Reviu: [Bengkel] Badan Anda: Kenal + Kuasa

Bengkel Badan Anda: Kenal + Kuasa telah berjaya dilangsungkan pada 9 Disember 2017 di Gereja St. Martin de Porres, Durian Tunggal, Melaka. Tema utama bengkel tersebut adalah ‘Pilihan, Tindakan dan Kesan’ (Choices, Actions and Effects). Bengkel kolaborasi antara Projek Dialog dan It’s Up To You ini telah dijalankan untuk golongan remaja berumur antara 13 hingga 18 tahun, dan juga dari kalangan ibu bapa di dalam masyarakat Peranakan Cina yang secara majoritinya beragama Kristian. Mereka fasih bertutur dalam Bahasa Malaysia dan bertutur Bahasa Inggeris secara asas sahaja. Perjalanan bengkel ini adalah dari jam 3pm hingga 8pm.

Majoriti remaja-remaja tersebut mempunyai keyakinan diri yang rendah, tetapi mempunyai ilmu tentang pendidikan seks kesan daripada bimbingan dan ajaran oleh cikgu mereka, Caroline Joy Wong. Oleh sebab itu, bengkel ini dibentuk untuk membantu mereka menghadapi masalah keyakinan diri dan juga sebagai sukatan pelajaran tambahan untuk mereka.

Pembukaan dan kata-kata aluan dari seorang guru, Caroline, yang telah bertungkus lumus menjayakan bengkel ini bersama pihak Projek Dialog.

Bengkel dimulakan dengan persembahan teater dari para remaja yang bertajuk ‘Budaya Bisa’. Persembahan ini menonjokan isu-isu sosial semasa yang dilalui oleh para remaja seperti mitos bahawa haid itu memalukan, persediaan sexual (sexual grooming), remaja hamil, dan juga remaja yang memikul peranan sebagai ibu bapa setelah ditinggalkan pasangan yang tidak bertanggungjawab.

Bagi isu remaja hamil, para hadirin juga diberi sedikit pengenalan dan pendidikan mengenai seks dan bagaimana seks yang tidak dilindung boleh menyebabkan seseorang wanita itu hamil.

Sesi pertama perkongsian ahli panel adalah ‘Mengenali Badan Kita’ yang telah dimulakan oleh Mooza Mohd. Dalam sesi tersebut beliau telah berkongsi dengan para peserta beberapa teknik pernafasan yoga yang bertujuan untuk memberi manfaat kepada tubuh badan. Beliau juga turut melakukan beberapa aktiviti senaman bersama-sama para peserta.

Senaman pernafasan untuk sentiasa tenang dan merehatkan tubuh badan bersama Mooza Mohd.

Bagi sesi kedua pula, Anas Lutfi Norman telah membentangkan mengenai ‘Hubungan Manusia yang Sihat dan Toksik’. Dengan menggunakan aktiviti interaktif beliau telah menyentuh jenis-jenis hubungan yang sihat antara ibu bapa dan anak serta jenis-jenis hubungan yang toksik antara kedua-duanya. Beliau turut berkongsi mengenai hak kanak-kanak.

Sesi seterusnya, ‘Limitasi Badan Kita dan Seni Mempertahankan Diri’ menampilkan Cassandra J. Poyong yang merupakan seorang pengamal seni mempertahankan diri Brazilian Jiujitsu (BJJ). Sambil dibantu Victoria Cheng beliau mempamerkan teknik-teknik mempertahankan diri BJJ kepada para peserta. Di samping itu, beliau juga berkongsi beberapa nasihat keselamatan bagi para remaja. Kunjungi instagram kami untuk video-video demonstrasi daripada mereka, https://www.instagram.com/projekdialog/

Akhir sekali, sesi ‘Orientasi Seksual, Identiti dan Ekspresi Gender’ (SOGIE), menampilkan Nisha Ayub selaku pembicara jemputan. Konsep-konsep seperti apakah itu orientasi seksual, identiti gender dan ekspresi gender telah dikupas oleh beliau dalam sesi ini. Tambahan pula, beliau juga telah bekongsi mengenai kesedaran terhadap golongan LGBTQ dan kepentingan sensitiviti terhadap mereka.

Penutupan bengkel ini telah menyaksikan majlis graduasi para pelajar di gereja ini dan juga ucapan penghargaan dari Pengerusi gereja, En. Damien.

En. Damien melafazkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan bengkel ini sehingga semuanya pada hari tersebut berjalan dengan lancar.

Menjadi salah satu matlamat utama bengel ini untuk mendidik para remaja tentang kepentingan topik-topik yang diperbincangkan dan juga untuk menginspirasi mereka akan pentingnya tubuh badan mereka dan orang lain. Pelbagai pendedahan telah dikongsi untuk mengajar para remaja bahawa tubuh badan bukanlah satu objek tetapi sebagai satu wacana kehidupan yang perlu dihormati dan bukannya dipersenda. Mereka perlu mengetahui hak mereka dan orang lain, seterusnya untuk menjadi lebih berkuasa akan diri sendiri serta tahu bila untuk meminta bantuan sekiranya berada dalam situasi-situasi yang tidak dikehendaki dan toksik.