Wang Politik dan Politik Wang

Definisi wang politik (political financing) dan politik wang sering menimbulkan keraguan dan kekaburan antara orang kebanyakan dan akademia. Kekaburan yang berlaku antara dua istilah hendaklah tidak menganggu kajian terhadap gejala yang berlaku dalam proses pilihan raya.

Syed Hussein Alatas pernah menyebut kegagalan membezakan pelbagai jenis rasuah dan menempatkannya pada konteks penilaian yang tidak tepat hanya akan menimbulkan kekacauan dan pemborosan waktu. Namun dengan adanya pemerhatian yang konsisten, ia sedikit sebanyak membantu kita menggolongkan rasuah dan menanganinya.

Wang politik dilihat hanya mencakupi pembiayaan parti dan kempen pilihan raya sementara “politik wang” ialah istilah yang digunakan untuk membeli undi semasa pilihan raya sedang berlangsung. Kedua-dua istilah ini punya hubungan yang erat dengan politik patron-client.

Istilah patron-client merujuk kepada hubungan yang melibatkan dua kelas yang berbeza: seorang patron mempunyai kuasa dan autoriti, dan klien adalah orang yang bernaung di bawahnya – contohnya seorang Menteri dan ahli perniagaan, Ketua Kampong dan Imam masjid dan sebagainya. Hubungan yang tidak seimbang antara keduanya menjadikan klien harus memenuhi tawaran atau permintaan patron.

James C. Scott misalnya mengatakan, “client, in this sense, is someone who has entered an unequal exchange relation in which he is unable to reciprocate fully. A debt of obligation binds him to the patron”. Hubungan timbal balik ini juga dapat diterjemahkan dalam bentuk kuasa, kepatuhan, wang, dan undi.

Mereka yang berkedudukan tinggi akan menggunakan instrumen untuk memberi bantuan kepada mereka yang berkedudukan sedikit rendah, dan dibalas dengan kepatuhan dan kehormatan. Dalam sesebuah negara contohnya, Perdana Menteri akan memberikan dana kepada organisasi, persatuan dan warganya untuk memelihara legitimasi kerajaannya.

Politik penaung-dinaung ini sangat jelas di Malaysia seperti yang dapat diperhatikan dalam kempen pilihan raya kali ini. Selama lebih 55 tahun, warga hanya merasakan kebajikan mereka dijaga setelah parti Pakatan mula mengambil alih beberapa buah negeri pada pilihan raya 2008. Dengan terbentuknya sistem dua-parti, kehadiran pembangkang yang kuat mampu semak imbang tatalaku kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab dan menunaikan janji dalam manifesto terdahulu.

Perkembangan setiap negeri di bawah Pakatan Rakyat dapat dilihat kecuali dalam urusan yang melibatkan kerajaan persekutuan contohnya perhubungan dan pengangkutan, kewarganegaraan dan lain-lain. Senarai Persekutuan ini tidak memungkinkan negeri menjalankan kuasa melebihi bidang kuasa dalam senarai negeri dan senarai bersama. Jadi, ia semacam menghalang perubahan dilakukan selama adanya konflik kepentingan antara kerajaan persekutuan dan negeri. Dan ini pula dijadikan alasan untuk parti BN mengutuk perlaksanaan kerajaan negeri di bawah PR – mungkin kerana itu PR harus ke Putrajaya.

Tindakan BN yang tidak mampu memajukan negeri-negerinya sendiri ditutup dengan mengutuk pemerintahan PR di media massa seperti Utusan, Berita Harian dan setiap saluran perdana. Tidak cukup dengan itu, untuk PRU13 ini, beberapa konsert diadakan atas nama Kelab 1Malaysia yang menyajikan hiburan (nyanyian artis tempatan dan antarabangsa), makanan (sushi, beer, burger) dan cabutan bertuah (motosikal, peralatan dapur).

Malah di kiri kanan jalan dipenuhi bendera 1Malaysia sehingga membuat kita tertanya-tanya sama ada yang bertanding ialah parti BN atau NGO dengan parti PR. Semua ini dapat diperhatikan di utara Malaysia iaitu Pulau Pinang. Setelah pembubaran parlimen, pelbagai hadiah, dana dan hiburan disogokkan kepada pengundi, wartawan dan NGO lainnya.

Ini merupakan satu bentuk “politik wang” yang sangat jelas berlaku dalam tempoh berkempen. Gejala ini juga menunjukkan kemungkinan negara kita sudah sampai satu tahap yang disebut sebagai “kleptokratis” – sebarang pertolongan dan bantuan diasaskan atas wang, ganjaran dan hadiah – Syed Farid Alatas menyebutnya dalam Rasuah, Sifat Sebab dan Fungsi karya Syed Hussein Alatas. Politik wang tidak lagi hanya membabitkan calon menghulurkan bantuan dari rumah ke rumah, belanja makan di kedai mamak, tetapi juga melibatkan agensi lain yang sarat kepentingan dengan parti tersebut.

Kejadian ini dikuatkan lagi apabila ucapan, iklan dan instrumen lain dalam konsert tersebut mengingatkan setiap orang yang datang akan tiga perkara sama yang dilaungkan parti BN – Keselamatan (Security)/ Perpaduan (Unity), Keamanan (Peace), Kemakmuran (Prosperity). Presiden 1Malaysia-Penang Welfare Club iaitu Geh Choh Hun didapati mengulang hal ini dalam ucapannya dalam akhbar dan amal jariahnya di Penang.

Walaupun beliau telah menafikan hubungannya adalah untuk menarik undi bagi parti BN dan cukup kesal dengan tanggapan orang ramai atas niat ikhlasnya, tetapi ini tidak mampu menyangkal kenyataan bahawa dia pernah menjadi pegawai liaison kelab MCA Australia seperti dilaporkan media. Dan menariknya, jika ditelusuri pembabitannya dalam bidang perniagaan – beliau juga merupakan ahli lembaga Pengarah Putrajaya Perdana yang menguruskan beberapa projek di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan pastinya Diamond Building.

Pendeknya, 1Malaysia Charity Concert dan 1Malaysia Charity Night antara yang sesuai untuk menggambarkan politik penaung-dinaung atau politik wang yang disebut awal-awal tadi – yang melibatkan antaranya Menteri dan ahli perniagaan maupun Perdana Menteri dan rakyatnya. Hubungan ini tentunya atas tujuan mendapatkan keuntungan (projek?) dan kepatuhan (undi?). Sejauh mana hubungan ini mendatangkan kebaikan kepada warga Malaysia, kita sudah pun punya “track-record” pemerintahan BN selama ini.