REVIU: SIKHISME 101

Pihak Projek Dialog telah menjalankan beberapa forum yang mempunyai dasar yang sama, iaitu menyediakan ruang dialog di antara individu yang berlainan bagi membincangkan suatu isu ataupun topik yang berkaitan. Berdasarkan konteks ini, pada 11hb Oktober yang lepas kami telah menyediakan ruang bagi membicarakan hal mengenai ajaran Sikhisme.

Memang kami mengakui bahawa acara seperti ini wujud keterbatasan dari segi kesempurnaan pemahaman yang akan dibentangkan, tetapi secara tegasnya kami nyatakan bahawa objektifnya lebih kepada pengutaraan persoalan-persoalan yang jarang dilontarkan mengenai sesuatu ajaran, seperti faktor-faktor sejarah yang berkaitan, keadaan politik yang mempengaruhinya, persoalan tradisi dan lain-lain. Kesemua ini adalah persoalan yang lebih mempunyai tarikan yang berlainan dan unik jika ingin dibandingkan dengan soalan-soalan umum yang bisa didapatkan di buku ataupun ruang internet.

Oleh itu, untuk reviu ini usahlah kita mengulang hal-hal umum mengenai ajaran Sikhisme kerana kebanyakan perkara yang disebutkan dapat dibaca melalui beberapa artikel dan terjemahan yang telah kami kongsikan iaitu ‘Agama Sikh: Fakta-fakta Menarik’, ‘Tentang Guru Agama Sikh Bahagian 1’, ‘Tentang Guru Agama Sikh Bahagian 2’ dan juga ‘Allah’ dalam teks Hindu dan Sikh. Kesemuanya ini dikongsikan sekadar latar belakang perbincangan yang telah diadakan, dikukuhkan dengan pembentangan umum oleh saudara Dr Jasbir Singh, selaku presiden kepada Sikh Naujawan Sabha Malaysia yang telah bersetuju untuk menjadi pembentang bagi acara tersebut.

Secara umumnya, Sikhisme berasal daripada perkataan ‘Sikh’ (bahasa Punjabi) yang bermaksud ‘Pengikut’ ataupun ‘Pelajar’. Sikhisme mula muncul pada abad ke 16 semasa berlakunya konflik diantara penganut agama Islam dan Hindu. Ianya diasaskan oleh Guru Nanak pada abad ke 15 di rantau Punjabi. Sikhisme terlahir apabila Guru Nanak sedang bergelut dengan realiti kehidupan beragama itu sendiri – bagaimana agama, kaum, dan status sosial yang berbeza berjaya memisahkan masyarakat. Pandangan Guru Nanak turut dipengaruhi oleh keadaan perbezaan kasta, diskriminasi terhadap wanita dan juga golongan agamawan yang eksklusif mendominasi rantau yang dihidupi beliau. Menarik diperhatikan bahawa kewujudan nama ‘Singh’ dan ‘Kaur’ pada lelaki dan wanita Sikh merupakan tanda bahawa tiada perbezaan di antara mereka dan mempunyai taraf yang sama di sisi Tuhan.

Saudara Jasbir Singh kemudiannya memberi contoh bagaimana Guru Nanak mempersoalkan praktis beberapa penganut Hindu yang melontarkan air ke langit bagi ‘menyuburkan’ matahari tetapi memandang jelik dan janggal kepada Guru Nanak yang melontarkan air ke kawasan kebunnya. Jadi berlandaskan situasi seperti itu, ajaran Sikhisme terlahir atas dasar inisiatif Guru Nanak untuk menjelaskan pengajaran ataupun cara-cara yang sebenarnya perlu dilaksanakan oleh saudara maranya di rantau tersebut, disebabkan telah jauh terpesong praktik keagamaan yang dilaksanakan oleh kebanyakan rakyat tempatan pada waktu itu.

Kemudian Dr Jasbir Singh mengaitkan hal ini dengan sifat keduaan yang telah berlangsung sehingga ianya memudaratkan masyarakat setempat. Ianya merupakan masalah keterasingan individu yang terlalu khusyuk di dalam ritual sehingga lupa untuk menjadi kritis terhadap masalah yang membelenggu kehidupan mereka seperti isu kasta dan sebagainya.

Langsung setelah selesainya sesi penjelasan seperti guru-guru Sikhisme, Sri Harmandir Sahib dan juga beberapa terma asas, perbincangan disediakan bagi pihak yang datang untuk bertanya soalan dan berbincang lebih mengenainya. Persoalan mengenai tradisi seperti lima ciri rukun kepercayaan itu diutarakan oleh saudari Kamini dan berkaitan dengan bagaimana ianya dilihat sekadar tradisi ataupun adat dan menanyakan pendapat saudara Jasbir mengenai hal itu. Lalu dijawabnya beliau mengenai kurangkan pemahaman mengenai hal ini yang menyebabkan tradisi tidak difahami dengan jelas.

Pelbagai soalan diutarakan oleh orang yang datang – dari perkaitan Sikhisme dengan gerakan sufisme di India sehinggalah ke persoalan adakah Sikhisme itu sendiri merupakan gerakan politik atau semata-mata sebagai ajaran tanpa signifikan kuasa empayar yang benar-benar besar. Tidak lupa juga perbincangan mengenai hal-hal kontemporari sebagai Operasi Blue Star yang telah berlaku pada tahun 80an.

Sesi Sikhisme 101 tidak hanya berlangsung berkisar asas-asas teologi tetapi sebaliknya persoalan dari sudut pandang yang lebih berbeza dan segala soalan yang diutarakan oleh pihak yang hadir menunjukkan bahawa adanya usaha di kalangan rakyat tempatan untuk mengetahui lebih mengenai komuniti Sikh di Malaysia dan bagaimana persoalan-persoalan yang ada berkaitan dengan hal yang berlaku pada waktu sekarang. Pihak Projek Dialog akan berusaha meneruskan inisiatif seperti ini, dengan harapan agar sebuah dialog yang lebih terbuka dan menjurus kepada persoalan-persoalan lain yang penting dapat dilakukan dengan jaya.