Jangan Bakar Kitab Suci

Kenyataan ini dikeluarkan oleh Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB pada 24 Januari 2013 di Shah Alam, Selangor:

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan mana-mana pihak membakar buku sebagai tanda protes. Pendirian dan ketegasan Kavyan adalah sama seperti pegangan dalam insiden novel Interlok: Edisi Murid yang dilaporkan dibakar pihak tertentu pada Januari 2011 – BACA DI SINI.

 

Kalaulah Kavyan menentang keras perbuatan membakar buku cerita/fiksyen/novel, tentulah bantahan lebih keras ditujukan kepada mana-mana pihak yang mahu membakar – atau meminta orang lain membakar – buku-buku berupa kitab suci mana-mana agama.

 

Kavyan kecewa dengan tindakan mana-mana pihak yang tergamak menghasut orang ramai membakar mana-mana kitab suci mana-mana agama. Perbuatan itu adalah berbentuk menimbulkan hura-hara dan perlu diambil tindakan tegas demi keharmonian penduduk pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

 

Semoga mana-mana pihak/individu yang meminta/menghasut pembakaran mana-mana kitab sudi mana-mana agama segera menarik balik kenyataan itu dan segera insaf atas kesilapan yang dilakukan.