Reviu: Diskusi Hari Malaysia – Wawasan Tanpa Was-Was

Sewaktu pihak kami mengatur acara perbincangan pada Hari Malaysia, pelbagai persoalan muncul di benak kami semua. Apakah hal yang relevan untuk dibincangkan dan juga apakah konteks yang perlu diambil kira, dengan pelbagai bentuk cabaran yang sedang kita geluti pada zaman ini. Kebetulan kami bersama komrad yang lain, menyuarakan keinginan untuk bekerjasama dan secara tidak langsung, berjaya fokus kepada suatu tema: inisiatif aktivis-aktivis tempatan yang berusaha untuk merapatkan jurang di dalam masyarakat dari pelbagai sudut pandang iaitu gender, kaum, identiti dan persoalan politik kekuasaan dengan kewujudan status quo. Benar, sekali pandang ianya nampak terlalu berselerak dan tidak ada satu titik temu yang jelas. Tetapi jika kita bersandarkan isu ini kepada Hari Malaysia maka ia berkait rapat dengan wawasan para aktivis itu sendiri dan bagaimana harapan mereka ini dibentuk di bawah sambutan hari itu sendiri.

Jadi pihak kami dengan kerjasama The Keepers Studio, sebuah syarikat produksi teater yang sedang aktif menggabungkan aktivisme dan seni melalui teater Kenduri Kendara mengadakan sebuah forum yang diberi tajuk Diskusi Hari Malaysia: Wawasan Tanpa Was-Was. Antara panelis yang terlibat adalah saudara Azzad Madhzir selaku pengarah teater tersebut, saudari Amanda Nell EU – seorang pembikin filem yang telah terpilih di dalam pertandingan di Internasional Venice Film Festival, saudari Maryam Lee selaku aktivis sosial yang telah terlibat dengan Projek Dialog melalui Pesta Filem Kita dan juga Dialog Jalanan, dan terakhir sekali saudara Kumaran Nagapa yang terlibat di dalam Grassroots iaitu sebuah gerakan akar umbi di Batang Berjuntai dan menggunakan aktivisme sebagai sarana bagi menyelesaikan masalah sosial yang berkaitan dengan penggunaan dadah di kawasan sana. Kesemuanya berdiri atas landasan yang sama, mempunyai wawasan yang spesifik bagi memperbaiki keadaan masyarakat kita melalui inisiatif yang tersendiri.

Forum bermula dengan soalan yang diutarakan oleh moderator, Fuad Rahmat mengenai persoalan keintiman, ruang dan bagaimana ianya mencabar kekuatan status quo. Persoalan-persoalan berkait rapat dengan saudara Azzad dan Kumaran. Persoalan keintiman mengambil kira ruang keselesaan seseorang mengenai sesuatu hal dan apabila ianya dicabar, ia secara tidak langsung membina perasaan solidariti di antara sesama sendiri. Lebih-lebih lagi di kalangan orang yang merasakan bahawa keintiman berkait rapat dengan persoalan kekuasaan. Gaya eksperimental teater (melalui ritual suap menyuap) yang diarah oleh saudara Azzad bertujuan untuk merapatkan lagi jurang di antara dua individu, dengan bimbingan audio yang spesifik ianya disengajakan bagi menjangkaui batas keselesaan dan menuju ke arah keintiman itu sendiri.

Ini merupakan inspirasi daripada gerak kerja akar umbi yang dilakukan oleh saudara Kumaran sendiri, di mana beliau menggunakan ritual suap menyuap sebagai pendekatan mencabar permainan kekuasaan di kalangan lelaki yang seringkali menghadapi masalah terhadap konsep ataupun idea keintiman itu sendiri. Seringkali sesi suap menyuap membawa nada keibuan dan ianya tidak mempunyai masalah di kalangan wanita dan anak kecil, tetapi berlainan pula dengan golongan lelaki yang mendominasi masyarakat melalui struktur patriarki yang ada. Sebagai contoh, beliau menceritakan bagaimana orang berlainan agama mulai menjangkaui batas keselesaan mereka dan berjaya meleburkan diri ke arah ruang keintiman apabila mereka berjaya menjalani sesi suap menyuap itu sendiri.

Kemudian saudari Amanda Nell menjelaskan bagaimana seseorang yang menghasilkan karya pasti akan secara sedar ataupun tidak mempunyai mesej politik kerana pembikin filem menjadikan ‘pemerhatian’ sebagai suatu kebolehan yang perlu. Lalu beliau terus menjelaskan lagi bagaimana atas nama aktivisme, ianya bakal menjadikan sesuatu karya terkawal dan terkongkong. Kemudian Amanda menjelaskan skop karyanya dan bagaimana ianya berkait rapat dengan persoalan identiti, “Kenapa mitos-mitos masyarakat seringkali berkait rapat dengan wanita dan ada sahaja kena mengena dengan anak kandungannya? Jadi hal-hal seperti ini lah yang menarik bagi pengkarya seni untuk teroka”.

Karya beliau menyentuh aspek-aspek identiti dan badan wanita dan bagaimana persoalan ini diletakkan di dalam masyarakat tempatan. Sebagai contoh, filem puntianak yang dia ciptakan menggambarkan sejenis seksualiti.  Amanda tidak membikin filem untuk mengubah minda; saya membikin filem untuk menyampaikan sebuah cerita, jadi beliau merasa positif bahawa filem yang baik boleh membantu kita buat pantulan.

Setelah Amanda, tiba pula giliran saudari Maryam Lee yang merujuk kepada pendapat Amanda bagi menjelaskan bagaimana ideologi, ras dan agama digunakan bagi mencipta mitos-mitos yang memecahkan masyarakat. Ia terbenam dalam ke minda seseorang sehingga masyarakat melihatnya sebagai sesuatu yang normal, sedangkan secara tidak langsung selagi hal ini tidak difahami dari segi perkembangan sejarah dan asal-usulnya yang spesifik, selagi itu segala bentuk penindasan tidak dapat diselesaikan.

Kemudian sesi diteruskan dengan sesi soal jawab, pelbagai soalan diutarakan mengenai batas agama dan bagaimana persoalan agama memasuki ruang individu dan sebagainya. Kesemua panelis memberi jawapan dan balasan yang berbeza, bergantung kepada pengalaman mereka yang tersendiri. Forum pada akhirnya disimpulkan oleh setiap panelis dengan penjelasan bagi wawasan mereka terhadap negara kita dan bagaimana Hari Malaysia ini seharusnya diraikan bagi meningkatkan lagi kualiti ketamadunan kita semua.

Hari Malaysia menjadi titik temu para panelis untuk berkongsi pengalaman mereka dan berkongsi pendapat tentang cara-cara ataupun inisiatif merapatkan jurang yang ada di dalam masyarakat. Akhir kata, bagaimana dengan wawasan kita selaku rakyat sesuatu negara? Perlukah rasa was-was ataupun skeptikal bagi menggerakkan kita untuk memahami dan merungkaikan masalah yang sedang kita hadapi? Ataupun wawasan yang ada perlu berdiri di atas landasan harapan yang penuh idealistik tanpa rasa was-was?