Persekutuan Kristian Malaysia: Kita mesti terus berharap

Tahun ini, kita memperingati Ulang Tahun Merdeka yang ke-57 dan ulang tahun penubuhan Persekutuan Malaysia yang ke-51. Masyarakat Kristian di Malaysia sentiasa menganggap ia suatu rahmat untuk berkongsi detik-detik dan peristiwa-peristiwa penting sepanjang sejarah kita sebagai satu negara.

Walau bagaimanapun, pengalaman kami sepanjang tahun ini tercalar akibat dua kejadian; pertamanya, perampasan Kitab Suci kami daripada premis Pertubuhan Bible Malaysia dan keduanya, keengganan Mahkamah Persekutuan untuk memberi kebenaran kepada Gereja Roman Katolik untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan terhadap kes Herald. Kami terus bimbang tentang status kitab suci yang dirampas dan kesudahan beberapa kes-kes mahkamah yang belum diputuskan berhubung dengan penggunaan kalimah “Allah” oleh umat-umat Kristian.

Tambahannya, kita juga menyaksikan peningkatan di dalam fahaman pelampau perkauman dan keagamaan, di mana puak-puak dengan kebencian dan pemikiran sempit sering dimarakkan oleh maklumat palsu dan penyalahtafsiran; dusta dan ucapan-ucapan yang mengapi-apikan merobek susunan kemasyarakatan negara kita yang telah dibina di atas prinsip kesederhanaan dan kepelbagaian budaya. Kita percaya semua rakyat Malaysia sesungguhnya turut merasa bimbang.

Memandangkan pelbagai cabaran yang sedang kita hadapi hari ini, tambahan dengan kenyataan dan pengumuman kurang sensitif dan kurang logik daripada sesetengah anggota kerajaan serta parti politik yang mentadbir, juga menerusi pemacuan dasar ekonomi yang hanya menambahkan kos sara hidup, maka ia tidak menghairankan apabila ramai telah menunduk kepada pandangan pesimis dan sinis. Sekiranya kita ingin terus bertahan sebagai sebuah negara yang bersatu, dan ingin mempertahankan harapan untuk masa depan bersama, kita semua mesti melawan dan menentang pengaruh-pengaruh yang membinasakan ini. Semua yang menyerah kepada ketakutan dan kekecewaan akan menjadi musuh harapan. Sebaliknya, kita mesti mengelakkan kenaifan dan optimis palsu yang berpunca daripada kejahilan dan sikap acuh tak acuh ataupun perbuatan sengaja bagi menutup isu-isu yang penting.

Apakah itu harapan sejati?

Harapan sejati melibatkan pengorbanan kerana ia tidak berkisar pada kedamaian minda atau ketiadaan persengketaan.

Harapan sejati menuntut keberanian untuk mengambil risiko, tekad moral untuk terus setia dengan pegangan kita serta melawan secara aktif terhadap pengaruh-pengaruh binasa, kebencian dan keganasan.

Harapan sejati tidak sesekali menafikan kebenaran, hakikat kehidupan yang suram, pereputan dan kerasuahan yang menjangkiti masyarakat kita. Harapan sejati mesti mendedahkan selubung dusta, penipuan dan tipu daya yang sering digunakan untuk memaksa dan menakluki minda menerusi maklumat palsu dan ketakutan.

Harapan sejati nampak masa depan adalah terletak pada perbincangan yang bermakna, penerimaan sesama sendiri, kerendahan hati dan saling menghormati.

Harapan sejati menuntut untuk orang lain apa yang kita tuntut untuk diri kita.

Harapan sejati tidak memisahkan “kita” daripada “mereka” tetapi menganggap semua sebagai “satu”. Dan setiap tindakan yang memberi harapan merupakan satu kemenangan.

Justerunya, kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk memberi komitmen baru kepada kerjasama padu demi menyelamatkan Malaysia daripada pengaruh pemikiran sempit, fahaman agama pelampau dan perpecahan kaum.

Kami menggesa semua rakyat Malaysia untuk berusaha lebih gigih lagi ke arah perubahan individu, antara individu dan institusi untuk mengubah negara kita menjadi sebuah masyarakat yang lebih bertoleransi dan berprihatin di mana semua dapat menikmati sepenuhnya kehidupan dan kebebasan, perlindungan saksama di bawah undang-undang dan kebebasan asasi.

Kami menyaran semua rakyat Malaysia untuk menyokong pergerakan-pergerakan dan kumpulan-kumpulan yang berusaha untuk menyatupadukan kita sebagai rakyat Malaysia agar kita dapat hidup aman dan damai.

Kebelakangan ini, negara kita diselubungi oleh kedukaan yang teramat atas kehilangan penumpang dan krew-krew pesawat penerbangan MH 370 dan MH 17. Umat-umat Kristian di Malaysia bersatu dengan semua rakyat Malaysia dan sahabat-sahabat yang kehilangan orang kesayangan dan rakan mereka dalam dua tragedi ini, dalam doa dan renungan mendalam, demi memohon ketenangan jiwa dan pendorongan bagi mereka yang berkabung.

Walau bagaimanapun, kita menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya tidak menunduk kepada perasaan putus asa dan kemuraman di hari-hari yang sukar ini. Marilah kita bersatu di dalam doa kepada Tuhan yang Maha Kuasa bagi memohon kekuatan untuk bertahan dan kegagahan untuk berharap dan berusaha ke arah Malaysia yang lebih baik bagi semua rakyat Malaysia.

Kami memanjatkan doa untuk pemimpin-pemimpin negara kita, iaitu Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri, Mentri-mentri Besar dan Ketua-ketua Menteri serta ahli-ahli kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, para kehakiman, pasukan polis dan angkatan tentera, semoga mereka menjunjungkan kebebasan beragama dengan integriti mutlak sepertimana yang dijaminkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka untuk kebaikan bersama.

Semoga Allah merahmati negara kita yang tercinta, Malaysia, serta semua rakyatnya!


Ditandatangani oleh,



Rev. Dr. Eu Hong Seng, Pengerusi

Bishop Emeritus Antony Selvanayagam, Naib Pengerusi

Archbishop Datuk Bolly Lapok, Naib Pengerusi

Rev. Datuk Jerry Dusing, Naib Pengerusi