Transgender & Agama

Transgender Flag

Salahkah Transgender?

Benarkah kewujudan golongan transgender dianggap salah di sisi agama?

Umumnya, seperti yang dinyatakan menerusi makalah bertajuk “Transgender dalam Mitos Hindu”, kehadiran golongan berkenaan bukan sesuatu yang baru dalam budaya India-Hindu.

Di Malaysia pula, topik berkaitan transgender amat kurang diperkatakan secara positif, adil dan bermaruah. Sebaliknya, selalu sahaja diberikan gambaran paling buruk oleh media arus perdana.

Saya menyebut dalam makalah “Minoriti Perlu Berani Bersuara” bahawa golongan minoriti tidak sekadar merujuk kepada “kumpulan kecil” berdasarkan kaum dan agama.

Sebaliknya turut merujuk kepada pendirian politik, ideologi, mazhab, sosial, bahasa, seksualiti dan pelbagai lagi kedudukan yang menjadikan kelompok itu hilang peluang untuk bersuara; selain ditindas golongan majoriti yang berkuasa.

Atas dasar mahu memberikan ruang dan peluang kepada golongan transgender bersuara, maka saya mengaturkan pertemuan dengan Sharan Suresh di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 14 November 2013.

Beliau bukan sahaja seorang transgender tetapi juga terlibat secara langsung dalam usaha murni dan berani memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai golongan berkenaan.

Berikut adalah sebahagian transkrip perbualan kami yang boleh dijadikan asas bagi memulakan dialog dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, ideologi dan agama.

PD 1Pelajar
Usaha dilakukan untuk mendidik mahasiswa dan orang ramai mengenai transgender.

Uthaya: Orang sering mengaitkan golongan transgender dan homoseksual dengan aktiviti seks tidak bermoral. Apakah komen anda?

Sharan: Istilah homoseksual, heteroseksual, biseksual dan sebagainya hanyalah label yang digunakan orang. Identiti gender tidak ada apa-apa kaitan dengan orientasi seks seseorang.

Sudah terbukti secara saintifik bahawa setiap lelaki, pada salah satu peringkat hidupnya (khususnya pada usia remaja), dia akan tertarik kepada sebilangan wanita dan sebilangan lelaki.

Individu lelaki itu tidak semestinya tertarik secara seksual kepada lelaki lain. Cuma, hubungannya dengan individu yang dia tertarik itu lebih intim berbanding dengan individu lain.

Situasi seperti ini pula tidak semestinya hanya berlaku dalam kalangan pelajar lelaki di sekolah lelaki, atau pelajar perempuan di sekolah perempuan seperti selalu diperkatakan. Sebaliknya boleh juga berlaku di sekolah campur.

Bagaimanapun, norma masyarakat yang menjadi penghalang dan membuatkan remaja heteroseksual berkenaan terpaksa memendamkan terus perasaan tertarik itu, walaupun dia bukannya tertarik secara seksual kepada rakannya itu.

Norma dalam masyarakat menetapkan bahawa seorang lelaki hanya boleh tertarik kepada perempuan dan begitu juga sebaliknya. Kononnya kasih-sayang hanya boleh dikongsikan dengan orang yang kita cintai dan tertarik secara seksual – iaitu individu daripada jantina yang berlainan.

Pandangan seperti ini sebenarnya berasaskan pendirian berciri politik dalam agama tertentu pada zaman dahulu yang mahu supaya pasangan berlainan jantina segera berkahwin dan melahirkan anak. Supaya jumlah penganut agama berkenaan dapat ditambah dengan kadar paling segera.

Transgender Case

Bercakap mengenai agama, apakah kewujudan golongan transgender bertentangan dengan ajaran agama?

Kita tidak dapat menolak kemungkinan bahawa ajaran agama sebenarnya tidak menghalang kewujudan golongan transgender, iaitu individu yang memiliki anggota tubuh lelaki tetapi mempunyai identiti gender wanita.

Hakikat yang perlu diakui adalah bahawa kewujudan individu transgender berlaku secara biologikal sejak dalam kandungan dan bukannya dibuat-buat atau ditiru semasa kanak-kanak atau remaja.

Tuhan yang menciptakan lelaki dan wanita jugalah yang menciptakan golongan transgender. Tuhan tidak pernah melakukan kesilapan dalam melaksanakan tugas-Nya. Pihak yang keliru adalah manusia sendiri; bukannya Tuhan.

Misalnya, wujud pelbagai perkara yang bertentangan dan bercanggah dalam ajaran agama seperti difahami oleh manusia. Sebab itulah ada pelbagai agama, kepercayaan, mazhab dan aliran pemikiran.

Terdapat juga klasifikasi yang berbeza-beza bagi Tuhan; walaupun dalam kalangan agama yang mengakui hanya ada satu Tuhan.

Perbezaan kepercayaan, mazhab, agama dan pandangan turut membawa kepada persengketaan dan perang kerana masing-masing percaya bahawa apa yang dipercayainya sahaja adalah betul.

Walaupun mereka menegaskan Tuhan adalah satu, mereka masih berbalah kerana mempunyai pendirian yang berbeza.

Sekiranya diperhatikan dalam soal agama, apa yang diperjuangkan pihak tertentu adalah berdasarkan apa yang mereka percayai sebagai benar; tetapi tidak semestinya seratus peratus seperti apa yang ditetapkan oleh Tuhan.

Adalah tidak adil jika penganut satu agama memaksa penganut agama lain menerima apa yang dipercayainya.

Janganlah semata-mata kerana orang lain mempunyai cara dan kepercayaan yang berbeza terhadap Tuhan, maka kita membuat keputusan bahawa mereka berdosa dan tidak akan diterima oleh Tuhan.

Perbandingan yang sama boleh digunakan dalam isu berkaitan transgender.

Situasi berkaitan perubatan dan biologi cuba disempitkan menerusi pandangan sempit pihak tertentu berdasarkan pengetahuan mereka yang amat sedikit terhadap ajaran sebenar dalam agama.

Mereka tidak tahu apa itu transgender. Mereka tidak mempunyai pengetahuan agama yang sepenuhnya. Akan tetapi mereka mahu menetapkan peraturan terhadap apa yang mereka sendiri tidak tahu!

Istilah yang biasa digunakan dalam filem Tamil adalah “aravani” apabila merujuk kepada golongan transgender. Apakah label ini sesuai?

Sharan Suresh menerima realiti bahawa dia adalah transgender.
Sharan Suresh menerima realiti bahawa dia adalah transgender.

Saya ada menyebut tadi mengenai beberapa label seperti homoseksual, heteroseksual dan biseksual. Semua itu hanyalah label yang diberikan oleh orang untuk memudahkan rujukan.

Bagi individu yang memiliki anggota tubuh (fizikal) lelaki tetapi identiti gender wanita, istilah yang diperakui dan digunakan pada peringkat antarabangsa adalah “transgender”.

Pelbagai istilah lain turut digunakan di pelbagai negara. Di beberapa negara, termasuk Filipina, label/istilah yang digunakan adalah “gay” tanpa melakukan klasifikasi sama ada homoseksual, biseksual, lesbian, transgender atau sebagainya.

Penggunaan istilah atau label ini adalah bagi menggambarkan kedudukan identiti individu berkenaan yang berada pada persimpangan antara identiti seks (tubuh dan alat kelamin) dan identiti gender (biologikal dan tertanam dalam minda sejak dalam kandungan).

Istilah binari yang biasa digunakan apabila merujuk kepada gender adalah “lelaki” (male) dan “perempuan/wanita” (female).

Dalam keadaan ini, kita lupa bahawa gender bukan berciri binari (dua) kerana sudah terbukti secara saintifik bahawa gender tidak hanya terikat kepada “lelaki” dan “perempuan”.

Atas sebab itulah mana-mana individu yang tidak termasuk – atau tidak memenuhi sepenuhnya kriteria konvensional dalam masyarakat – bagi kategori “lelaki” atau “wanita” diletakkan di bawah label “transgender”.

Kriteria konvensional yang saya maksudkan adalah norma dalam masyarakat yang hanya melihat pada kategori “lelaki” dan “wanita” berdasarkan anggota tubuh dan alat kelamin lelaki (zakar) atau alat kelamin wanita (faraj).

Secara konvensional, apabila seorang bayi yang dilahirkan itu ada zakar, maka diberikan identiti gender sebagai “lelaki”.

Amalan ini tidak tepat kerana kehadiran zakar atau faraj adalah “identiti seks” dan tidak semestinya mewakili “identiti gender”.

Bagaimana pula dengan individu transeksual?

Istilah “transeksual” merujuk kepada individu yang sedar bahawa identiti seks yang dimilikinya (fizikal) adalah berbeza dengan identiti gender dalam mindanya (sejak dalam kandungan).

Misalnya seorang individu yang dilahirkan dengan alat kelamin lelaki tetapi memiliki identiti gender wanita.

Individu berkenaan memilih untuk hidup sebagai wanita, iaitu berdasarkan identiti gender wanita yang dimiliki (dalam minda) dan bukan identiti seks (alat kelamin).

Individu transeksual tahu bahawa identiti seks – iaitu alat kelamin dan ciri-ciri fizikal lain – boleh diubah.

Bagaimanapun, identiti gender yang tertanam dalam minda sejak dalam kandungan akan terus kekal hingga akhir hayat.

Secara mudah, “transgender” merujuk kepada keadaan umum individu yang memiliki identiti seks (fizikal) dan identiti gender (naluri) yang bertentangan.

Keadaan “transeksual” pula umpama subset iaitu salah satu daripada pelbagai label yang berada di bawah kategori “transgender”.

Misalnya, saya sendiri. Saya dilahirkan dengan alat kelamin lelaki (zakar) tetapi identiti gender saya sejak bayi adalah perempuan. Maknanya saya menyedari bahawa saya sebenarnya seorang individu perempuan.

Sejak kanak-kanak hingga kini, saya hidup sebagai seorang wanita. Identiti gender ini akan kekal hingga akhir hayat saya.

Adakah transgender akan berusaha menjalani pembedahan bagi mengubah identiti seks mereka?

Apabila bercakap mengenai golongan transgender, tidak semestinya mereka perlu membuang “identiti seks” (zakar) melalui pembedahan.

Memang ada transgender yang membuat pembedahan membuang zakar kerana mereka mampu dari segi kewangan. Akan tetapi, ramai yang tidak mampu menampung kos pembedahan yang memang amat mahal.

Pada masa sama, ada juga transgender yang tidak memikirkan soal membuang alat kelamin mereka kerana apa yang lebih penting adalah identiti gender (minda) dan bukannya identiti seks (alat kelamin).

Sebenarnya, sehingga awal tahun 1980-an, pembedahan membuang zakar bagi golongan transgender dilakukan secara sah di Hospital Universiti (kini Pusat Perubatan Universiti Malaya).

Selepas seorang individu transgender selesai menjalani pembedahan membuang zakar (identiti seks) di sana, maklumat jantina pada kad pengenalan boleh diubah secara sah di Jabatan Pendaftaran Negara.

Sesi perbincangan khas mengenai transgender berlangsung di Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Sesi perbincangan khas mengenai transgender berlangsung di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Mengapa pula perkhidmatan pembedahan itu dihentikan?

Masalah hanya berlaku selepas tahun 1982 apabila keluar fatwa mengharamkan pembedahan menukar jantina di kalangan orang Islam.

Apa yang menyedihkan adalah bahawa ramai yang tidak memahami hakikat bahawa golongan transgender bukan mahu “menukar jantina”.

Sebaliknya transgender mahu memastikan “identiti seks” (fizikal) selaras dengan “identiti gender” yang tertanam dalam minda sejak masih berada dalam bentuk embrio di dalam kandungan ibu.

Seperti saya katakan, identiti seks boleh diubah tetapi identiti gender kekal hingga mati.

Kalau kita perhatikan, istilah “mukhannathun” terdapat dalam Hadis sahih untuk merujuk kepada golongan transgender iaitu individu yang lahir dengan alat kelamin (identiti seks) lelaki tetapi memiliki sepenuhnya identiti gender wanita.

Dinyatakan dengan jelas bahawa jika keadaan “mukhannathun” (transgender) itu wujud sejak kecil (kanak-kanak), maka individu terbabit tidak perlu rasa bersalah atau malu dengan keadaan dirinya.

Menurut Hadis, “mukhannathun” atau “mukhannas” adalah seorang individu (lelaki) yang menyerupai wanita.

Ada dua jenis “mukhannathun” dirujuk di mana salah satu adalah lelaki (identiti seks) yang benar-benar memiliki identiti gender wanita dan mempunyai adab serta tingkah-laku yang sama seperti wanita secara semula jadi (bukan dibuat-buat).

Ternyata Hadis itu merujuk kepada golongan transgender. Dinyatakan secara jelas bahawa golongan itu tidak berdosa selagi mereka tidak melakukan perzinaan, dosa dan maksiat.

Hukum terhadap zina, dosa dan maksiat itu sama juga bagi golongan heteroseksual.

Apa yang ditegah dalam agama Islam, Quran dan Hadis adalah apabila seorang individu dengan identiti gender lelaki dan identiti seks lelaki – iaitu “lelaki sejati” – mahu mengubah keadaan itu.

Di sinilah muncul kelompok lelaki yang suka berpakaian seperti wanita (cross-dressing) walaupun mereka bukannya transgender.

Malangnya, akibat kejahilan dan kerana tidak cukup maklumat serta pengetahuan, pihak tertentu menganggap transgender sama dengan cross-dresser.

Akibatnya, golongan transgender yang tidak berdosa selalu menjadi mangsa.

Saya berharap penindasan berikutan kejahilan seperti ini akan berakhir. Masyarakat dan pihak berkuasa perlu diberikan maklumat tepat dan benar mengenai apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan transgender.

[Ulangsiar makalah yang diterbitkan pada 21 November 2013]