Reviu: Adab Pertemuan Silang Agama – Apa yang menghalang kita untuk berdialog?

Pada 22hb Disember yang lepas, berlakunya acara perbincangan dan forum yang dianjurkan oleh pihak kami Projek Dialog dengan kerjasama Let’s Chat-lah mengenai adab pertemuan silang agama. Diadakan seiring dengan perayaan Hari Natal, ini secara tidak langsung menjadikan beberapa isu yang berkaitan dengannya sebagai titik permulaan bagi perbincangan di antara pelbagai pelbagai pihak yang hadir. Memang benar, semestinya terdapat pelbagai bentuk inisiatif yang hampir serupa dengan kami – landasan antar-agama. Tetapi setiap landasan yang wujud mempunyai tujuan yang kemungkinan besar berbeza di antara satu sama lain. Ada yang hanya ingin berkongsi nilai-nilai yang ada dalam setiap agama dan ada juga yang hanya ingin menyatakan niat baik terhadap golongan beragama yang lain bagi mengelakkan apa-apa konflik yang berlaku.

Walaubagaimanapun, kami berusaha untuk mengambil sudut pemahaman yang berbeza. Kami ingin menggunakan landasan ini untuk mencari sudut pandang yang sama tentang sesuatu hal yang dirasai oleh semua pihak dan hal ini semestinya menjangkaui kategori agama. Perdebatan, perbincangan dan dialog seperti ini penting agar masalah tidak hanya tetap di dalam suatu keadaan yang benar-benar kabur tetapi sebaliknya menjurus kepada suatu permasalahan yang lebih spesifik dan mampu diselesaikan melalui program-program ataupun pembaharuan yang sebetulnya. Oleh itu sebaiknya kita menyatakan semula, apa yang diperbualkan melalui perbincangan yang berlaku pada Rabu yang lepas dan apakah kesimpulan yang dapat kita fahami pada hujung acara.

Kami menjemput tiga panelis: Ustaz Wan Ji Wan Hussin, pengasas Sekolah Pemikiran Asy-Syatibi. Beliau aktif bergiat dalam dakwah, wacana sosio-politik dan penulisan keagamaan sepenuh masa. Kedua, Mary Magdaline Pereira, bekas Profesor Madya di UiTM dan aktif di dalam dialog antar-agama dan terakhir, saudara Wong Fook Meng, seorang peguam dan ketua gereja di salah satu gereja di Melaka. Ketiga-tiga panelis bersetuju atas suatu persefahaman iaitu – dialog dan perbincangan mengenai hal dan konflik di antara agama masih dan tidak akan pernah selesai. Ianya adalah sesuatu yang harus dilaksanakan dan diteruskan, lebih-lebih lagi jika keharmonian di negara kita masih belum kukuh sebetulnya.

Acara bermula dengan pengutaraan beberapa persoalan utama. Pihak Projek Dialog merasakan bahawa persoalan-persoalan seperti ini perlu dijadikan sebagai tulang belakang perbincangan. Pertama, dengan konteks Hari Natal sebagai rujukan, wujudnya inisiatif bagi beberapa NGO Muslim yang telah mengeluarkan kenyataan bahawa ianya merupakan suatu larangan bagi umat Muslim untuk merayakan perayaan Hari Natal. Dengan rujukan hadis dan ayat daripada salah satu surah di dalam Al-Quran, mereka menegaskan bahawa ianya haram bagi umat Islam untuk merayakan Hari Natal, dengan alasan bahawa perayaan seperti ini dilihat sebagai sokongan kepada kepercayaan akidah golongan Kristian yang berbeza dan bercanggah dengan kepercayaan Islam.

Walaupun begitu, mereka menekankan bahawa ianya tidak menjadi masalah untuk mengucapkan perayaan kepada teman bukan muslim tetapi berbeza dengan meraikannya perayaan tersebut. Lalu secara tidak langsung, persoalan yang timbul adalah apakah tujuan utama kenyataan ini dikeluarkan? Apakah secara dasarnya iman golongan muslim di negara kita selama ini tidak pernah kukuh dan rapuh sehingga mudah benar golongan kita tersasar dari pegangan akidah yang fundamental? Kedua, persoalan mengenai budaya konsumerisme di bawah sistem kapitalisme sekarang ini. Adakah ianya semakin menebal dan telah menenggelamkan intipati sebenar sesuatu perayaan? Dan ini pula menjurus kepada persoalan yang lain, iaitu kewujudan dua ruang: peribadi dan umum yang memaparkan dua imej yang berbeza.

Persoalan yang pertama, saudara Wan Ji membezakan beberapa bentuk agama yang dibawa oleh golongan Muslim. Pertama, bentuk agama yang telah pun diinstitusikan dan berada di bawah pengaruh politik. Dengan bentuk agama yang di bawah pengaruh politik, ini perlu dihubung kaitkan dengan perlembagaan negara kita sendiri di mana keberadaan golongan bukan Muslim yang tidak dibenarkan untuk berdakwah kepada golongan Muslim dan bukannya sebaliknya. Ini secara tidak langsung membawa kita kepada pemahaman konteks yang baru iaitu hubung kaitan keyakinan golongan NGO Muslim menegaskan perbezaan dan larangan atas alasan penguatkuasaan akidah dan ketidakmampuan, kerisauan dan ketakutan golongan bukan Muslim untuk menjayakan dakwah mereka dan menerangkan asas-asas fundamental agama mereka sendiri.

Bukankah ini merupakan sesuatu hal yang tidak adil bagi golongan bukan Muslim, sedangkan mereka sendiri mempunyai keyakinan dan kepercayaan yang kukuh mengenai agama mereka sendiri. Bukankah mereka juga mempercayai nilai-nilai murni yang mempunyai kesamaan dengan agama-agama yang lain? Golongan bukan Muslim sewaktu berlangsungnya perbincangan forum tersebut menyatakan kerisauan dan kekecewaan mereka berada di dalam keadaan yang tidak adil bagi mereka, dilihat sebagai golongan minoriti yang benar-benar mampu menggugat iman golongan majoriti dan secara sedar mempunyai niat untuk memesongkan agama Islam di negara ini.

Kedua, berkenaan dengan hal konsumerisme yang semakin menebal pada waktu ini, ianya adalah sesuatu hal yang lumrah di bawah sistem ekonomi kapitalisme. Saudari Mary Pereira dan juga saudara Wong Fook Meng bersetuju mengatakan bahawa imej yang dipaparkan ke dalam ruang awam bagi setiap perayaan telah didorong keutamaannya untuk menjana keuntungan bagi sesetengah pihak. Berbeza dengan bagaimana mazhab Katolik yang merayakan Hari Natal dengan mengutamakan tindakan menolong orang miskin.

Hari Natal mengikut ahli teologi Swiss Hans Urs Von Balthasar mengatakan bahawa ianya bukan peristiwa di dalam sejarah tetapi masa yang diceroboh oleh hal yang abadi. Ini membawa maksud bahawa peristiwa Hari Natal tidak hanya dibatasi pada suatu peristiwa ataupun zaman, tetapi menandakan sesuatu perubahan yang menjangkaui pembatasan masa. Suatu perubahan kualitatif adalah hal yang perlu dijadikan sebagai landasan asas bagi setiap perayaan agama dan berjaya membentuk suatu perubahan yang radikal dan memberi impak yang benar-benar besar. Maka ianya merupakan suatu percanggahan apabila perayaan Hari Natal dan juga perayaan Ramadhan telah dijadikan sebagai lubuk konsumerisme untuk syarikat menjana keuntungan. Lihat sahaja bagaimana media dan pusat membeli belah menjayakan perayaan seperti ini mengikut kerangka keuntungan semata-mata. Sesetengah golongan mengambil kesempatan atas setiap perayaan, mengalihkannya untuk kepentingan yang tempang dan tidak selari dengan kemurnian dan niat perayaan keagamaan itu sendiri.

Secara keseluruhan, dialog dan perbincangan yang berlaku telah berjaya membawa beberapa isu ke tahap yang lebih memberangsangkan. Keterlibatan khalayak awam yang turut hadir dan menyumbangkan beberapa pendapat dan idea telah berlangsung dengan jayanya. Mereka turut mengutarakan pendapat mengenai cara-cara lain untuk menguatkan lagi dialog dan perdebatan antar-agama juga berjaya, antaranya kerjasama sesama golongan antar-agama secara penuh sedar. Walaubagaimanapun, jikalau hal ini terus diperbincangkan, pastinya kita akan sampai pada suatu tahap di mana apa yang perlu ditukar adalah sesuatu hal yang bersifat politik dan berkisar di hal-hal institusi. Pihak kami, Projek Dialog hanya berharap bahawa melalui setiap acara berdialog dan perbincangan, sesuatu permasalahan dapat dijelaskan dan kekeliruan berjaya dijernihkan.