[Reviu] Forum Hindusime 101 – Pengenalan Kepada Sastera Hindu

Saudara Uthaya menerangkan istilah-istilah dalam Hinduisme kepada para hadirin

 

Pada 30 April bersamaan dengan hari Isnin, Projek Dialog telah mengadakan forum Hinduisme 101 – Pengenalan Kepada Sastera Hindu dengan kerjasama pembicara undangan, Saudara Uthaya Sankar SB yang berlangsung dari jam 8 malam ke 10 malam. Forum tersebut telah dihadiri oleh lebih kurang 5 orang tetapi oleh kerana kegiatan sesi soal jawab yang aktif dari para hadirin, forum tersebut dilanjutkan hingga jam 11 malam.

 

Pertama sekali, Saudara Uthaya memperkenalkan para hadirin kepada istilah-istilah yang berkaitan dengan Sastera Hinduisme. Istilah ‘Sanadana Dharma’ merupakan maksud ajaran Hinduisme iaitu Kebenaran (Sanadana) Abadi (Dharma). ‘Jikalau ia benar, bermakna ia benar selama-lamanya’ merupakan kepercayaan asas untuk agama Hinduisme. Hinduisme juga diterangkan sebagai sebuah agama yang mencari Tuhan dan bukan daripada Tuhan ke pengikutnya. Kandungan ajaran Hinduisme bukanlah bedasarkan ‘wayhu’ atau ajaran dari Tuhan akan tetapi merupakan idea-idea manusia setelah mencari ‘pencerahan’ semasa meditasi.

 

Hinduisme juga bermaksud ‘Vaidika Dharma’ yang wujud lagi dari zaman kitab-kitab Veda. Istilah ini berasal daripada bahasa Sanskrit. Saudara Uthaya mengatakan bahawa Sanskrit merupakan bahasa kuno akan tetapi terdapat beberapa usaha yang dilakukan oleh segelintir golongan masyarakat di India and Jerman yang ingin menghidupkan semula bahasa tersebut. Panggilan orang yang berkaitan dengan ajaran Hindu adalah Veda Murthi. Murthi bermaksud ‘pakar dan ketua’. Istilah ‘Veda Murthi’ merupakan seseorang yang arif dengan ajaran kitab-kitab Veda. Veda Murthi juga berkata bahawa mereka tidak mendapat idea-idea dari Tuhan tetapi dari ‘Apaurusheya’ yang bermaksud ‘pengetahuan ilahi’ ataupun pengetahuan melebihi kefahaman manusia.

 

Istilah penting yang berkaitan dengan kewujudan dan penyebaran Hinduisme adalah ‘Sruti’ dan ‘Smrti’. Sruti [sur-ti] bermaksud ‘dengar’ manakala Smrti bermaksud ‘ingat’. ‘Saya dengar, oleh itu saya ingat’. Apabila golongan Veda Murthi ingin menyampaikan ajaran Veda kepada rakyat jelata yang biasa (mereka tidak mempunyai taraf pendidikan yang tinggi), mereka memilih untuk meringkaskan ajaran-ajaran daripada Kitab-kitab Vedas melalui Sruti dan Smrti.

 

Perkara penting mengenai Sruti dan Smrti ialah Sruti adalah pengalaman langsung (berhubung terus dari pendengar dan pencerita) manakala Smrti adalah amalan yang dibawa turun dari nenek moyang (bukan berhubung terus, hanya apa yang boleh diingat dari generasi terkini akan generasi sebelumnya). Ini kerana pada zaman dahulu, penulisan hanya diamalkan oleh segelintir golongan Istana dan ajaran dan sejarah disampaikan secara lisan. Kepentingan Sruti adalah untuk menyebarkan ajaran menggunakan cara ringkas, tepat dan senang untuk diingati hatta penyebaran agama yang paling berkesan kepada semua golongan rakyat kerana penyebaran berlaku melalui pendengaran.

 

Dalam agama Hindu, bunyi memainkan peranan yang amat penting kerana getaran yang dihasilkan daripada bunyi tersebut. Banyak mantera bermula dengan ‘Ohm’ dan berakhir dengan kata penutup mantera iaitu ‘Svaha’ (bermaksud ‘Saya tunduk kepada anda’) dan setiap suku kata ada kuasa getaran sendiri. Ia bersamaan dengan Zikir (dalam Islam) dan ‘Aum’ untuk ajaran Buddhisme. Mantera-mantera ini dikumpul dan kemudian dibukukan kepada Kitab-kitab Vedas. Ia dikatakan bahawa pengarang bernama Vyasha adalah nama dibelakang penulisan Kitab-kitab Veda tetapi ia juga dikatakan bahawa Vyasha ini merupakan panggilan untuk orang-orang yang berbeza.

 

Kitab-kitab Vedas terdiri daripada 4 kitab iaitu Kitab Rigveda, Yajurveda, Samaveda dan Atharvaveda. Rigveda mempunyai 10,250 ayat, Yajurveda mempunyai 6,000 ayat, Samaveda mempunyai 1875 ayat dan Atharvaveda mempunyai 2,000 ayat dan setiap Kitab merangkumi ajaran yang meliputi segala aspek kehidupan. Dalam setiap mantera terkandungnya tenaga yang positif oleh sebab mantera yang bukan sahaja untuk memuja Tuhan tapi untuk mendoakan kesejahteraan semua yang hidup dalam alam sekitar. Kandungannya amat terperinci kerana ia merangkumi segala aspek kehidupan dari jenis-jenis perkahwinan yang dibenarkan atau diharamkan sehinggalah garis panduan, butiran kelayakan dan senarai tanggung-jawab untuk memperoleh anak angkat dalam hal ehwal keluarga.

 

Kitab-kitab Vedas iaitu Kitab Rigveda, Yajurveda, Samaveda dan Atharvaveda kemudiannya diringkaskan kepada beberapa peringkat mengikut peredaran zaman iaitu :

  1. Veda (kitab-kitab Vedas terawal)
  2. Dharma sastra
  3. Dharma sutra
  4. Smrti
  5. Nibanda
  6. Purana
  7. Epik (terakhir)
  • Dharma sastera mempunyai 3 kandungan; ‘Acara’ iaitu kod etika dan pendidikan moral perihal isu keluarga, ‘Ayuhara’ iaitu perihal mengenai fungsi dan tanggungjawab masyarakat, serta ‘Prayacita’ iaitu cara-cara penebusan dosa besar atau kecil yang dilaksanakan untuk orang yang ingin bertaubat dari kesalahannya.
  • Gerenasi berikutnya mengeluarkan Dharma Sutra iaitu versi ringkas dari Dharma Sastera.
  • Smrti iaitu cara paling senang kerana melalui cara lisan. Nama bukunya ialah Manusmriti tetapi orang yang meringkaskannya bernama Manu…yang juga merupakan asalnya Manusia dalam Bahasa Melayu.
  • Nibanda – Satu generasi seterusnya lagi, Manusmriti diringkaskan dan dibahagikan kepada bab-bab tertentu mengikut kefahaman mereka. Sebagai contoh, buku cerita kanak-kanak dibahagikan kepada bahagian ‘Remaja’ dan ‘Kanak-kanak’ hanya pada tahun 80-an, kerana pembahagiaan tersebut dilakukan mengikut lapisan umur dan tahap pemikiran mereka yang berbeza. Nibanda juga mempunyai garis panduan dalam pentadbiran kerajaan seperti tatatertib pemberian hadiah diantara Raja dan bangsanya, prosedur mahkamah dan lain-lain.
  • Purana wujud untuk mempermudahkan lagi isi kandungan Nibanda. Purana juga memfokuskan pada cerita dewa dan dewi yang mempunyai pengajaran nilai-nilai moral yang tersirat kerana Purana kerap diceritakan pada golongan kanak-kanak. Dalam setiap Purana yang mempunyai dewa/dewi berbeza, dewa/dewi tersebut akan memainkan watak protagonis atau hero dalam jalan cerita mereka masing-masing.
  • Epik adalah cerita orang awam. Seperti Epik Ramayana, terdapat beberapa watak yang di-inspirasikan atau penjelmaan daripada dewa dewi Hindu seperti Vishnu yang menjelma kepada watak Rama, Lakshmi yang menjelma kepada watak Sita, Shiva yang menjelma menjadi Hanuman, dan lain-lain. Ini adalah untuk mengekalkan hubungan cerita Epik Ramayana dengan ajaran Hindu.

 

Sastera Mahabarata merupakan sebuah cerita yang melibatkan Krishna sebagai diri-Nya dan Arjuna (seorang manusia dalam penjelmakan Vishnu) dalam perang besar di Bharata selama 6 hari. Krishna merupakan panduan rohani Arjuna apabila beliau dalam keraguan untuk memerangi musuh iaitu ahli keluarganya sendiri. Krishna membimbingnya demi Kebenaran (Dharma) dan apabila Arjuna ingin memulakan perang tersebut, lalu berlakunya bab perang iaitu bab yang dipanggil ‘Bhagavad Gita’. Perkataan Bhagavad berasal dari Bhagavan iaitu bermaksud ‘Lagu Tuhan’. dan dalam Bhagavad Gita, terdapatnya watak-watak lain seperti Bishma (jelmaan Dewa Hanuman) yang memainkan peranan sebagai watak sampingan.

 

Saudara Uthaya juga menerangkan istilah Vignaya, Karma, Upasana, dan Gyan:

  1. Vignaya merupakan mantera untuk mengenali Tuhan
  2. Karma merupakan konsep yang menggalakkan manusia berbuat baik demi mendapat balasan yang baik demi persediaan Akhirat.
  3. Upasana merupakan koleksi doa-doa yang berlandaskan sifat menyeluruhi ataupun ‘universal’. Upasana baik dibaca dalam Bahasa Sanskrit dan doa-doa akan ditujukan untuk semua seperti keamanan untuk semua manusia tanpa pilih kasih pada golongan manusia.
  4. Gyan merupakan ilmu atau cerita mengenai alam semesta.

 

Akhirnya, Saudara Uthaya menenkankan bahawa agama Hinduisme adalah agama yang mempercayai 1 Tuhan sahaja dan seperti ajaran Islam, Orang Islam mempercayai bahawa Allah s.w.t mempunyai 99 nama terpuji, Hinduisme juga mempunyai nama-nama lain yang tiada nombor hadnya untuk Tuhan kerana mereka mempercayai bahawa Tuhan tidak mempunyai apa-apa bentuk fizikal yang nyata. Tetapi berbeza dari agama lain, Hinduisme menggalakkan penganutnya untuk menggambarkan dan membayangkan Tuhan menggunakan kreativiti mereka dan juga untuk menyoal dan mencari jawapan sekiranya kepercayaan/pendapat mereka bercanggah dengan apa yang telah disampaikan.