Reviu: Forum Syariah 101 – Asas dan realiti perlaksanaannya di negara kita.

Kadang-kadang hukum Syariah sudah dipesongkan imejnya atas kepentingan sesetengah pihak. Sedangkan hukum itu sendiri merupakan sesuatu hal yang universal dan adil sifatnya. Langsung kenapakah ia menerima segala bentuk cabaran pada waktu ini? Adakah ianya menjadi suatu hal yang bertentangan dengan hak asasi manusia secara am? Pastinya ia tidak seperti itu, pastinya setiap hukum agama yang telah berkembang dari beribu tahun lamanya mempunyai ciri-ciri yang tidak akan di makan zaman dan boleh diaplikasikan tanpa mempunyai masalah. Malah hukum-hukum itu sendiri mempunyai relevannya yang tersendiri dan mempunyai rasional yang mampu sahaja diterima oleh setiap lapisan masyarakat.Tetapi bukan itu yang dipaparkan oleh media. Bukan seperti itu yang difahami oleh orang berlainan agama. Sesama sendiri kita berasa sangsi terhadap kongkongan hukum agama, kerana pengalaman mengajar kita bahawa trauma penindasan agama itu berlaku di merata-rata tempat dan ianya merupakan suatu hal yang kalau boleh ingin kita elakkan.

2016-11-29-16-04-37
Lokasi forum Sharia 101 yang terletak di Rumah Khizanat, Ipoh.

Tetapi apakah caranya untuk menangani masalah seperti ini? Sebaiknya bagi pihak kami hal seperti ini tidak harus dilaksanakan dengan memburuk-burukkan sesuatu hukum dengan tindakan yang semberono, sebaliknya difahami sebaik mungkin dan berharap bahawa wujudnya suatu premis yang mampu diterima dan difahami oleh golongan berlainan agama. Maka dengan persoalan seperti yang dinyatakan di atas, Projek Dialog merasakan bahawa hukum syariah perlu diterangkan secara asas bagi pihak bukan muslim dan golongan minoriti bagi menjelaskan hal-hal asas yang membentuk hukum Shariah secara umum.

Lebih tepat lagi, dengan keterlibatan aktif di antara dua pihak iaitu panelis dan juga pihak awam, dialog yang lebih relevan dan mengena dengan keadaan semasa boleh diterangkan mengikut konteks yang betul, berserta pengalaman para panelis yang telah terlibat dengan perkembangan sejarah undang-undang syariah di negara kita. Forum Sharia 101 melibatkan dua panelis, Dato’ Ismail Yahya yang merupakan bekas Ketua Hakim Syarie Terengganu dan mantan Mufti Terengganu, dan juga Marwan Bukhari, anak muda yang terlibat aktif dengan Universiti Terbuka Anak Muda dan juga Institut Darul Ehsan.

2016-11-29-21-04-00Kedua-dua panelis menerangkan dua hal yang berbeza, sesuai dan juga selesa dengan penerangan masing-masing. Marwan Bukhari menerangkan mengenai asas Shariah dari aspek teologi. Permulaan forum, Marwan menerangkan bahawa Shariah sering disalah fahami sebagai undang-undang yang keras, ganas seakan menyamai tahap peperangan dan sebagainya. Tetapi secara hakikatnya Shariah lebih luas dari itu.

Shariah umumnya merangkumi hubungan manusia dengan Tuhan, manusia sesama manusia dan manusia dengan alam. Oleh itu ayat-ayat yang wujud di dalam al-Quran dan Hadis (kedua-duanya merupakan rujukan tertinggi Shariah) mengandungi prinsip, nilai dan peraturan untuk membela ketiga-tiga hubungan itu.

Saudara Marwan terus menerangkan bahawa tiga sifat utama Syariah bersifat rasional, manusiawi dan universal. Dan berhubung persoalan sejauh mana Shariah boleh menerima pembaharuan dan reformasi, beliau memberi jawapannya dengan mengatakan bahawa di dalam Syariah, khasnya melibatkan hubungan antara manusia sesama manusia dan manusia dengan alam, Syariah penuh dengan prinsip dan nilai yang bersifat manusiawi dan rasional.

Pembaharuan dan reformasi pemikiran hendaklah tidak bertentangan dengan prinsip dan nilai itu, begitu juga ia tidak boleh bertembung dengan hukum-hakam tertentu yang bersifat kekal. Sebagai contoh antara prinsip ataupun nilai dalam Shariah ialah Keadilan dan Shura. Untuk memastikan kedua-dua prinsip itu direalisasikan dalam kehidupan manusia, kreativiti manusia diperlukan supaya pelaksanaan sesuai dengan perkembangan masa dan tempat. Disebabkan itu, secara umumnya Islam tidak ada masalah dengan demokrasi dan hak asasi manusia, sekalipun boleh jadi  ada perbezaan tertentu pada peringkat yang lebih terperinci.

2016-11-29-21-04-18Kemudian tiba giliran Dato’ Ismail untuk membentangkan aspek legal di dalam syariah secara asas. Melalui pembentangan beliau, undang-undang Syariah menurut kefahamannya di sama ertikan dengan agama atau adDin. Ia merangkumi apa sahaja yang ditetapkan oleh Allah melalui Al-Quran dan Al-Hadis untuk para hamba-Nya baik tentang akidah, ibadat, akhlak, muamalat dan apa saja tatanan hidup di dunia ini.

Beliau kemudian beralih dan memberi fokus kepada hukum-hukum yang berkaitan dengan jenayah, mungkin sahaja kerana konteks yang berlaku pada waktu ini berkait rapat dengan isu pemindaan RUU 355 yang sedang dipersembahkan oleh salah satu ahli politik pembangkang. Hukum-hukum   yang   berkaitan dengan jenayah dan balasannya, telah dikategorikan oleh ahli perundangan Islam secara umumnya kepada tiga kategori besar, iaitu pertama: kesalahan Qisas, kedua: kesalahan Hudud dan ketiga: kesalahan Ta’zir.

Para hadirin yang hadir untuk berdialog dengan para panelis mengenai asas-asas Syariah
Para hadirin yang hadir untuk berdialog dengan para panelis mengenai asas-asas Syariah

Selaku peguam syariah yang telah lama terlibat di dalam sistem perhakiman di negara kita, beliau menyokong perlaksanaan undang-undang Hudud tetapi menekankan beberapa sudut pandang yang lebih utama tetapi masih lagi tidak dibincangkan secara terperinci di sini. Maka secara tidak langsung Hudud masih belum sesuai untuk dilaksanakan disebabkan beberapa cabaran yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Jadi yang dipersoalkannya adalah tiga kategori yang berkaitan dengan syariah: bahagian organisasi mahkamah syariah, prosedur yang bersangkutan dan juga bidang kuasa syariah. Undang-undang syariah mulai dikuatkuasakan pada tahun 1965 dan sejak itu telah melalui beberapa pindaan pada tahun 1986, 1989 dan pada tahun ini pindaan mulai dibentangkan. Ketiga-tiga pindaan ini memberi fokus kepada bidang kuasa di mana hukuman syariah dipertingkatkan dan pada tahun 1989 pula, bidang kuasa diperluaskan ke kawasan Sabah dan Sarawak.

Dato' Ismail Yahya sedang menerangkan mengenai aspek undang-undang Syariah
Dato’ Ismail Yahya sedang menerangkan mengenai aspek undang-undang Syariah

Berdasarkan pengalaman Dato’ Ismail selama ini, aspek organisasi dan prosedur adalah hal yang perlu diutamakan terlebih dahulu sebelum semuanya beralih kepada persoalan bidang kuasa. Kerana menurut beliau, penekanan terhadap bidang kuasa inilah yang menyebabkan rakyat secara umum dan secara spesifiknya golongan minoriti dan bukan muslim menjadi resah dan sangsi terhadap kekuatan dan keberkesanan undang-undang syariah. Terdapat banyak kes yang dirujuk oleh beliau dan menunjukkan bahawa terdapatnya ketidakadilan yang berlangsung melalui mahkamah syariah, terutama sekali hal yang berkaitan dengan golongan wanita. Beliau menyebut, “Bidang kuasa mahkamah syariah seringkali berpihak kepada golongan lelaki dan golongan wanita seringkali tertindas di dalam hal ini.” Kemungkinan hal ini ditekankan oleh beliau kerana keterlibatannya secara aktif di dalam bidang kekeluargaan di dalam konteks syariah.

Forum berakhir dengan penglibatan daripada pihak awam yang kebanyakannya mempersoalkan samada syariah mampu berlaku adil jika ianya benar-benar dilaksanakan di negara kita. Terdapat juga hujah yang tegas di mana perlaksanaan hukum hudud itu perlu dilaksanakan agar dapat membuktikan bahawa Islam itu adalah agama yang adil dan sejagat sifatnya, menjangkaui batas kaum dan agama.

2016-11-29-23-08-23

Walaubagaimanapun, seperti mana yang dipersoalkan oleh Dato’ Ismail, ada beberapa hal lain yang perlu ditekankan terlebih dahulu sebelum persoalan bidang kuasa dipertingkatkan. Tetapi pada waktu ini dan berdasarkan perkembangan sejarah, pindaan lebih memberi fokus kepada aspek hukuman dan bidang kuasa. Hal-hal yang berkaitan dengan prosedur dan organisasi tidak pernah dikritik dan dibaiki sebaiknya. Ini secara tidak langsung dilihat sebagai cabaran utama dan apabila bidang kuasa yang ditekankan, mungkin sahaja ianya bermotifkan agenda kekuasaan yang lebih besar daripada hal syariah. Usaha perlu ditingkatkan bagi memperbaiki organisasi dan prosedur mahkamah syariah agar ianya menjadi lebih kukuh dan efisien di dalam pengendalian hal-hal yang berkaitan dengan golongan muslim.