Reviu Forum: Dialog Tertutup Baha’i dan Ahmadiyyah.

Pihak kami yakin dengan terus mengadakan dialog, setidaknya ia dapat membawa ke suatu tahap yang lebih ke hadapan. Kerana secara pasti, teori harus bertemu dengan realiti. Persoalan akidah juga harus dibandingkan dengan keadaan realiti yang wujud iaitu persoalan hegemoni institusi agama yang benar-benar dominan di sini. Tiada gunanya kita meyakinkan agama-agama minoriti dapat dibela selagi tiada inisiatif diberikan untuk melanjutkan pemahaman umum mengenai keadaan mereka. Jadi ulasan artikel ini adalah mengenai dialog tertutup yang diadakan pada hari Ahad, bersamaan dengan 26hb Februari yang lepas.

Kami mengenal pasti bahawa tidak kesemua agama minoriti menjalankan aktiviti mereka di dalam keadaan yang sama. Malah jika dihubungkan dengan persoalan hegemoni agama yang disokong oleh pihak kerajaan, pasti akan merasakan impaknya yang lebih daripada yang lain.

Begitulah permulaan bagi premis dialog yang kami langsungkan dan hasil kerjasama pihak lain yang pemurah hati. Dialog di antara Baha’i dan Ahmadiyyah diadakan dengan niat agar pihak awam dan juga pihak yang terlibat dapat memahami dengan lebih lanjut mengenai kedudukan masing-masing di dalam struktur masyarakat. Apakah perbezaan dan persamaan di antara mereka? Apakah inisiatif dan sudut pandang agama minoriti di sini? Wujudkah stigma dan prejudis yang jelas sedang berlangsung pada waktu ini?

Dialog ini berlangsung di bangunan komuniti Ahmadiyyah sendiri, dan di situ kami sendiri menyaksikan papan tanda yang menyatakan ‘Qadiani Bukan Agama Islam’ sebagai peringatan kepada mereka oleh pihak berkuasa bahawa mereka merupakan penganut ajaran yang menyeleweng, sesat dan murtad.

Untuk forum ini, saudara Maulana Ainul mewakili pihak komuniti Ahmadiyyah dan saudara TK Lee mewakili pihak komuniti Baha’i di Malaysia. Kedua-duanya menerangkan secara umum dan kemudian membincangkan keadaan mengenai agama masing-masing dan kedudukan mereka di dalam masyarakat di negara kita.

Dialog dimulakan dengan pembukaan doa oleh pihak Ahmadiyyah dan kemudiannya diteruskan dengan saudara Maulana Ainul untuk menerangkan aspek legal, konteks perlembagaan dan bentuk-bentuk penindasan yang dialami oleh pihak mereka. Saudara Ainul menyentuh hal yang termaktub di dalam perlembagaan, terutama sekali mengenai kebebasan untuk mempraktikkan agama masing-masing dan kemudiannya disusuli dengan penekanan perkara 11(4) di mana Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Pada tahun 1953, satu fatwa telah dikeluarkan oleh Mufti Selangor yang menyatakan bahawa ajaran Ahmadiyyah adalah murtad dan terkeluar daripada agama Islam. Sehingga kini, hampir 65 tahun komuniti mereka masih mengalami bermacam bentuk prejudis dan stigma di kawasan mereka sendiri. Malah di dalam sukatan pelajaran Malaysia sendiri, terpampang jelas foto pengasas Ahmadiyyah yang dilabel sebagai sesat. Tohmahan negatif seperti ini telah menjadi suatu hal kebiasaan bagi pihak mereka, sehinggakan mereka sendiri terpaksa mencari jalan alternatif untuk terus mempraktikkan agama mereka tanpa dikacau oleh mana-mana pihak.

Kemudian tiba giliran saudara TK Lee untuk menerangkan sedikit sebanyak mengenai agama Baha’i di Malaysia. Saudara Lee memulakan penerangan dengan nyanyian keagamaan Baha’i. Menarik untuk ditekankan, berbeza dengan komuniti Ahmadiyyah, agama Baha’i diterima dengan baik di Malaysia, malah diperakui oleh pihak kerajaan sebagai suatu agama yang bebas untuk dipraktikkan. Tetapi berbeza pula halnya di Iran, di mana komuniti Baha’i masih teruk ditindas dan masih menerima pelbagai bentuk prejudis dan juga segala bentuk tohmahan negatif. Jadi walaupun wujudnya perbezaan di negara kita, tetapi secara umumnya agama minoriti masih mengalami suatu bentuk penindasan di hampir seluruh dunia.

Kemudian dialog dibuka kepada persoalan-persoalan yang dinyatakan oleh pihak awam. Ada yang mempersoalkan bagaimana hal yang perlu dipersoalkan ini akan menjurus kepada soalan yang politikal dan bagaimana kemudiannya isu ini membawa kepada pelbagai bentuk penyelesaian alternatif yang kebanyakannya di dalam kerangka yang sah dari segi undang-undang. Turut juga dibincangkan mengenai bahawa ahli-ahli politik seringkali bersikap oportunis terhadap isu pembelaan golongan agama minoriti tetapi tidak berani apabila ingin disebut nama mereka. Begitulah secara umumnya hal yang diperbualkan apabila ianya berkaitan dengan isu politik.

Pada akhir forum, apabila soalan RUU 355 diajukan, mereka bertegas akan terus menjalankan aktiviti masing-masing dan akan terus memperkukuhkan komuniti mereka. Agama minoriti terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ini bakal menguatkan lagi determinasi pegangan ajaran mereka. Kemudian pada akhir acara, pihak Projek Dialog, pihak komuniti Baha’i dan Ahmadiyyah, dan pihak awam bersembang santai sambil meneruskan beberapa perbualan yang masih belum selesai.