Wacana Kebebasan: Hak, Batasan, dan Keseimbangan

 

Oleh Mohd Izzuddin Ramli

 

Kebebasan merupakan salah satu tunjang utama dalam sistem demokrasi yang dianuti oleh sebahagian besar masyarakat dunia pada hari ini.

Tanpa kebebasan, masyarakat tidak akan mampu untuk menjadi warganegara yang aktif dalam membangunkan negara serta menyuburkan sistem itu sendiri. Kebebasan asas ini merangkumi kebebasan untuk bersuara, berekspresi, berpersatuan, berhimpun dan sebagainya.

Namun demikian, kebebasan juga cenderung untuk disalahgunakan terutamanya dalam menyebarkan unsur-unsur kebencian, baik terhadap individu, kumpulan-kumpulan masyarakat mahupun etnik.

Yang lebih membimbangkan adalah, ucapan-ucapan yang berbaur kebencian ini cenderung untuk mewujudkan keadaan tidak tenteram, perbalahan dan lebih parah mampu mencetuskan konflik kekerasan dalam masyarakat.

Kebelakangan ini kita seringkali diresahkan dengan bermacam isu yang mampu mengganggu-gugat ketenteraman awam. Hal ini dapat dilihat sekurang-kurangnya melalui ucapan-ucapan sebilangan pemimpin dan juga masyarakat awam.

Sebagai contoh isu pergaduhan yang berlaku di sebuah pasaraya di Kuala Lumpur baru-baru ini. Ada sesetengah pihak yang cuba menyiram minyak ke dalam api dengan mengaitkannya dengan isu perkauman.

Hal ini lebih memburukkan apabila negara ini masih tidak mempunyai undang-undang yang mampu untuk mendidik masyarakat dalam menguruskan kebebasan dengan sebaiknya.

Pengenalan undang-undang seperti Akta Hasutan 1948, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), atau yang lebih baru iaitu Akta Majlis Keselamatan Negara 2015 walau bagaimanapun disalahgunakan oleh pihak pemerintah sendiri untuk menghalang suara-suara pengkritik.

 

Sesi perbincangan meja bulat di Pulau Pinang
Sesi perbincangan meja bulat di Pulau Pinang

 

Pelan Tindakan Rabat dan Projek Dialog

Menyedari hakikat bahawa masih wujud kelompangan yang luas dalam isu ini, maka sebuah dokumen yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Rabat diwujudkan.

Pelan yang terhasil daripada beberapa siri bengkel yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR) ini merangkumi pelaksanaan undang-undang dan dasar bagi membendung unsur-unsur kebencian dalam bersuara termasuk dalam aspek kaum, agama dan sebagainya.

Pelan ini diwujudkan bukanlah bertujuan untuk mengekang hak kebebasan bersuara setiap rakyat. Akan tetapi ia adalah suatu usaha untuk menghalang sebarang bentuk unsur-unsur ucapan kebencian di semua peringkat baik dalam kalangan pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin agama, pihak media dan juga individu.

Di Malaysia, antara pihak yang memberi sokongan penuh terhadap pelan ini adalah Projek Dialog melalui penganjuran beberapa siri bengkel seperti di Pulau Pinang dan Kedah baru-baru ini.

Bengkel yang dijalankan bertujuan untuk memberi penerangan secara terperinci tentang pelan tindakan ini serta bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan tempatan dan kalangan akademik untuk menambahbaik pelan agar sesuai pelaksanaannya dengan konteks negara ini.

Perbincangan yang diadakan telah berjaya mencadangkan beberapa penambahbaikan terhadap Pelan Tindakan Rabat. Ia merangkumi beberapa aspek penting yang menjadi asas dalam kehidupan bermasyarakat di negara ini.

Antaranya adalah tentang pendidikan hak asasi manusia, pembelaan kaum minoriti, media dan stereotaip, kebebasan akademik, kebebasan berkarya untuk seniman dan perlindungan terhadap bandan-badan bukan kerajaan.

 

Gambar dari: We Are One America
Gambar dari: We Are One America

 

Pendidikan hak-hak asasi dan peranan media

Membicarakan persoalan kebebasan dan tanggungjawab sememangnya tidak terlepas untuk membicarakan hal yang lebih mendasar iaitu hak asasi manusia. Hak asasi manusia adalah antara perkara yang paling utama yang harus dilindungi oleh pemerintah untuk setiap warganegaranya.

Namun demikian, masih ramai daripada rakyat negara ini yang tidak memahami hak-hak asas mereka sebagai warganegara.

Keadaan ini cenderung untuk mewujudkan gejala penindasan – baik dari pemerintah ke atas rakyatnya mahupun antara semasa rakyat sendiri.

Dalam hal ini, pendidikan tentang hak-hak asas manusia dilihat penting dan perlu diberikan perhatian pada peringkat awal lagi khususnya kepada para pelajar sekolah mahupun universiti.

Pendidikan boleh diberikan melalui pengenalan terhadap sukatan-sukatan pelajaran yang mengajarkan tentang peri pentingnya sikap bertoleransi antara para pelajar.  Kaedah-kaedah yang lebih proaktif dan interaktif perlu digunakan bagi setiap sekolah untuk mengajarkan para pelajar dari pelbagai latarbelakang budaya dengan menggunakan contoh-contoh yang konkrit dan sebenar.

Hak-hak asasi kaum minoriti seperti golongan transgender, orang asli, pekerja asing dan pelbagai lagi juga perlu diutamakan. Dalam hal ini, pendidikan tentang hak-hak asas juga perlu diberikan kepada mereka melalui penyediaan capaian-capaian maklumat yang lebih baik serta sumber-sumber bantuan.

Menyedari hakikat bahawa negara ini memiliki kekayaan dalam kepelbagaian kaum dan budayanya, maka capaian-capaian maklumat adalah penting khususnya dalam aspek budaya, agama dan kepercayaan, gender, orientasi seksual dan sebagainya.

Aspek pelaporan media yang berkecenderungan untuk menyediakan laporan yang tanpa sedar memperkukuhkan stereotaip perkauman dan prejudis turut sama menyumbang kepada ketidaktenteraman awam.

Hal ini menuntut kepada perlunya disediakan garis panduan untuk media bagi menghapuskan streotaip dan menyediakan laporan yang lebih beretika dan tidak memiliki bias perkauman.

Perkara sebegini jelas sekali masih dilihat menebal dalam kebanyakan media di negara ini. Media lebih gemar untuk menggunakan lensa perkauman dalam melihat atau melaporkan pelbagai isu misalnya dengan menggunakan istilah seperti “Cina”, “Melayu” dan “India” bagi menggambarkan masyarakat Malaysia daripada menggunakan istilah “rakyat Malaysia” sendiri.

Contohnya dalam kes pergaduhan di Plaza Low Yatt Kuala Lumpur antara pihak penjual dan pembeli, namun digambarkan sebagai pergaduhan antara kaum. Penggunaan lensa perkauman secara tidak sedar telah memperlebarkan lagi jurang perbezaan antara rakyat negara ini.

Gambar dari: Zunar
Gambar dari: Zunar

Adakah ahli akademik dan seniman perlu mendapatkan kebenaran untuk menyuarakan pendapat?

Aspek lain yang perlu juga dititikberatkan adalah kebebasan akademik. Dalam kes Dr Azmi Sharom, pensyarah undang-undang di Universiti Malaya misalnya, kebebasan akademik jelas sekali sedang berada dalam keadaan yang membimbangkan di negara ini. Azmi didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 semata-mata memberikan pendapatnya atas kapasiti ahli akademik.

Kebebasan akademik perlu dijamin dengan sebaik mungkin oleh semua pihak. Dengan memahami dan menyuburkan budaya akademik yang bebas akan memastikan kebebasan kalangan akademik dan pelajar menyatakan pendapat mereka tanpa sebarang ancaman rasa takut.

Hal ini perlu diambilkira kerana universiti adalah institusi yang bebas dan menjadi tempat untuk percambahan ilmu. Golongan ini perlu diberikan kebebasan untuk menyatakan pendapat selagi tidak menyatakan kata-kata yang berunsur kebencian.

Kebelakangan ini kita juga seringkali mendengar isu seniman yang diancam kerana berkarya. Kartunis Zunar misalnya sedang didakwa dengan pelbagai tuduhan semata-mata menjalankan tugasnya sebagai pengkarya yang politikal.

Oleh yang demikian, kepercayaan dan penghargaan harus diberikan kepada para seniman dalam mengekalkan kebebasan berekspresi melalui seni. Para seniman sepatutnya bebas untuk menyatakan idea mereka melalui kerja-kerja seni, dalam masa yang sama sedar akan norma-norma sosial dan kawalan-kawalan yang munasabah.

Antara hal lain yang turut sama penting adalah menjamin hak-hak kumpulan-kumpulan masyarakat sivil dan para aktivis untuk bergerak secara bebas dalam mempromosikan pelbagai isu hak asasi manusia.

Oleh yang demikian, adalah sangat mendesak untuk diwujudkan sebuah garis panduan untuk membezakan antara kumpulan-kumpulan bukan kerajaan yang cenderung mempromosikan kebencian dan kumpulan-kumpulan yang tidak.

Peranan semua pihak

Usaha untuk memberikan pemahaman serta mendidik masyarakat dalam menguruskan kebebasan yang dimiliki dengan baik perlulah dilakukan oleh semua pihak, tidak terkecuali desakan untuk dilaksanakan Pelan Tindakan Rabat pada peringkat perundangan negara.

Untuk mencapai hasrat ini, maka usaha-usaha untuk memperkenalkan pelan tindakan ini secara lebih meluas perlu dilakukan.

Penglibatan lebih ramai orang perseorangan serta badan-badan bukan kerajaan bagi membincangkan dan menambahbaik pelan ini perlu dilakukan agar cakupannya menjadi lebih meluas.