Reviu: Forum ‘Melayu di pinggiran?’

Apakah justifikasi di sebalik perbincangan forum ‘Melayu di pinggiran?’. Pada awal perencanaan acara forum ini, kami namakannya sebagai ‘Melayu di pinggiran’ tanpa ditambah tanda soal di hujungnya, secara tidak langsung memberi penandaan bahawa benar, memang melayu benar-benar di pinggiran. Kemudian, setelah berbicara dengan para panelis, Dr. Muhammed Khalid salah satunya menekankan tanda soal sebagai permulaan perbincangan. Makanya persoalan forum ini sudah beralih kepada hal yang lain: adakah benar Melayu di pinggiran? Ataupun ini adalah silap faham yang seringkali dilaungkan atas keyakinan yang tidak terlalu jernih?

Konteks yang spesifik telah digunakan sebagai kerangka perbincangan kami pada malam 14hb Disember yang lepas. Pihak Projek Dialog merasakan bahawa perbincangan mengenai impak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan juga penerusan polisi yang sama melalui Dasar Pembangunan Nasional (DPN) terhadap rakyat Malaysia secara umumnya perlu di terangkan kepada khalayak ramai. Dengan ini, kami telah menjemput Dr. Muhammed Abdul Khalid – seorang ahli ekonomi yang telah menulis buku (The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia) mengenai ketidaksamaan di negara kita. Dan juga, konteks mengenai pertubuhan kesatuan pekerja dan kekuatan organisasi ini di dalam perlaksanaan taktik di dalam membela hak ekonomi golongan melayu. Hal ini dibincangkan dan diterangkan oleh Wan Noorulazhar, selaku pengerusi kepada MTUC (Malaysia Trade Union Council) bahagian Wilayah Persekutuan dan juga Selangor.

Berdasarkan dua konteks yang disebutkan di atas, dapatkah kita wujudkan suatu hubung kaitan yang kuat di antara kedua-duanya? Kami mengambil pendekatan sebegini: jika benar kaum melayu masih berada di pinggiran, dapatkah pendekatan melalui kesatuan pekerja dapat dijadikan sebagai salah satu senjata untuk membela hak mereka selaku pekerja? Jadi dengan konteks begitulah kami melangsungkan forum tersebut. Harus diingatkan bahawa artikel ini merupakan ulasan kepada forum dan ditulis berdasarkan perbincangan dan perbualan yang telah berlangsung.

Latar belakang perlaksanaan DEB dan penerusan polisi melalui DPN

Perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bertujuan untuk menaikkan tahap sosio-ekonomi golongan bumiputera agar setara dengan etnik yang lain. Golongan bangsa Melayu merangkumi sebahagian besar daripada kategori Bumiputera di negara kita, sebahagiannya adalah golongan orang asli dan bumiputera yang sebahagian besarnya berada di rantau Borneo, iaitu Sabah dan Sarawak.

Sewaktu forum ini berlangsung, Dr. Muhammed menegaskan bahawa perlaksanaan Dasar Pembangunan Nasional merupakan polisi yang tidak berdasarkan kaum. Walaupun begitu, dia tidak menafikan bahawa apa yang berlaku pada waktu ini adalah jurang kekayaan di dalam kaum itu sendiri. Malah, bumiputera yang lain masih berada pada tahap yang membimbangkan. Satu daripada tiga orang asli masih berada di bawah garis kemiskinan. Dengan isu pembalakan yang berlaku di Gua Musang, turut dilihat sebab bukti kepada realiti sosial yang dinyatakan tadi. Bumiputera di Sabah dan Sarawak juga berada di pinggiran; dengan Sabah merangkumi sebanyak 20% dan juga Sarawak 7% yang berada di tahap kemiskinan.

Kemudian, dia meneruskan lagi akan kurangkan penekanan akan jurang kekayaan di dalam kategori kaum dengan menyatakan bahawa majoriti daripada kaum cina juga adalah golongan kelas pekerja. Jadi apabila kaum cina dimomokkan sebagai golongan yang lebih kaya daripada kaum yang lain, ianya merupakan suatu kenyataan yang separuh benar dan tidak menggambarkan realiti yang menyeluruh. Tidak lupa juga penekanan keadaan ekonomi mengikut generasi yang berbeza. Secara jelasnya, majoriti anak muda berjaya meraih kelebihan polisi di mana tahap pendidikan berubah secara drastik. Namun, ini tidak menjanjikan keadaan yang benar-benar memuaskan. Dengan keadaan ekonomi global yang semakin tidak menentu, kita rakyat Malaysia secara umumnya berada di tahap yang benar-benar rapuh. Kelas pekerja dan menengah berdiri di atas satu lapisan yang nipis dan tidak mempunyai sokongan yang kuat apabila berlakunya krisis ekonomi secara mendadak nanti, terutama golongan orang berumur yang telah bersara dan juga anak muda.

Selepas itu perbincangan beralih pula kepada definisi kemiskinan yang seperti mana perlu dibincangkan. Kemiskinan akal pula bagaimana? Dr. Muhammed mengesyorkan teori Zaaba dan ahli pemikir Melayu yang juga menerangkan mengenai fenomena yang sama. Kemunduran akal yang disebabkan oleh beberapa faktor seperti faktor sejarah dan juga norma-norma yang dilaksanakan di kalangan ahli politik juga perlu dibincangkan, ini secara tidak langsung membawa maksud bahawa kemunduran akal mempunyai aspek sejarah dan perkembangannya yang tersendiri; ia tidak patut dilihat sebagai sesuatu yang lumrah. Rasuah yang semakin berleluasa dan dilihat sebagai sesuatu yang norma di kalangan anak muda adalah suatu bentuk kemunduran akal. Ini ditegaskan oleh dia dengan mengatakan bahawa 60% daripada kes rasuah yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia adalah dari golongan anak muda.

Kesatuan Sekerja dan pengukuhan organisasi sebagai salah satu cara untuk membela hak Melayu.

Tiba giliran saudara Wan Noorulazhar untuk membentangkan mengenai kesedaran kepentingan kesatuan sekerja di kalangan orang Melayu. Pada awalnya, dia tegas menekankan bahawa kelas pekerja secara umumnya menjangkaui kategori kaum. Meskipun begitu, beliau tidak menafikan bahawa bangsa melayu secara keseluruhannya terdiri daripada kelas pekerja di negara kita.

Kemudian dia menerangkan bahawa keadaan ekonomi dunia mempengaruhi keadaan sosio-ekonomi bangsa melayu secara menyeluruh. Dia meneruskan lagi dengan mengatakan bahawa wujudnya sebab-sebab yang kukuh kenapa pada waktu ini, perlunya bangsa melayu mengukuhkan organisasi kesatuan sekerja yang pada suatu masa dipenuhi oleh golongan bukan melayu. Ini adalah petanda bahawa bangsa melayu itu semakin tertindas dan dia bersetuju dengan kenyataan yang di buat oleh Dr. Muhammed; kemunduran akal juga memainkan peranan kenapa majoriti bangsa melayu tidak pernah merasakan bahawa perlunya kesatuan sekerja sebagai salah satu landasan utama untuk membela hak ekonomi mereka.

Akta buruh adalah sesuatu yang tidak pernah diambil kira oleh kebanyakan pekerja Melayu dan ini mengakibatkan ketidaksedaran akan kebolehan pekerja Melayu untuk mendapatkan hak masing-masing. Tanpa pengetahuan yang kukuh mengenai akta buruh, pekerja melayu tidak mempunyai kuasa untuk membuat rundingan dengan majikan. Ini secara tidak langsung membolehkan majikan untuk menindas pekerja sesuka hati dan kurangnya kesedaran akan kesatuan sekerja di kalangan pekerja melayu adalah sesuatu hal yang bagus dan memihak kepada mereka.

Saudara Wan Noorulazhar juga menekankan keperluan bagi pekerja Melayu untuk melakukan kajian yang mendalam terhadap Malaysian Employers Federation di mana mereka membawa kepentingan yang bercanggah dengan kelas pekerja. Ini juga seharusnya ditekankan agar kepentingan hak pekerja, melalui kebolehan berorganisasi dan juga kesatuan sekerja dapat melakukan perubahan dan pembelaan yang secukupnya.

Sesi soal jawab dan kesimpulan

Kemudiannya sesi soal jawab berlangsung dengan pertanyaan yang bagus daripada pihak awam. Walaupun begitu, kebanyakan soalan-soalan ditujukan kepada Dr. Muhammed tentang data-data yang membentuk sosial realiti kita: dari hal identiti sehinggalah ke stereotaip melayu yang telah lama membelenggu mereka dari dulu. Ini menyebabkan forum ataupun perbincangan lebih berpihak kepada soalan-soalan ataupun hal-hal yang bersifat teknikal. Mungkin sahaja, kurangnya kelas pekerja itu sendiri di kalangan khalayak awam yang menghadiri forum ini adalah salah satu sebab utama.

Saudara Wan Noorulazhar, apabila soalan mengenai kekuatan politik di dalam kesatuan sekerja diajukan kepadanya; dia menerangkan bahawa sejak dari dulu kesatuan sekerja di pantau oleh pihak-pihak atasan untuk tidak menggerakkan organisasi dan mengukuhkannya atas dasar politik. Beliau juga turut menyentuh parti buruh sebagai sesuatu yang perlu untuk menguatkan semula kesatuan sekerja. Parti buruh perlu diadakan dan ini merupakan suatu hal yang masih kurang di sini. Ini mengakibatkan kekurangan kesedaran politik di kalangan kelas pekerja dan dengan senang-senang dibuli oleh pihak majikan.

Pada akhirnya, forum ‘Melayu di pinggiran?’ merupakan gabungan di antara dua hal: hal yang praktikal dan hal yang berdasarkan fakta. Praktikal dibincangkan melalui kekuatan organisasi kesatuan sekerja dan hal yang berdasarkan fakta dibincangkan melalui impak-impak ekonomi dan polisi domestik yang mempengaruhi sosial realiti kita. Secara jujurnya, semoga hal-hal asas seperti ini masih dapat dibincangkan secara meluas dan berjaya menarik lebih banyak pihak awam.