saya tak faham mereka ini. Isunya bukan #SayaZahra atau #SayaBukanZahra. Isunya bukan perancangan kewangan peribadi atau budak-budak terlalu manja (“spoiled brats”).

Itu semua penting juga, tapi takkan kita nak bincang pasal isu itu di hadapan penggubal dasar (policymaker)?

Apabila diberi peluang meluahkan perasaan anak muda di hadapan Timbalan Perdana Menteri, mestilah kita patut mengambil kesempatan untuk menarik perhatian kepada isu-isu besar.

Nasib baiklah Zahra tidak berucap di hadapan TPM dan mengatakan, “Saya tidak mampu memiliki rumah tetapi tidak mengapa. Saya boleh menyimpan duit 20 tahun lagi dan mengambil pinjaman dan berhutang. Saya bersyukur kepada kerajaan.”

Kalau Zahra berkata begitu, tentunya golongan yang kini mengkritik Zahra akan menuduhnya membodek kerajaan.

Apa yang kita mahu sebenarnya?

Saya lihat kebanyakan reaksi terhadap ucapan Zahra ini ibarat sebuah cerita yang pernah saya dengar pasal ketam. Sekumpulan ketam diletakkan di dalam sebuah kotak di tepi pantai, tetapi kotak itu tidak ditutup.

Apabila penangkap ketam ditanya tidakkah dia khuatir bahawa ketam-ketam tersebut akan panjat keluar dari kotak itu, penangkap ketam menjawab,

“Tidak perlu risau. Begini sifat ketam. Apabila seekor ketam ingin memanjat keluar dari kotak, ketam-ketam lain akan mengheretnya jatuh. Apabila seekor lagi cuba keluar, mereka sekali lagi berpakat untuk menariknya ke bawah.”

Apa isunya di sini? Isu kelambungan harga rumah, isu pengangkutan awam yang tidak efisien, isu harga kereta yang tinggi disebabkan pelbagai cukai dan tarif protektif, isu mobiliti sosial, isu peluang untuk anak muda.

Golongan yang mengkritik Zahra itu bukan tidak betul teguran mereka. Memang wajar anak muda tidak patut mengharapkan kerajaan untuk menyelesaikan semua masalah mereka dan disuap (“spoon-feed”) oleh kerajaan.

Kami memang perlu ada perancangan kewangan dan tidak menanggung gaya hidup yang luar dari kemampuan kami. Tetapi kritikan mereka tidak tepat dan tidak kena pada tempatnya.

Zahra mengambil kesempatan untuk meluahkan kebimbangan ramai anak muda, malah semua warga bandar.

Mereka yang berkata “Saya sendiri kena kerja lima tahun sebelum dapat membeli rumah di luar KL” itu sebenarnyalah juga mengakui bahawa harga rumah di bandar terlalu mahal.

Habis, rumah-rumah yang dibina itu untuk siapa sebenarnya? Itulah isu yang perlu kita minta penggubal dasar jawab. Kita mahu perancangan bandar dan pembinaan rumah mampu milik! (bukan rumah mampu tengok ya)

Sukar untuk saya percaya golongan yang cuba meremehkan isu yang dibangkitkan. Terkilan. Apakah kita seronok mengoyakkan orang lain ibarat ketam-ketam di dalam kotak itu?

Disebabkan sesetengah orang sukar nak keluar dari kotak, mereka nak menghalang orang lain keluar dari kotak itu, malah mempersendakan orang yang cuba mempersoalkan mengapa mereka semua harus dikurung di dalam kotak itu.

Kritikan paling ganjil sekali ialah mereka yang mengatakan Zahra membawa unsur perkauman, malah rasis.

Saya berbangsa Cina dan telah menonton video ucapan itu. Saya langsung tidak berpendapat Zahra rasis.

Wahai bijakpandai sekalian, fahamilah konteks. Si dia memberi ucapan di MTEM, sebab itu ditekankan “KeMelayuan” itu. Cuba bersangka baik. Jangan menaruh prasangka dan lihat yang buruk-buruk sahaja.

Bagi saya, tidak timbul isu #SayaZahra atau #SayaBukanZahra. Jika ada orang yang bertanya kepada saya sama ada saya Zahra atau tidak, saya akan melihat orang itu seolah-olah dia gila atau tidak berpelajaran.

Isunya lebih besar dan merangkumi hal negara dan masyarakat, dan melibatkan semua orang merentasi kaum.

Jika sekadar memlih untuk menyokong Zahra atau tidak, isu ini pasti akan basi selepas popularitinya merudum beberapa hari lagi.

Tetapi isu rumah, isu kos sara hidup, isu pengangkutan awam, isu harga kereta, isu GST, pasti masih akan membebankan kita semua.

Jadi, kau nak bincang isu mana satu sekarang ini?