Kenyataan Media: Hentikan Ungkapan Kebencian Terhadap Golongan LGBTQIA

Baru-baru ini, terdapat peningkatan ungkapan kebencian dan diskriminasi terhadap satu golongan yang terpinggir di Malaysia.

Projek Dialog sebagai sebuah organisasi mengfasilitasi wacana awam berpendapat sebuah pendirian kemanusiaan harus dinyatakan untuk melindungi golongan marjinal dan tertindas.

Golongan yang dimaksudkan dalam kenyataan ini adalah golongan gay, lesbian, biseksual, transgender, queer, interseks, aseksual (LGBTQIA) dan lain-lain ekspresi gender yang tidak dominan.

Golongan ini telah melalui gangguan dan kekerasan di media sosial dan media arus perdana. Golongan LGBTQIA+ sememangnya mengalami peminggiran akibat diskriminasi yang sistemik di Malaysia.

Ungkapan kebencian meningkat apabila terdapat pelbagai kempen untuk boikot dan menolak golongan yang menjadi sasaran. Projek Dialog ingin menyatakan kekesalan terhadap universiti awam dan organisasi mahasiswa yang bergiat aktif dalam mempromosi kelakuan zalim ini.

Kempen-kempen seperti ini mempunayi impak yang luas dan tidak terbatas di ruang online sahaja, tetapi juga di ruang offline. Kempen sedemikian mewujudkan ruang yang tidak selamat, meningkatkan syak wasangka terhadap gender dan seksualiti seseorang serta meningkatkan pengawasan gender tanpa alasan.

Kepelbagaian ekspresi dan identiti gender serta seksualiti adalah lumrah kehidupan. Kepelbagaian ekspresi wujud sejak berabad lama, termasuklah di alam Melayu dan kepulauan Nusantara. Zaman berubah, namun setiap rakyat negara ini masih menyumbang tenaga dan bakti mereka dengan cara mereka sendiri, termasuklah komuniti LGBTQIA+. Mereka juga adalah warganegara Malaysia yang bekerja, bersekolah, membuat kerja-kerja masyarakat, membayar cukai, membesarkan anak-anak mereka, menjaga orang tua dan sebagainya. Mereka adalah rakyat biasa yang menjalani kehidupan biasa seperti warga rakyat yang lain, dan peranan mereka dalam masyarakat adalah sama penting dalam menjaga prinsip demokrasi dan kepelbagaian di negara ini.

Setiap manusia layak diterima dengan baik tanpa mengira latar belakang. Naratif jahil serta tidak benar tentang golongan LGBTQIA yang bertebaran hanya akan mengakibatkan suasana sosial tidak selesa untuk mereka, dan ini menambah keterasingan mereka dari masyarakat.

Pendekatan yang lebih baik daripada kempen kebencian terhadap golongan LGBTQIA adalah dengan berdialog. Oleh itu, Projek Dialog menyarankan pembukaan ruang dialog yang selamat buat mereka yang ingin berinteraksi dengan komuniti LGBTQIA.

Sesungguhnya segala prejudis dan prasangka mampu terhapus saat kita bertegur sapa. Sebarang penyebaran fitnah dan ucapan kebencian daripada mana-mana pihak atau institusi terhadap golongan terpinggir wajar ditegur oleh masyarakat.

Marilah kita sama-sama menjauhi kekerasan dalam bentuk apa pun, dan terus membuka ruang ekspresi yang sihat untuk kemajuan Malaysia.

Projek Dialog
20 Februari 2018