Tun Mahathir Lawan Najib: Sudut Pandang Anak Sarawak

Najib vs Mahathir dalam 'perang Pokemon'
Najib vs Mahathir dalam ‘perang Pokemon’

Bapa-bapa Negara

Seakan menjadi tradisi apabila melihat Tun Dr Mahathir sekali lagi melakukan perkara yang sama yang pernah dilakukan kepada Tun Abdullah terhadap Dato’ Sri Najib.

Apabila satu demi satu perdana menteri tidak berupaya meneruskan Wawasan 2020 sepertimana yang dirancang dengan baik, Tun Mahatir akan mengatur strategi bagi menjatuhkan pengganti beliau.

Dato’ Sri Najib, Perdana Menteri Malaysia yang keenam adalah anak sulung kepada mantan Perdana Menteri kedua iaitu Tun Abdul Razak. Tun Abdul Razak dikenang sebagai Bapa Pembangunan manakala Dato’ Sri Najib terkenal sebagai Bapa Transformasi 1Malaysia.

Retoriknya gelaran yang diberikan, saya amat skeptik mengapa perlunya pengkhususan misi dan visi terhadap gelaran “bapa” kepada setiap Perdana Menteri. Sedangkan ada di kalangan mereka ini tidak berupaya untuk mengangkat gelaran tersebut seperti yang diwar-warkan gah ibarat adiwira.

Seakan tidak menjadi “ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi”, personaliti Najib tidaklah seutuh dan sehebat legasi bapanya jika dinilai prestasinya sejak PRU-13 lalu.

Harapan Yang Punah

Pada mulanya, saya menaruh harapan yang tinggi kepada Najib sebagai Perdana Menteri. Bagi saya, beliau dilihat sebagai ikon Islam moderat bagi menyatupadukan rakyat Malaysia dengan slogan 1Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” namun hampa.

Ternyata tanggapan saya ketika itu amat meleset. Sejak beliau mentadbir kerajaan pada tahun 2009, banyak kejadian serta insiden yang tidak diingini berlaku di arena politik, sosial dan ekonomi tanah air.

Sudah jatuh ditimpa tangga, adakah kegagalan Najib mentadbir kini disebabkan segala masalah pentadbiran yang diwarisi daripada Tun Abdullah dan Tun Mahathir sejak zaman reformasi 1998?

Memetik kenyataan Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar yang juga anak kedua arwah Timbalan Perdana Menteri Ghafar Baba daripada SelangorKini, beliau mendakwa sikap boros Najib merupakan punca kepada krisis kepimpinan beliau.

“Ketika rakyat tengah susah, harga barang naik tetapi Najib dan Rosmah tidak prihatin. Mereka pergi bercuti guna jet kerajaan ke Australia dan Amerika, tetapi Tun Razak ketika perjalanan terakhir ke London untuk berubat tidak benarkan Tun Rahah ikut kerana tidak ada jumbo jet, kena beli tiket kapal terbang. Tun Rahah tidak pergi akhirnya kerana ingin jimat dan tidak mahu guna dana kerajaan.”

Baik Buruk Yang Lama

Berbalik kepada soal kepimpinan, saya ingin menganalisa corak kepimpinan Tun Dr Mahathir sejak mengangkat jawatan sebagai Perdana Menteri dari 1981 dengan kaca mata saya sendiri.

Saya mengenali Tun Mahathir melalui buku teks, televisyen, media cetak, akhbar, cerita ahli keluarga dan rakan-rakan saya sendiri. Ketika itu, internet belum lagi menjadi media yang utama. Saya adalah peminat Tun Mahathir sejak 1998.

Rata-rata, komen-komen positif terhadap Tun Mahathir membuatkan reputasi beliau kelihatan seperti adiwira untuk negara ini. Sehinggalah saya menganalisa corak pentabiran beliau secara rinci menerusi internet dan media alternatif sejak tahun 2008, menunjukkan beliau juga tidak terlepas daripada kesilapan dalam pentadbiran.

Kejayaan yang dikecapi di negara ini tidak mungkin dinikmati jika Tun Mahathir tidak mentabir selama 22 tahun dalam 5 penggal PRU. Bagi saya, beliau tahu apa visi dan misi yang ingin diterapkan pada negara.

Beliau turut digelar diktaktor atau maha firaun oleh sesetengah rakyat dengan tindakan drakonian. Antaranya ‘Operasi Lalang 1987’, Akta ISA, kes pembunuhan beramai-ramai di Memali, pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan beberapa krisis yang memalitkan nama beliau seperti Projek IC di Sabah.

Namun, apa yang mengagumkan saya sepanjang beliau mentadbir, rakyat Malaysia sepanjang tempoh tersebut tidak banyak merungut berbanding sekarang.

Saya berpendapat satu kesilapan beliau dalam mentadbir negara mungkin adalah menyiapkan pengganti bagi Perdana Menteri. Tidak hairanlah lebih 4 Timbalan Perdana Menteri dilantik bagi memastikan aspirasi beliau diteruskan.

Tuduhan kronisme serta rasuah terhadap beliau memang tidak dapat dielakkan. Selagi fungsi SPRM dan Jabatan Audit Negara tidak diletakkan pada tahap yang efisen, agak sukar untuk menzahirkan dakwaan tersebut.

Krisis dan Praksis

Berbalik kepada krisis kepimpinan Najib, 1MDB merupakan satu musibah yang Najib tidak lagi berupaya untuk memulih keadaan ekonomi negara ini. Satu demi satu skandal ditelanjangkan oleh media alternatif dan politikus pembangkang.

Buku program sempena lawatan Najib ke Sarawak bagi sambutan Gawai
Buku program sempena lawatan Najib ke Sarawak bagi sambutan Gawai

Najib yang dilihat tidak pernah hidup susah serta merakyat mungkin merasakan normal untuk memastikan hutang negara mencecah RM610 bilion. Bagi beliau yang hidup lebih setengah abad, tidak apa berhutang sekarang sebab nanti generasi akan datang yang menanggungnya!

Najib lebih mementingkan tindakan populis dan survival politik beliau daripada kehendak dan keperluan rakyat serta negara. Makanya, tidak hairan beliau kerap mengunjungi Sabah dan Sarawak berbanding kesemua Perdana Menteri sebelum beliau.

Ianya penting bagi mengekalkan status “deposit tetap Barisan Nasional” untuk menyelamatkan kariernya. Tak hairanlah mengapa pujian melambung Tan Sri Adenan Satem yang dipetik dari Berita Harian mengesahkan sikap serta mentaliti rakyat Sarawak “anang lawan printah” (jangan lawan pemerintah).

“Bahkan Sarawak akan menjadi negeri yang sentiasa bersama beliau (Najib) ketika ‘susah’ mahupun ‘senang’, baik ketika laut tenang mahupun ‘dibadai gelora’. Rakyat Sarawak tahu mengenang dan menghargai jasa… bukan budaya kita menikam dari belakang.”

Bagi saya tidak ada apa yang menghairankan saya sebagai rakyat Sarawak, sebab sudah dijangka pemimpin BN Sarawak yang ada sekarang ini amat memerlukan Perdana Menteri bagi survival politik mereka. “You help me, I help you,” kata Najib itulah yang menjadi motivasi politikus BN Sarawak.

Soalan Tergantung, Realiti Rakyat Berterusan

Bersyukurlah ada Tun Mahathir yang sekurang-kurangnya masih hidup dan dimana usianya yang mencecah 1 abad masih lagi waras akal fikiran untuk menyokong sentimen rakyat biasa dan bersuara.

Siapa mahu bertanyakan di mana integriti Najib dalam membelanjakan dana awam berbilion-bilion ringit untuk bakal projek gajah putih yang dikenali 1 MDB? Menteri kabinet yang boleh dikatakan bangang? Perwakilan Agung UMNO? Wakil rakyat BN? Haram.

Memetik kata-kata Santo Agustinus, uskup dan pemikir Kristian, “Orang yang baik, meskipun seorang hamba, adalah bebas; yang jahat, meskipun dia memerintah, adalah seorang hamba, dan bukanlah hamba kepada seseorang, tetapi apa yang paling dahsyat adalah hamba kepada seberapa banyak tuan seolah-olah dia mempunyai banyak maksiat.”

Adakah Najib lawan Mahathir menguntungkan rakyat? Sudah tentu tidak. Masalah rakyat tetap sama, harga barang naik, cukai GST masih berjalan, kebebasan bersuara disekat dengan Akta Hasutan mahupun POTA dan seribu satu masalah rakyat yang lain masih lagi belum selasai.

Saya tidak terkejut kerana arena politik Malaysia adalah sesuatu yang berkaitan dengan keterlangsungan kuasa oleh elit yang berpengaruh bagi pengukuhan empayar mereka. Rakyat sama ada senang atau derita bukanlah perhatian mahupun tanggungjawab mereka.

Akhirnya, kita sebagai rakyat marhaen tetap bekerja keras untuk menampung kos sara hidup dan survival kita sendiri sebagai manusia dalam dunia yang fana ini.

Article 19