Pengisytiharan Kota Kinabalu

DI DALAM NAMA Allah Bapa, Anak dan Roh Kudus, semoga damai sejahtera Kristus Yesus Tuhan dan Juruselamat kita dan berkat yang daripada Allah yang Maha Kuasa dicurahkan ke atas Negara kita Malaysia. Segala Kemuliaan, Kuasa dan Keagungan hanya kepada Dia, satu-satunya Allah yang layak disembah.

1. BAHAWASANYA dengan satu perjanjian, Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada Sabah, Sarawak, Singapura dan Persekutuan Malaya telah menjadi sebuah negara yang baru pada 16 September 1963 di mana setiap komponen adalah rakan kongsi yang sama rata. Singapura telah berpisah daripada Persekutuan ini selepas dua tahun.

2. DAN BAHAWASANYA nubuatan yang daripada Firman Allah mengisytiharkan: “Tiga utas tali yang dipintal menjadi satu, susah diputuskan.” (Pengkhutbah 4:12b). Oleh itu, kami mengisytiharkan komitmen kami untuk mempertahankan kedaulatan Malaysia sebagai satu Persekutuan yang terdiri daripada Sabah, Sarawak dan Malaya.

3. DAN BAHAWASANYA ia telah dipersetujui oleh semua pihak bahawa Perlembagaan Persekutuan akan menjadi undang-undang tertinggi di dalam negara dan semua rakyat mempunyai perlindungan yang sama rata di bawah undang-undang ini dan lain-lain bentuk ketuanan jelas bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak boleh diterima.

4. DAN BAHAWASANYA di bawah pengisytiharan sejagat Hak Asasi Manusia mengiktiraf maruah manusia dan hak yang sama rata dan yang tidak boleh dipisahkan daripada semua manusia menjadi dasar kepada kebebasan, keadilan dan keamanan di seluruh dunia.

5. DAN BAHAWASANYA di bawah Artikel 18 Pengisytiharan PBB, setiap orang mempunyai kebebasan untuk berfikir, kepercayaan dan agama; hak ini adalah sama ada secara peribadi atau di dalam komuniti bersama-sama dengan orang yang lain secara umum ataupun peribadi, untuk menyatakan agama seseorang ataupun kepercayaanya di dalam pengajaran, amalan, penyembahan dan pematuhan serta kebebasan untuk menukar agamanya.

6. DAN BAHAWASANYA di bawah artikel 19 pengisytiharan PBB, setiap orang mempunyai hak kebebasan pendapat dan ekspresi; hak ini termasuk kebebasan untuk mempunyai pendapat tanpa gangguan dan kebebasan untuk mencari, menerima dan menyampaikan maklumat serta pendapat melalui apa-apa pun media tanpa menghiraukan sempadanya.

7. DAN BAHAWASANYA perkembangan undang-undang yang menindas terus mencabuli kebebasan awam tanpa henti-henti, pihak perundangan, eksekutif dan badan kehakiman harus mengambil langkah-langkah dengan segera untuk menyingkirkan undang-undang yang salah dan yang memilih bulu ini dan pulihkan kembali prinsip-prinsip demokrasi yang adil dan saksama seperti mana yang dibayangkan oleh perangka-perangka Perlembagaan dan pengasas negara kita.

8. DAN BAHAWASANYA dengan kehendak Allah yang maha agung lebih daripada dua pertiga orang Kristian terdiri daripada Bumiputera yang berbahasa Melayu, iaitu anak sulung tanah ini; Orang Asli daripada Semenanjung Malaysia dan Anak Negeri Sabah dan Sarawak.

9. DAN BAHAWASANYA nubuatan yang daripada Firman Allah mengisytiharkan: “Aku telah memberitahu Musa bahawa seluruh tanah yang kamu jejaki telah Aku berikan kepadamu dan kepada semua umat-Ku.” (Yosua 1:3).

10. DAN BAHAWASANYA di bawah Artikel 153 Perlembagaan, Orang Melayu Semenanjung dan orang asli Sabah dan Sarawak diberikan kedudukan dan keistimewaan, tetapi Orang Asli di Semenanjung Malaysia dikecualikan daripada perlindungan sedemikian dan kini waktunya sangat tepat selepas setengah abad dikecualikan, hak-hak komuniti Orang Asal harus diberikan pengiktirafan yang sewajarnya dengan segera.

11. DAN BAHAWASANYA sementara kedudukan istimewa orang Melayu dan orang asal Malaysia harus dilindungi, kini waktunya sangat tepat di mana kepentingan-kepentingan komuniti yang lain di Malaysia turut diberikan perhatian dan didukung dengan sama rata sesuai dengan peruntukan-peruntukan di Artikel 153.

12. DAN BAHAWASANYA Islam adalah agama Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dan mereka yang daripada kepercayaan lain hendaklah mempunyai hak dan kebebasan menurut perlembagaan untuk menganut, mengamal, menyebarkan, dan mengurus kepercayaan masing-masing tanpa gangguan dan campur tangan pihak Kerajaan.

13. DAN BAHAWASANYA Perlembagaan memperuntukan undang-undang digubal untuk pentadbiran Islam, namun undang-undang itu tidak boleh digunakan ke atas orang-orang bukan Islam dan orang-orang bukan Islam juga tidak tertakluk kepada undang-undang Syariah.

14. DAN BAHAWASANYA kebebasan beragama dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan dibentangkan sebagai syarat yang pertama 18 dan 20 poin Sarawak dan Sabah untuk menjadi sebahagian daripada Perjanjian Malaysia, tetapi pihak perundangan, eksekutif dan badan kehakiman telah dengan secara berterusan dan dengan sengaja menindas hak-hak mereka yang daripada kepercayaan lain dengan membuat undang-undang dan keputusan-keputusan yang menyekat kebebasan itu. Larangan untuk menggunakan perkataan ‘Allah’ oleh orang-orang Kristian Bumiputera yang merujuk kepada satu-satunya Allah dan larangan terhad ke atas penggunaan Alkitab, Kitab Injil bahasa Melayu, sejak awal 1980an lagi adalah contoh pencabulan hak-hak asasi manusia.

15. DAN BAHAWASANYA pihak atasan perundangan lebih cenderung mempertahankan ketuanan kaum dan agama daripada mendukung sumpah jawatan mereka untuk mempertahankan keunggulan kuasa Perlembagaan. Pihak perundangan harus bertindak dengan adil dan benar supaya rakyat biasa boleh minum daripada mata air keadilan Raja tanpa rasa takut atau pilih kasih.

16. DAN BAHAWASANYA nubuatan yang daripada Firman Allah mengisytiharkan:“Sebaliknya, berusahalah supaya keadilan mengalir seperti sungai, dan kejujuran mengalir seperti air yang tidak pernah kering!” (Amos 5:24)

17. DAN BAHAWASANYA hak untuk menentukan liturgi dan teologi termasuklah penterjemahan Kitab-Kitab Suci orang-orang bukan Islam terletak khususnya kepada pihak-pihak rumah ibadat masing-masing, Kerajaan termasuklah agensi-agensi Islam dan juga Sultan-Sultan sebagai ketua agama Islam negeri masing-masing hendaklah tidak campur tangan di dalam bidang eksklusif kepercayaan-kepercayaan lain.

18. DAN BAHAWASANYA krisis penggunaan perkataan ‘Allah’ dan Alkitab masih belum dapat diselesaikan yang kini sudah menjangkau lebih daripada 30 tahun, anggota-anggota Gereja di Malaysia yang berbahasa Melayu tidak ada pilihan lain melainkan terus menggunakan perkataan ini dan Alkitab seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang mereka.

19. DAN BAHAWASANYA terdapat unsur-unsur dakwah pelampau yang menjalankan pengislaman yang agresif secara rahsia ataupun secara terang-terangan terhadap Bumiputera Kristian melalui ugutan, penipuan, atau melalui pemberian sagu hati yang khususnya mensasarkan penduduk-penduduk kampung di pedalaman dan yang miskin dan juga pengislaman kanak-kanak sekolah yang tinggal di asrama-asrama Kerajaan. Jabatan Pendaftaran Negara, walaupun mereka membuat penafian, juga mengklasifikasikan orang-orang asal Kristian yang mempunyai ‘bin’ dan ‘binti’ pada nama mereka sebagai Muslim di dalam Mykad mereka tanpa pengetahuan dan persetujuan mereka. Amalan yang menyalahi undang-undang dan penindasan ini harus diberhentikan dengan serta merta.

20. DAN BAHAWASANYA kerajaan telah membenarkan ratusan ribu pendatang haram untuk membanjiri negara ini dengan memberikan mereka kad pengenalan dan ataupun kerakyatan sejak 1970an sementara begitu ramai lagi orang asal yang lahir di sini masih lagi kekal sebagai orang-orang tanpa kerakyatan.

21. DAN BAHAWASANYA kemasukan beramai-ramai pendatang haram yang pada akhirnya menjadi pengundi yang layak melalui cara-cara meragukan yang mana diketahui oleh kerajaan telah dengan secara serius menggugat pilihanraya yang bebas, adil dan berdemokrasi.

22. DAN BAHAWASANYA terhadap perbuatan yang khianat ini, tindakan undang-undang yang sepenuhnya hendaklah diambil ke atas mereka yang melakukan perbuatan khianat ini tanpa menghiraukan betapa berpengaruhnya mereka secara politik di dalam rejim pemerintah

23. DAN BAHAWASANYA pada 16 September 2009 pastor-pastor di seluruh Malaysia telah berkumpul di Kota Kinabalu dan secara nubuatan mendirikan sebuah mezbah kebangsaan dan mempersembahkan negara kita untuk diberkati oleh Allah Bapa dan selepas itu, kerajaan telah mengisytiharkan 16 September akan diperingati sebagai Hari Malaysia bermula pada tahun berikutnya iaitu tahun 2010. Dengan itu, setelah 47 tahun sejarah pembentukan Malaysia dilupakan akhirnya telah diperbetulkan.

24. DAN BAHAWASANYA pada tahun 2012, Gereja di Malaysia mula menyambut ketibaan Tahun Yobel untuk meraihkan ulang tahun kelima puluh Malaysia pada tahun 2013.

25. DAN BAHAWASANYA nubuatan yang daripada Firman Allah mengisytiharkan: “kamu harus menguduskan tahun yang kelima puluh, dan memaklumkan kebebasan di negeri itu bagi segenap penduduknya. Itu harus menjadi tahun yobel bagimu, dan kamu harus masing-masing pulang ke tanah miliknya dan kepada kaumnya. (Imamat 25:10)

26. DAN BAHAWASANYA tahun 2014 merupakan pengenapan tahun Yobel dan bermulanya Musim yang Baru.

27. DAN BAHAWASANYA nubuatan yang daripada Firman Allah mengisytiharkan:

“Untuk segala sesuatu ada masanya, untuk apa pun di bawah langit ada waktunya”. (Pengkhutbah 3:1)

“Aku akan memulihkan kepadamu tahun-tahun yang hasilnya dimakan habis oleh belalang pindahan, belalang pelompat, belalang pelahap dan belalang pengerip, tentera-Ku yang besar yang Kukirim ke antara kamu”. (Yoel 2:25)

28. DAN BAHAWASANYA nubuatan yang daripada Firman Allah mengisytiharkan:“Namun demikian Aku mencela engkau, kerana engkau telah meninggalkan kasihmu yang semula”. (Wahyu 2:4)

29. DAN BAHAWASANYA kita jangan berharap untuk melangkah ke Musim yang Baru kecuali dan sehingga kita merenungkan bagaimana dan kenapa kita telah gagal mengikuti dan menyembah Kristus Yesus sebagai Tuhan dan Juruselamat serta bertaubat daripada ketidaksetiaan dan ketidaktaatan kita.

30. DAN BAHAWASANYA Allah itu sentiasa setia dan nubuatan yang daripada Firman Allah mengisytiharkan:”Tetapi kamulah bangsa yang terpilih, imamat yang rajani, bangsa yang kudus, umat kepunyaan Allah sendiri, supaya kamu memberitakan perbuatan-perbuatan yang besar dari Dia, yang telah memanggil kamu keluar dari kegelapan kepada terang-Nya yang ajaib.” (1 Petrus 2:9)

SEKARANG di dalam nama Bapa, Anak dan Roh Kudus, kami dengan ini mengisytiharkan bahawa bermula dari hari yang ketujuh belas bulan September tahun dua ribu empat belas, dan dengan Kasih Rahmat Allah, Bapa kepada Tuhan Yesus Kristus, kami mengasingkan diri kami di hadapan TUHAN Allah yang Maha Kuasa dan masuk ke Musim yang Baru dengan harapan, iman dan kasih untuk mengangkat dan meninggikan Malaysia yang benar dan adil kepada semua rakyatnya. Amen.

Mitabang Mamangkis!

Ditandatangan oleh:

BISHOP DATUK DR THOMAS TSEN LIP TET REV DATUK JERRY DUSING

Presiden, Sabah Council of Churches Pengerusi, Commission of Sabah Affairs

PASTOR ESTHER GOLINGI PASTOR STEVEN CHOON YAN KON

Pengerusi, Perpaduan Anak Negeri (PAN) Sabah Pengerusi, Pastors’ Fellowship (E) Kota Kinabalu

PASTOR DANIEL CHIN VUI KIONG

Pengerusi, Pastors’ Fellowship (C) Kota Kinabalu

Kota
17 September 2014