TPPA: Apakah Soalan Yang Lebih Tepat?

Inequality

Lihat Fakta Kekayaan di Malaysia

Terpampang di muka hadapan Berita Harian, 7 November 2015 bahawa:

  1. “TPPA tak gugat hak bumiputera”
  2. “Teks akhir Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dimuat naik di laman web MITI semalam mengesahkan hak bumiputera dan kedaulatan negara tetap terpelihara”
  3. “Kontrak kerajaan kekal 30% diperuntukkan kepada kontraktor bumiputera selain pembekal dan pengilang menikmati harga keutamaan, bagi barangan, perkhidmatan serta kontrak pusat”
  4. “Semua syarikat milik kerajaan (SOE) diberi kelonggaran untuk memberi keutamaan kepada pembekal bumiputera dan PKS sehingga 40% daripada pembelian tahunan”.

Mengapa tekanan yang begitu kuat ke atas jaminan hak bumiputera?

Pada hakikatnya, kalau mengikut makalah Institut Penyelidikan Khazanah yang bertajuk “Antara Dua Darjat”, majoriti kaum Bumiputera hanya mempunyai purata simpanan sebanyak RM536 dalam ASB pada 2014.

Mereka merupakan 72% pemegang saham ASB terbawah, iaitu 6.16 juta penyimpan, dan Laporan Tahunan 2014 Amanah Saham Bumiputera (ASB) menunjukkan purata simpanan mereka semakin berkurangan.

Bandingkan gambaran ini dengan purata simpanan golongan kaya, iaitu kumpulan teratas yang merangkumi 0.2% pemegang saham ASB.

Mengikut Institut Penyelidikan Khazanah, purata simpanan golongan teratas ini, iaitu 16,928 penyimpan, pada tahun 2014 adalah RM745,038, ataupun lebih kurang 1,400 kali ganda dari golongan terbawah 72%.

Malah, purata simpanan mereka juga meningkat sebanyak 7.7% dari tahun 2012 hingga tahun 2014. Mengikut laman web institut tersebut, makalah ini pernah disiarkan di Sinar Harian pada 23hb Mei 2015.

 

Rising Cost of Living

Jadi?

Mengapakah analisa Institut Penyelidikan Khazanah itu penting? Kerana simpanan kaum Bumiputera di ASB menjadi proksi kepada kadar tabungan simpanan kaum ini di Malaysia.

Ia menunjukkan keupayaan kaum bumiputera untuk menyimpan duit.

Sekiranya majoriti kaum bumiputera gagal meningkatkan simpanan mereka, boleh dikatakan bahawa ia menunjukkan kos yang ditampung semakin tinggi.

Mereka barangkali berpendapatan rendah atau berniaga secara kecil-kecilan, dan bukan golongan pemodal besar.

Sekiranya gambaran ini tepat, jaminan hak bumiputera di bawah TPPA mungkin hanya untuk kepentingan golongan tertentu sahaja.

Sebelum sesiapa cuba menggunakan intimidasi terhadap saya, renunglah juga makalah Institut Penyelidikan Khazanah tentang “Berapa pendapatan rakyat Malaysia?”.

Mengikut makalah ini, “Data menunjukkan bahawa gaji median bulanan dan upah di Malaysia pada tahun 2013 adalah RM 600 lebih daripada gaji minimum.

Dengan erti kata lain, separuh daripada pekerja-pekerja di Malaysia berpendapatan kurang daripada RM 1,500 sebulan [gaji purata adalah lebih tinggi sedikit, sebanyak RM 2052].

Jika anda bekerja di kawasan bandar, gaji median anda lebih tinggi, iaitu RM 1,680 berbanding dengan RM 1,040 untuk pekerja luar bandar.

Statistik ini, yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan, adalah berdasarkan kepada gaji yang diterima oleh pekerja kerajaan atau swasta sepenuh masa.

Ia meliputi gaji pokok, elaun kos sara hidup, dan lain-lain elaun tetap yang dijamin atau bayaran pekerjaan lebih masa.

Walau bagaimanapun, ia tidak termasuk bonus dan ganjaran serta bayaran tidak tetap yang lain.

Profit Distribution

Gaji Rendah Yang Sedia Ada – Apa Sebabnya?

Seperti yang dinyatakan dalam ‘Keadaan Isi Rumah’, gaji atau upah yang rendah sebahagiannya adalah kerana majoriti tenaga kerja Malaysia, atau 6.6. juta pekerja, berkemahiran rendah.

Hanya sebilangan kecil (24%) mempunyai kelayakan lepasan SPM.

Pun begitu, hakikatnya memang syarikat-syarikat di Malaysia memberi gaji yang rendah kepada pekerja mereka. Ini jelas dilihat daripada pengagihan pendapatan negara; hanya 32.9% pergi kepada pekerja.

Ini hanya lebih sedikit berbanding dengan India, manakala selebihnya berbalik kepada pemodal.

Dibandingkan dengan negara-negara lain, peratusan Malaysia dianggap rendah; Singapura 42.3%, China 48%, UK 55%, dan Amerika Syarikat 55.7%.”

Corporations TPP

Implikasinya – TPPA Untuk Siapa?

Kedua-dua makalah Institut Penyelidikan Khazanah menunjukkan bahawa persoalan yang patut dijawab dalam teks TPPA adalah sama ada hak pekerja dan peniaga kecil-kecilan terjamin dari segi:

  1. Pendapatan
  2. Kos kesihatan
  3. Hak akses kepada sistem yang adil untuk menyelesaikan sebarang pertikaian dengan majikan atau pihak berkuasa yang lain.

Agak susah untuk menjawab soalan-soalan ini kerana teks TPPA di laman web MITI masih belum diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia.

Ini bagi membolehkan lebih ramai memahami teks TPPA, apa yang terangkum di dalamnya dan hak siapa yang sebenarnya terjamin.

Sekiranya hujah yang menyokong TPPA adalah bahawa ia akan meluaskan pasaran untuk barang keluaran Malaysia, cubalah tanya sama ada pasaran itu akan memanfaatkan golongan berpendapatan rendah di Malaysia?

Sejak kemerdekaan dan pembentukan Malaysia, sekiranya keupayaan untuk menyimpan duit pun tidak dapat ditingkatkan malah berkurang dalam tempoh dua tahun lepas, apa maknanya pasaran luas untuk negara ini?

TPPA ini untuk kepentingan kerajaan atau kepentingan rakyat?

Tuntutan kesatuan-kesatuan buruh di Malaysia untuk berdialog bersama kerajaan jelas menunjukkan kebimbangan para pekerja belum benar-benar dipertimbangkan berbanding dengan kepentingan perdagangan negara.

Gerakan pemerhati TPPA juga turut meluahkan kebimbangan mereka, bahawa bab buruh di bawah TPPA akan membuka peluang untuk menyalahgunakan sistem mahkamah perindustrian Malaysia.

Tambahan pula, pihak Persekutuan Majikan Malaysia juga berpendapat bahawa pemeteraian TPPA boleh memberi kesan negatif terhadap pasaran buruh tempatan.

Sudahlah gaji minima tidak sepadan dengan kenaikan kos hidup di negara ini, apatah lagi kalau hak pekerja dan peniaga kecil-kecilan tidak dilindungi dengan teks yang lebih menyeluruh dan jelas tentang hal-hal ini.