Projek Dialog

Kasih Sayang dan Sistem Keadilan Manusia

parable” (kisah ringkas yang digunakan sebagai tunjuk-ajar) dalam Kitab Injil. Semakin matang pemikiran dan daya analisa saya, semakin berkembang lah pemahaman saya dengan apa yang ingin ditunjuk oleh perumpamaan-perumpamaan tersebut. Ada satu perumpamaan yang saya sering fikirkan. Ia adalah cerita tentang keinginan segolongan masyarakat pada zaman Nabi Isa untuk merejam seorang perempuan yang didakwa berzina. Hairan juga kenapa lelaki yang bersalah tidak sama-sama dikelilingi dan dikongkong sebegitu. Nabi Isa dicabar oleh pemimpin pada masa itu, dan ditanya apa yang patut dibuat dengan perempuan tersebut sebab mengikut undang-undang yang diturunkan oleh Musa (Moses), perempuan tersebut patut direjam. Nabi Isa pula berkata kepada mereka, “Sesiapa yang langsung tidak berdosa dipersilakan melontar batu yang pertama”. Ramai yang menafsir perumpamaan ini sebagai satu tauladan, tunjuk-ajar bahawa kita tidak patut mengagungkan diri dan mengadili dosa orang lain. Itu keistimewaan Tuhan. Setiap orang patut meninjau dalam dirinya dahulu, dan kalau berdosa, patut berusaha menukar diri dalamnya dahulu. Bagi saya, apa yang disampaikan bukan setakat pemahaman ramai, yang tertumpu kepada kenyataan bahawa sebagai manusia yang tidak sempurna, kita patut meneliti kesalahan dan dosa kita dahulu dan berusaha berbuat begitu pada setiap masa. Setiap system melambangkan nilai zamannya Bagi saya, perumpamaan tersebut juga menunjukkan bahawa sistem keadilan pada masa itu adalah sistem yang ditegakkan oleh manusia, berdasarkan pemahaman zaman itu: atas apa yang dianggap sebagai kesalahan, siapa yang dipandang sebagai pesalah (dan pandangan tersebut tidak semestinya satu kebenaran) dan hukumannya. Bagi saya, apa yang saya dapat fahami adalah hukuman rejam itu datangnya dari budaya masyarakat tersebut, pemahaman yang tidak lengkap tentang keadilan dan kekeliruan tentang bagaimana keadilan patut ditadbirkan sebaik-baiknya. Kekurangan pemahaman tentang keadilan dicerminkan oleh keinginan untuk menghukum dan melihat orang yang dianggap berdosa itu menderita. Mengapa saya kata begini? Keadilan dan kasih sayang Nabi Isa pernah ditanya, di antara Sepuluh Perintah Tuhan (Ten Commandments) yang diturunkan, yang mana lebih penting. Beliau berkata, “Mengasihi Tuhan atas segala-galanya, dan mengasihi sesama manusia seperti kamu mengasihi diri kamu”. Ada orang yang berkata jawapan Nabi Isa adalah rumusan pesanan Sepuluh Perintah Tuhan. Bagi saya, ia bukan rumusan tetapi kata-kata yang sangat tepat dan yang paling susah untuk menepati Sekiranya, kita dapat mengasihi sesama manusia seperti kita mengasihi diri kita sendiri, kita tidak akan begitu berghairah memikir apakah hukuman yang terbaik untuk menyeksa mereka yang dianggap berdosa (seperti golongan LGBT) ataupun mereka yang berzina. Sebaliknya, kita akan menumpu perhatian kita ke atas cara-cara untuk mencapai kesimbangan dalam masyarakat tanpa perlu mengambil jalan keluar yang bersifat balas dendam. Kita tidak akan memikir tentang hukuman yang paling memalukan dan yang akan menghukum orang tersebut selama-lamanya. Kita tidak akan cuba meragut nyawanya atas kepercayaan silap yang kita menjalankan tugas atau tanggungjawab kita. Bukan sahaja hukuman mati yang meragut nyawa, tetapi hukuman yang meragut maruah seseorang juga turut “meragut” nyawanya. Hujah yang saya utarakan di atas biasanya dibidas dengan perangai yang agak angkuh, “Kalau tak buat salah, kenapa takut?”. Pemikiran sebegini langsung tidak mengambilkira tentang apakah kefahaman masyarakat zaman ini tentang hukuman yang sekadar dengan kesalahan. “Dosa” bagi Nabi Isa adalah isu di antara kamu dengan Tuhan. Jadi cabarannya kepada kita sebagai manusia yang matang dalam pemikiran kita, yang matang dalam kepercayaan kita, adalah untuk menentukan apakah hukuman yang sepatutnya dijatuhkan tanpa apa-apa bentuk penyeksaan atau apa-apa kecenderungan untuk mendendam orang yang didapati bersalah? Sukar bukan? Mungkin ia bermakna sistem keadilan yang kita patut tegakkan bukan sekadar untuk menghukum, dan tidak berbentuk membalas dendam, tetapi untuk membantu sedaya boleh untuk memulihkan semula mereka yang didapati bersalah. Kesalahan di sini juga tidak semestinya sama dengan pemahaman kita tentang dosa individu. Dalam bukunya, “Law is a Bottomless-pit” [Penterjemahan: “Undang-undang Adalah Satu Lubang Maut), John Arbuthnot menunjukkan bahawa undang-undang adalah mekanisme yang paling tidak berkesan untuk mempastikan tahap moral rakyat. Hakikatnya, sistem keadilan hanya mencerminkan kematangan pemahaman kita tentang keadilan. Selagi sistem tersebut menumpu kepada balas dendam, selagi kita gagal sebagai sebuah masyarakat yang dikatakan percaya kepada Tuhan. unnamed

]]>

Rogol, kelelakian dan kisah Nabi Lut

Interpretasi teks suci Ada di antara kita yang cuba memastikan bahawa teks suci difahamkan sebagaimana yang ditentukan Tuhan. Tetapi interpretasi yang diberi, tidak dapat dinafikan, adalah interpretasi manusia. Tidak ada seorang manusia pun yang sebegitu berpengetahuan untuk mengenali kemahuan Tuhan. Sekiranya, mereka kata interpretasi mereka sahaja yang benar, mereka hanya mengagungkan diri, dan dalam pemahaman saya berkenaan agama, itu dosa yang terbesar. Ada juga di antara kita yang begitu pasti bahawa penafsiran yang mengiktiraf kesahihan perspektif sekarang tidak berkenaan, kerana, interpretasi yang dianggap suci perlu khusus, tunggal dan tidak berubah-ubah mengikut zaman. Bagi saya, sekiranya teks suci benar-benar ada relevansinya untuk setiap zaman, interpretasinya tidak boleh lagi terikat kepada isu zaman dahulu tetapi isu zaman sekarang. Begitu juga dengan kesedaran lelaki tentang kelelakiannya. Kesedaran ini masih bergolak dengan konteks dan oleh itu harus dimatangkan. Politik kelelakian (masculinity) Saya pernah membaca buku oleh Bob Pease yang bertajuk “Recreating Men: Postmodern Masculinity Politics.” [Penterjemahan tajuk: “Mencipta Semula Lelaki: Pascamoden Politik Kelelakian.”] Saya tertarik hati dengan bukunya sebab sebagai seorang lelaki, Bob Pease bertanya-tanya diri dengan sesungguhnya apakah manfaat untuk seorang lelaki sekiranya dia menyokong feminisme dan hak asasi wanita? Beliau mengenalpasti dirinya sebagai seorang lelaki pro-feminisme. Dalam bukunya, Bob Pease dengan begitu jujur hati mengulas kedudukan beliau dan rakan-rakan beliau sebagai lelaki yang pro-feminisme dan perasaan mereka yang tidak selesa dengan kelelakian yang diunjurkan oleh majoriti lelaki secara am. Di antara yang ditemubual oleh Bob Pease adalah seorang yang bernama Pat yang mengakui kecenderungan beliau untuk mengikut nafsunya terhadap wanita. Pat bercakap tentang perjuangan dalaman beliau, di antara keinginnya untuk mengikut nafsunya terhadap wanita dan keinginannya untuk menghormati wanita dengan cara yang dimajukan oleh golongan feminisme. Pat dengan tulus hati mengakui bahawa ada masanya beliau mahukan kuasa untuk mengawal dan mendominasi wanita mengikut nafsunya. Seorang lagi yang bernama Graham pula mengakui pada satu masa dahulu, dia pernah melabelkan lelaki yang merogol sebagai lelaki yang tidak berguna, lelaki yang jahat, dan beliau memandangkan dirinya sebagai seorang lelaki yang baik. Lama-kelamaan, Graham juga menyedari bahawa beliau sebagai seorang lelaki mempunyai kecenderungan untuk merogol dan kecenderungan ini adalah berkenaan kemahuannya untuk mempunyai kuasa ke atas wanita. Kesedaran kedua-dua Pat dan Graham tentang kecenderungan mereka untuk menjadi lelaki yang tidak diingini oleh mereka terhasil pula daripada kesedaran mereka tentang sistem patriarki dan cara mereka dididik menjadi lelaki. Patriarki dan kelelakian Buku Bob Pease mengemukan bagaimana sistem patriarki menindas lelaki. Bagi beliau dan rakan-rakan lelakinya yang pro-feminisme, sistem tersebut cukup merbahaya. Ini adalah kerana sistem patriarki pada dasarnya cuba menafikan pengalaman kemanusiaan kita. Oleh kerana kita dibesarkan dalam sistem patriarki, kita belajar menafikan pengalaman kita, terutamanya untuk lelaki. Lelaki diajar untuk tidak mempercayai pengalamannya. Lelaki diajar menafikan perasaannya, emosinya. Kesimpulan ini, menurut Bob Pease, boleh diperhatikan melalui pemutusan dalam perhubungan lelaki (a disconnect in men’s relationships) yang sering berlaku di antara lelaki dan wanita, di antara lelaki sebagai seorang anak dengan bapanya, dan di antara lelaki dengan lelaki yang lain. Di antara cerita yang paling menarik adalah cerita seorang yang bernama Michael. Michael menceritakan bagaimana dia tidak selesa dengan kerjanya sebagai seorang buruh. Beliau selalu rasa kosong dan sepi walaupun bapanya juga seorang buruh dengan syarikat yang sama. Michael tidak faham kenapa dia tidak rasa selesa dengan pekerjaan tersebut dengan suasana yang menonjolkan kelelakian rakan sekerjanya. Michael mula berfikir beliau seorang homoseksual, tetapi itu bukan isu sebenar. Michael merupakan seorang lelaki yang mempunyai kelelakian yang berbeza tetapi kelelakiannya tidak diterima dalam budaya kelelakian dominan dan dia mula berasa terasing daripada rakan sekerjanya. Perjalanan kejujuran hati Buku Bob Pease menunjukkan ada banyak jenis luahan kelelakian. Terdapat kelelakian yang menghormati wanita dan kelelakian yang tidak menghormati wanita. Wujud juga kelelakian yang cuba menyuarakan ketidakselesaannya dengan kelelakian dominan yang mahukan kuasa ke atas wanita, kelelakian dominan yang tidak mengakui kesamarataan wanita dengan lelaki. Bagi saya, apa yang paling menarik tentang buku Bob Pease adalah pengemukaan kejujuran hati beliau dan rakan-rakannya dalam cara mereka menyuarakan bagaimana susahnya bagi mereka untuk mengelak kecenderungan dan kemahuan mereka untuk menguasai wanita dalam isu keganasan seks. Bagi saya, itulah perjuangan kelelakian yang sebenar, untuk mencipta semula lelaki dengan penuh kesedaran dan kejujuran untuk mengenalpasti dalam diri mereka apakah jenis kelelakian mereka. Di sinilah, saya ingin berbalik kepada kisah Nabi Lut. Sekiranya, kita jujur dalam hati kita, kita akan menyedari bahawa mana-mana teks suci bertujuan untuk membantu kita mengenal diri kita, bukan untuk melabel orang lain sebagai penjahat dan bukan untuk menyalahkan orang lain untuk kesalahan kita unnamed  

]]>

Hak LGBT dan Akta Harmoni Nasional

yang cuba berterus-terang dalam menjawab lapan unsur Peguam Muslim UPro. Beliau menjelaskan bahawa tujuan utama rang undang-undang Harmoni Nasional dicadangkan ialah untuk menjadikan prejudis kaum dan agama sebagai jenayah, serta menghapuskan diskriminasi yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna apa-apa bentuk diskriminasi berdasarkan kepercayaan adalah tidak munasabah. Tetapi apakah implikasi keterangan tersebut ke atas mereka yang ingin untuk menghukum golongan LGBT berasaskan kepercayaan agama? Hukum Agama dan Keharmonian Negara Di sini, saya ingin membahaskan apakah maknanya keharmonian negara sekiranya soal keadilan diabaikan. Mereka yang tegas menentang hak asasi manusia bagi LGBT kata “jangan berani hendak menuntut hak kamu sebagai LGBT kerana ini bertentangan dengan kepercayaan kita sebagai orang yang beragama Islam”. Disebabkan kepercayaan agama mereka, soal keadilan tidak akan timbul untuk golongan LGBT. Golongan ini sudah dijadikan penjenayah sebelum mereka berbuat apa-apa yang salah. Tetapi perbuatan yang salah di sisi undang-undang tidak patut disamakan dengan perbuatan yang berdosa dari segi agama. Patutkah penolakan mereka terhadap LGBT semata-mata bermakna kelompok LGBT patut digelar penjenayah? Atas dasar apa? Melalui proses yang ditentukan oleh siapa? Bak kata lain, kumpulan-kumpulan yang menganggap mereka sebagai pembela majoriti negara berlagak seperti suara mereka adalah suara muktamad. Soal majoriti yang sering digunakan untuk menentukan asas kepentingan politik tidak sewajarnya digunakan untuk menegakkan keadilan. Perundingan di tahap nasional dijalankan kerana suara golongan minoriti sering disenyapkan dan distigma. Jika hak minoriti tidak diiktiraf, buat apa berbelanja untuk mengadakan konsultasi? Sekiranya harmoni negara hanya bergantung kepada sesiapa yang paling kuat berteriak, mereka yang paling disokong parti politik atau mereka yang paling banyak menerima liputan media massa, ini bermakna kita akan tercengkam di bawah naungan mereka yang lebih agresif terhadap kita. Adakah itu “keharmonian Negara” yang patut didirikan? Sikap hipokrit Hakikatnya, aktiviti seks manusia – hetero mahupun sejenis – tidak begitu berbeza. Tidak boleh dinafikan bahawa ada di antara golongan heteroseksual yang juga melakukan perhubungan seks oral dan perbuatan yang lain yang biasanya tidak dianggap sebagai “fitrah”. Sekiranya perhubungan seks itu adalah sama dan hanya pasangannya yang berbeza, apakah dosa yang dilakukan oleh golongan LGBT? Bukankah ini satu sikap yang hipokrit, untuk menghukum golongan LGBT hanya kerana semata-mata jenis perhubungan seks mereka? Kerugian bagi Negara “Harmoni nasional” negara bermakna peminggiran golongan LGBT, adalah harmoni yang palsu. Jelas sekali daripada perdebatan yang sedang berlaku, ada tekanan untuk menggugurkan klausa yang melindungi golongan LGBT daripada diskriminasi dan keganasan. Contohnya Datuk Saifuddin Abdullah, seorang ahli jawatankuasa MKPN berasa perlindungan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan orang trans atau transgender akan menjejaskan Akta Harmoni. Beliau seolah-olah tidak mengambilkira bahawa paksaan yang digunakan oleh sesetengah pihak tertentu ke atas MKPN untuk menggugurkan klausa tersebut dalam menegakkan harmoni nasional akan secara langsung menghapuskan harmoni tersebut. Soalan yang perlu ditanya adalah pengiktirafan LGBT akan bermakna mereka yang menentang hak LGBT tidak dapat hidup tanpa diskriminasi, stigma dan keganasan? Apa yang menjejaskan harmoni negara adalah bila kita yang berprinsip dan berperikemanusiaan rela berkompromi dalam keadaan yang tertekan, mahupun orang yang menekan adalah orang yang beragama atau tidak. Patutkah situasi syak dan ketegangan wujud dalam hal menegakkan harmoni nasional? Sekiranya kita membenarkan situasi tersebut berlaku, bukankah kita seolah-olah memberi kebenaran untuk sesiapa untuk bertindak secara prejudis, di mana mereka hanya perlu menekan dan marah sehingga mereka mendapat tuntutan mereka? Jika ya negara ini malangnya akan dijadikan tebusan sesiapa yang paling berkuasa dan paling kuat marah dan mengugut. Maka tergadailah integriti dan kemanusiaan kita. Ia juga bermakna kita mempunyai pemimpin yang hanya berprinsip dalam keadaan dan isu yang senang dan selamat sahaja. Kata akhir Dalam blognya, Dr. Mujahid memberi jaminan bahawa proses penggubalan rang undang-undang Harmoni Nasional belum muktamad dan masih di peringkat perundingan. Namun, apa yang muktamad bagi saya adalah reality bahawa harmoni negara tidak dapat ditegakkan selagi keadilan tidak ditegakkan untuk semua, tanpa pilih kasih, tanpa prejudis, tanpa berat sebelah, tanpa pengaruh orang atasan, orang berkuasa dan agamawan. Keadilan hanya boleh ditegakkan dalam keadaan dimana kesetaraan dijamin untuk semua. Setiap rakyat negara berhak dilindungi daripada diskriminasi, stigma dan keganasan oleh undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Undang-undang yang degil berbuta terhadap ketidakadilan yang berlaku kepada mana-mana golongan minoriti, termasuk LGBT, adalah satu penghinaan terhadap keadilan yang ingin ditegakkan.       unnamed

]]>

Seksualiti, gender dan kebahagiaan: Suatu renungan

Usaha untuk menegakkan statistik dasar kebahagiaan negara kasar (gross national happiness index) adalah untuk menentukan satu indikator mengukur kualiti hidup atau kemajuan sosial dan psikologi penduduk sesebuah negara secara yang menyeluruh. Keluaran dalam negara kasar (gross domestic product) yang masih tetap digunakan untuk mengukur kualiti hidup pada tahap dunia adalah tertumpu kepada aspek ekonomi sahaja. Hanya Bhutan Walaupun indikator dan konsep Kebahagiaan Negara Kasar lebih menyeluruh, ia hanya pernah digunakan secara rasmi di negara Bhutan, negara yang melahirkan indeks tersebut. Indeks ini dipandang oleh negara itu sebagai satu tanda komitmen untuk betul-betul memelihara kualiti hidup orang Bhutan secara keseluruhan, dan bukan terhad kepada isu produktiviti sahaja.  Amat jelas bagi pemerintah Bhutan pada masa itu bahawa indeks negara yang mengukur produktiviti negara tidak dapat menjamin tadbir urus yang bagus (good governance) atau kualiti hidup yang bagus secara saksama untuk semua penduduk Bhutan. Kemajuan negara perlu diukur berdasarkan unsur-unsur bersifat sosial. Contohnya seperti tahap bahaya dan diskriminasi terhadap kanak-kanak, bahaya terhadap wanita, isu keselamatan penduduk, keganasan rumah tangga, kadar penceraian, kualiti alam sekitar—pencemaran udara, pencemaran bunyi, pencemaran air; dan lain-lain), dan unsur-unsur bersifat psikologi (kadar bunuh diri, isu kemurungan, tekanan hidup, bilangan pesakit psikoterapi dan sebagainya). Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga telah menyedari hakikat ini, dan sejak tahun 2012 mengeluarkan lapuran tentang status kebahagiaan negara-negara seluruh dunia, termasuk Malaysia. Mengikut lapuran PBB edisi 2013, penduduk Malaysia kurang bahagia berbanding dengan penduduk negara-negara jiran ASEAN, Singapura dan negara Thai. Kedudukan Malaysia di rang indeks tersebut adalah 56 daripada 156 negara ahli PBB. Keadaan di Malaysia Ramai di antara penduduk Malaysia sedar bahawa nisbah jantina di negara Malaysia semakin meningkat. Ini bermakna bilangan orang lelaki melebihi bilangan wanita. Berita ini telah pun disebarkan oleh media massa pada tahun 2010), namun mungkin implikasinya kepada pencapaian kebahagiaan negara kurang dibahaskan. Mari kita renungkan isu ini bersama-sama. Mengikut data Jabatan Perangkaan Negara, nisbah ini mula meningkat pada tahun 1980. Pada tahun 2010, nisbah untuk seluruh negara adalah 106. Maknanya, bagi setiap 100 orang wanita, terdapat 106 orang lelaki. Mengikut Laporan Taburan Penduduk dan Ciri-ciri Asas Demografi 2010, nisbah lelaki berbanding perempuan secara relatifnya adalah paling tinggi bagi Pahang (113), diikuti oleh negeri-negeri Johor (112), Negeri Sembilan (107), Sabah (107), Selangor (107), W. P. Labuan (107) dan Sarawak (106). Sebaliknya, bilangan lelaki kurang daripada perempuan bagi W. P. Putrajaya (89) dan Perlis (97) Secara kesuluruhannya, ini bermakna bagi jumlah penduduk seramai 28.3 juta (tahun 2010), hanya terdapat sekitar 13.74 juta orang wanita berbanding dengan 14.56 juta orang lelaki. Mungkin lebih ramai orang lelaki perlu menumpu pencarian mereka untuk pasangan hidup (perempuan) mereka di W.P. Putrajaya dan Perlis. Itupun, belum dapat dijamin berjaya atau tidak, kerana negara kita membenarkan berpoligami. Lebih-lebih lagi, nisbah jantina terutamanya tertinggi bagi golongan yang dikatakan golongan produktif, yang berumur 15 tahun hingga 49 tahun. Mungkin apa yang tambah merisaukan adalah perkadaran penduduk umur bekerja (15 hingga 64 tahun) adalah sebanyak 67.3 peratus daripada jumlah penduduk 2010 (28.3 juta). Nisbah tidak seimbang Ada ahli akademik yang merujuk kepada indikator ini sebagai salah satu amaran awal bahawa kebencian terhadap perempuan (misogyny) sedang bertambah teruk, dan fenomena kebencian tersebut dapat diperhatikan melalui kes-kes keganasan terhadap wanita dan bagaimana wanita diperlakukan oleh berbagai pihak. Di sini, sepatutnya termasuk juga keganasan yang dialami oleh golongan transgender kerana mereka dipandang sebagai mempunyai ciri-ciri kewanitaan dan sebab itu, dianggap kurang bernilai daripada “lelaki tulin”. Diskriminasi dan ketidakadilan yang dialami oleh wanita dan golongan transgender biasanya ditegakkan menerusi polisi dan perlaksanaan undang-undang yang berat sebelah.  Apa yang belum lagi dapat ditegakkan dalam penelitian nisbah jantina sesebuah negara, adalah perhubungan linear di antara nisbah jantina dan tahap keganasan di negara tersebut.  Seksualiti di sebalik kebahagiaan Bagi saya, di dalam menentukan perhubungan nisbah jantina dengan tahap keganasan di sesebuah negara, kita perlu diteliti nilai-nilai patriarki yang ada di dalam masyarakat berkenaan. Mengikut Bank Dunia, sekiranya nilai yang diberikan kepada seorang kanak-kanak perempuan dan seorang wanita, tidak sama dan kurang daripad nilai yang diberikan kepada seorang kanak-kanak lelaki dan seorang lelaki, pasti wujudnya keganasan, kemiskinan, dan kemunduran di dalam masyarakat tersebut. Selagi wanita didiskriminasi dan ditindas, selagi negara itu akan bertambah kebelakangan. Contoh oleh Riaz Hassan Bagi sesiapa yang mungkin ragu terhadap kenyataan ini, fenomena peningkatan kebencian terhadap wanita dapat dikesan oleh Riaz Hassan daripada aspek yang lain, dan dihuraikan di dalam bukunya yang diterbitkan pada tahun 2008, “Inside Muslim Minds” (Di Dalam Minda Orang Islam).   Kajiannya cuba meneliti jenis Islam yang diamalkan di beberapa buah negara, termasuk Malaysia. Di sini Malaysia memang dikesan sebagai sebuah negara yang bertambah buruk sifatnya terhadap wanita (mahupun di bawah “Islam PAS” atau “Islam UMNO”). Di antara 6,390 orang Islam dari 7 buah negara yang terlibat di dalam kajian ini, seramai 804 orang Islam (termasuk ahli akademik, pemimpin politik, pegawai kerajaan, pakar professional) dari 5 buah negeri di Malaysia (3 buah negeri ditadbir oleh UMNO dan 2 buah negeri ditadbir oleh PAS) yang menjadi responden di dalam kajian tersebut. Responden untuk kajian tersebut tidak dipilih sewenangnya. Profil asas mereka adalah: beragama Islam, dianggap berpelajaran, berkebolehan dan ada upaya kepimpinan. Keganasan terhadap wanita dan transgender

Sejak kebelakangan ini, kita di Malaysia dapat memerhatikan betapa kerap dan betapa teruk keganasan yang diperlakukan terhadap wanita, dan juga budak perempuan. Kes rogol perempuan kaum Penan masih dipersoal dan “disiasat” walaupun kerajaan sudah mengesahkan  bahawa rogol itu memang telah berlaku pada tahun 2008. Kes budak perempuan yang dirogol oleh hampir 40 orang lelaki di negeri Kelantan pula mendatangkan berbagai-bagai pendapat yang kejam tentang “sifat” dan “perangai” perempuan tersebut. Adakah kita sudah begitu buta kepada keganasan yang diperlakukan kepada wanita dan kanak-kanak perempuan? 

Ketidaktenteraman “psyche” (minda dan emosi) semua penduduk akan terancam sekiranya kita tetap membuta kepada kelakuan mereka yang bersalah, yang meg-objektifikasikan wanita, dari segi keganasan emosi dan fizikal dan sebagainya. 

Seksualiti 

Bagaimana pula dengan isu seksualiti? Baru-baru ini, pada 8hb Jun, ada kes 17 orang mak nyah yang diperlakukan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan di Bahau. Tidak dihiraukan bahawa mereka memang tetamu dan bekerja sebagai Mak Andam tetapi masih ditangkap semasa satu perayaan perkahwinan. Banyak lagi kes yang dapat direkodkan pada tahun-tahun yang lepas, dan dilaporkan kepada beberapa badan tertentu, termasuk SUHAKAM. Namun usaha untuk memahami isu kemaruahan manusia dengan lebih mendalam, dan untuk menegakkan keadilan dan tadbir urus yang bagus di negara ini, masih tidak dapat berganjak maju. Isu keganasan terhadap orang trans atau transgender adalah juga isu kebencian terhadap wanita, dan sekiranya PBB telah mengambilkira kes keganasan seksual yang berlambak di Malaysia, mungkin kedudukan Malaysia di rang indeks kebahagiaan dunia akan lagi turun ke bawah.         unnamed

]]>

Feminisme: Menjanakan hak asasi untuk semua

Titik permulaan feminisme   Seperti yang digambarkan sebelum ini, feminis ialah seseorang yang mempersoalkan struktur kuasa patriarki dan mencabar wacana kelelakian (masculinist) yang dominan. Dari sudut ini tidak hairanlah jika kita akan Nampak ramai tokoh-tokoh yang boleh digelar “feminis” dalam sejarah dunia. Tetapi ini tidak akan jelas begitu sahaja. Malah sejarah lazimnya dilihat daripada sudut pandang lelaki. Kesedaran feminis yang berkembang sedikit demi sedikitlah yang menimbulkan pemahaman tentang bagaimana suara dan peranan wanita diabaikan —tidak direkod, tidak ditulis, tidak diiktiraf – dan cara ia boleh dikemukakan dan dipaparkan ke dalam wacana sejarah yang lebih inklusif. Perkembangan Feminisme Pergerakan hak-hak wanita feminis (dengan segala feminisme yang berbeza) telah berkembang menjadi salah satu pergerakan yang pelbagai yang meliputi isu-isu yang luas termasuk isu-isu wanita pribumi, isu-isu alam sekitar, isu-isu golongan trans (kedua-dua mak nyah dan lelaki trans), golongan Dalit (kasta yang paling rendah di India), pekerja seks, wanita kurang upaya, dan isu golongan tertindas dan terpinggir yang lain. Namun walaupun mereka berbeza dalam kerja gerakan mereka, mereka serupa dalam azam supaya masyarakat tidak menghasilkan semula politik ekstrim dan hierarki kuasa yang mereka lawan. Ini aspek intrinsik sebagai seorang feminis. Setiap feminis ialah seorang aktivis hak asasi manusia. Feminis kena berkelakuan secara konsisten merenung tentang kelakuan dan pendirian mereka supaya konsisten dengan kerangka hak asasi. Ini secara tidak langsung akan mencerahkan kebolehan mereka dalam membantu golongan yang terpinggir. Renung diri Dalam itu apa yang penting adalah kecenderungan semula jadi dan motivasi untuk sentiasa menyoal diri. Seorang aktivis semestinya peka tentang mengapa mereka melakukan apa yang mereka lakukan. Contohnya dia harus renungi jika kelakuannya sebagai seorang majikan tidak menggandakan penindasan terhadap pekerja, atau sokongannya terhadap sesebuah parti atau tokoh agama tidak akan membawa kepada pemiggiran golongan-golongan tertentu. Sensitiviti terhadap implikasi di sebalik setiap pilihan yang kita lakukan sebagai feminis harus disedari untuk mengelak daripada terkait dengan system yang menindas. Mereka sedar bahawa permasalahan isu penindasan wujud pada detik detik halus kehidupan harian yang dianggap “normal”. Ini secara langsungnya mengiktiraf bahawa sumber ilmu bukan terletak pada ahli politik, agamawan atau badan-badan tertentuk tetapi dalam pengalaman setiap insan yang melalui hidup. Feminisme mengajak ke arah demokratisasi “ilmu” dalam kerangkanya . Ini disamping menggunakan mekanisme konkrit untuk penyertaan semua secara saksama untuk menghasilkan pengetahuan-pengetahuan baru tentang masyarakat. Feminisme peka terhadap yang terpinggir Dalam itu pejuang hak wanita feminisme menumpu perhatian kepada isu yang diabaikan dalam wacana awam. Misalnya, hak wanita untuk bekerja, isu gaji setara, pemilikan harta dan tanah, kerja rumah tangga yang tidak terbayar dan sebagainya. Ini termasuk juga isu yang tidak diiktiraf atau sukar mendapat pengiktirafan daripada orang ramai. Contohnya, feminis di Malaysia bekerja keras selama 12 tahun untuk memastikan keganasan rumah tangga adalah satu jenayah di negara ini. Masih dipejuangkan adalah isu rogol bini (marital rape) dan penderaan seksual kanak-kanak (termasuk kanak-kanak lelaki). Tidak dilupai adalah isu penderaan seksual lelaki. Ramai feminis sedar bahawa rogol tidak sahaja berlaku kepada wanita, tetapi juga kepada lelaki. Namun, apa yang terkandung di dalam rang undang-undang di negara ini hanya untuk melindungi perempuan. Yang aneh yang pernah diperhatikan adalah lelaki yang menganggap diri mereka feminis tidak mendapat ruang dalam sistem patriarki tetapi menikmati ruang bersuara yang lebih kuat di gelanggang pergerakan wanita feminis. Perkembangan wacana feminis berpotensi untuk menjana satu kesedaran yang lebih luas tentang isu isu di atas.         unnamed

]]>

Hakikat kepelbagaian seksualiti

Pengiktirafan seksualiti yang pelbagai Benarkah tidak pernah adanya pengiktirafan seksualiti yang pelbagai? Beberapa golongan orang asli Amerika (native American Indians) mengiktiraf 4 kategori jantina (gender), iaitu, tidak semestinya manusia wujud dengan begitu tertentu dan secara binari (dua hala) sahaja — iaitu hanya setakat sebagai orang lelaki dan orang perempuan. Contohnya, golongan Navajo mengiktiraf ada orang dua-roh (two-spirit) dan mereka diterima secara saksama dan kerana diterima, orang yang digelar dua-roh pernah memainkan peranan yang penting di dalam masyarakat tersebut. Kumpulan Chukchi dari Siberia pula mengiktiraf 9 kategori jantina. Isu jantina termasuk di dalam pemahaman istilah seksualiti, dan ada pengaruh atas aspek-aspek seksualiti yang lain, seperti daya tarikan seksual terhadap seseorang. Tetapi apakah pemahaman jantina di Malaysia? Walaupun, Perkara 8(2) di bawah Perlembagaan Malaysia melindungi penduduk Malaysia daripada diskriminasi jantina, golongan orang trans* (transgender) seperti golongan Mak Nyah di negara tersayang ini masih dipinggirkan. Lebih-lebih lagi, kalau dibaca dengan Perkara 8(1) yang menjanjikan kesaksamaan semua orang dan kesaksamaan perlindungan di bawah sistem perundangan negara (equality before the law and equal protection of the law). Malangnya, pemahaman jantina di Malaysia terlampau terpikat kepada pemahaman binari tanpa usaha untuk memahami dysphoria gender yang dikenalpasti oleh American Psychiatric Association (APA), sebuah badan yang mempunyai bilangan ahli psikiatri yang terbesar di dunia yang menentukan piawaian tertinggi untuk perkhidmatan psikiatri. Dysphoria gender adalah satu kenyataan. Ia memang dialami oleh sesetengah orang, di mana orang tersebut tidak selesa dengan seks biologinya dan peranan gender yang dipatutkan oleh masyarakat sekelilingnya. Sebab berlakunya dysphoria gender tidak sekadar isu psikologi dan tingkah laku sahaja, tetapi juga termasuk faktor-faktor biologi dan genetik. Ilmu dari bidang-bidang perubatan, biologi dan sosio-psikologi menunjukkan bahawa kita tidak dapat melarikan diri daripada kenyataan kepelbagaian dunia ini. Penindasan LGBT Golongan yang beridentiti LGBT tidak dipaksa menjadi LGBT. Mereka tidak memilih untuk menjadi LGBT. Tidak ada sesiapa yang begitu bodoh untuk memilih kehidupan yang dicaci, untuk memilih identiti yang tidak menikmati perlindungan di bawah undang-undang. Mereka tetap LGBT walaupun ditendang keluar rumah dan tidak lagi diiktiraf sebagai anak oleh ibubapa sendiri. Ibu seorang kawan trans saya pernah mengatakan kepadanya:  “kenapa kamu nak sangat menjadi seorang wanita? Hidup seorang wanita lebih susah daripada seseorang lelaki”. Emaknya yang berusia tahu betapa susahnya menjadi seorang wanita di dalam sesebuah negara di mana tidak ada kesaksamaan di antara lelaki dengan perempuan, di mana seorang wanita tidak diiktiraf sama nilai dengan seorang lelaki. Namun dia sanggup berkata begitu. Bayangkanlah kesusahan golongan LGBT yang berhadapan dengan penindasan setiap hari. Kepelbagaian tingkah laku seksual di alam haiwan Namun ramai lagi yang menyatakan bahawa golongan LGBT tidak “natural” dan bercanggah dengan fitrah manusia. Namun penemuan sains mencabar tanggapan tersebut. Contohnya: pada tahun 1999, hampir 1,500 jenis spesis dikenalpasti mengadakan perhubungan seks yang boleh dianggap dari lensa manusia sebagai homoseksual atau biseksual. Fenomena ini termasuk perhubungan seks yang tidak bertujuan untuk pembiakan. Pelbagai tingkah laku seksual di kalangan haiwan memaparkan tingkah laku seks satu kegiatan kehidupan yang biasa, dan tidak semestinya berlaku di antara jantan-betina sahaja. Perlu difahami di sini bahawa ada ahli akademik yang berhujah mengatakan bahawa tingkah laku seksual spesis haiwan sebegini tidak semestinya satu orientasi seksual kerana banyak yang belum dapat dikaji, terutamanya sebab mengapa spesis haiwan tersebut mengadakan perhubungan seks sebegitu, yang nampak pada permukaan sebagai tingak laku seksual yang tidak bertujuan untuk pembiakan. Saya berkecenderungan bersetuju dengan hujah sedemikian kerana orientasi seksual tidak sama dengan tingkah laku seks. Malah jika ramai yang sanggup menerima hujah tersebut, mengapa mereka tidak bersikap terbuka apabila manusia dikesan melakukan hubungan sejenis? Mereka menerima hubungan sejenis dalam alam sebagai satu fakta, tetapi mengecualikan manusia daripada fenomena yang sama tanpa hujah santifik. Ini hanya menunjukkan bias mereka, dan bukan hakikat tentang manusia. Hujah akal membezakan manusia daripada binatang Walaupun manusia ada akal, dia juga ada ego dan daya yang tersendiri untuk terus hidup. Daya hidup memastikan kemungkinan besar keutamaan akan diberi kepada dirinya sekiranya hidupnya terancam. Di sinilah lahirnya diskriminasi, pengutamaan diri, perasaan dengki dan sebagainya. Akal dan ego manusia jugalah yang memastikan timbul dan kekalnya perasaan benci-membenci terhadap mereka yang berbeza, tidak semestinya dari segi seksualiti sahaja, tetapi juga dari segi bangsa, agama, warna kulit, status sosial, dan lain-lain. Keterasingan akan tetap berlaku kerana isu kuasa, kerana isu kepentingan diri, dan boleh dikatakan kerana akal manusia yang sering menghukum dan menitikberatkan pembezaan. Saya pernah buat carian google yang menonjol kajian-kajian gambar-gambar dua ekor haiwan yang berbeza spesis yang dapat berkawan, walaupun pada kebiasaannya satu pemangsa dan satu mangsa. Ini menunjukkan fenomena yang cukup ganjil kalau disiasat hanya menggunakan logik manusia. Bagaimanakah fenomena ini boleh terjadi sekiranya manusia sahaja yang berakal? Adakah akal manusia begitu berfaedah, dan sekiranya berfaedah, berfaedah untuk siapa? Bagi saya, penyaksian fenomena di mana haiwan yang berbeza spesis dapat berkawan menunjukkan kepintaran dan belas kasihan tidak semestinya terbatas kepada saiz otak, dan jelasnya akal manusia tidak semestinya satu kelebihan yang begitu berfaedah di dalam menyempurnakan kemanusiaan kita.       unnamed

]]>

Apa kesalahan LGBT?

extinction) manusia di bumi ini. Mereka mengatakan bahawa golongan LGBT menghalang proses kelanjutan manusia sebagai satu spesies di muka bumi. Siapa yang menghancurkan muka bumi? Tetapi apa yang boleh disaksikan, berdasarkan fakta yang jelas adalah manusialah yang jelas sekali tidak menghargai semua yang dicipta oleh Tuhan. Sepatutnya, manusia yang berhujah sedemikian perlu risau bahawa bumi ini tidak akan berterusan dengan kemusnahan alam sekitar yang begitu pesat. Contohnya: Jumlah orang di dunia pada tahun ini adalah sekitar 7.2 bilion, dan dijangka meningkat ke 9 billion pada tahun 2050. Dianggarkan 40% daripada jumlah orang di dunia ini adalah miskin di mana kemiskinan relatif semakin meningkat. Di dalam laporan Bank Dunia, dicatatkan kejayaan mengurangkan kemiskinan di seluruh dunia, tetapi statistik yang membanggakan itu semata-mata adalah kejayaan dasar politik dan sosio-ekonomi Negara China. Rantau dunia yang lain seperti Afrika, Amerika Latin, Eropah Timor dan Asia Tengah masih dalam kemiskinan, dan keadaannya tidak berubah, bahkan ada yang meningkat jumlahnya. Jangan dilupai bahawa berjuta-juta masih dalam kebuluran. Dianggarkan seorang daripada 8 orang di dunia ini (12.5%) berkebuluran dan ia merupakan faktor penyebab utama sebanyak 50% daripada jumlah kematian 10.9 milion kanak-kanak berlaku setiap tahun. Secara purata, seramai 30% daripada orang perempuan yang ada perhubungan intim menghadapi keganasan daripada pasangannya. Sebanyak 38% pembunuhan perempuan dilakukan oleh pasangannya. Mengapakah isu-isu sebegitu tidak mendapat perhatian agamawan? Mengapakah kemarahan mereka hanya ditujukan kepada golongan minoriti seksual? LGBT: Tanda kiamat? Terdapat juga orang yang percaya bahawa kemunculan golongan LGBT dengan lebih nyata di kalangan masyarakat adalah satu tanda bahawa dunia akan kiamat. Samalah pemahaman dan ketakutan mereka tentang kewujudan begitu banyak jenis penyakit yang baru. Mereka mempercayai semua ini timbul kerana kemarahan Tuhan terhadap manusia, dan atas sebab itu mereka marah pula terhadap orang yang dipandang sebagai “masalah” atau “songsang”. Di dalam hal ini, saya ingin berkongsi perspektif yang lain, yang bagi saya, lebih mirip kepada apa yang saya rasa patut diutamakan oleh semua iaitu penyempurnaan kemanusiaan kita. Manusia begitu mementingkan diri sehingga belas kasihan susah dicurah kepada mereka yang  berbeza, mereka yang terasing, mereka yang dianggap tidak layak, mereka yang dihukum sebagai orang yang berdosa dan sampah masyarakat. Bak kata lain kita  sudah menjadi berat sebelah dalam menentukan siapa yang akan diterima dan ditolak. Kita, manusia yang perosak dan  pemusnah alam, lebih suka menghukum daripada menunjukkan belas kasihan kita terhadap mereka yang dipandang “kurang berharga sebagai manusia”. Saya berpendapat bahawa kesengsaraan golongan LGBT yang dipinggir adalah satu peringatan  bahawa kita sudah lama lalai untuk menyempurnakan kemanusiaan kita. Kita sepatutnya lebih berperi kemanusiaan. Sebaliknya, kita masih bertungkus lumus menguatkan apa-apa jenis kuasa (sosial, ekonomi, politik, teknologi) yang kita ada. Di dalam kelakuan sebegitu kita hanya memastikan dunia ini akan menyaksikan pemerluasan gejala-gejala kemusnahan yang bagi saya, lebih membimbangkan: rasuah, perlumbaan untuk meraih keuntungan yang melampau, eksploitasi tenaga buruh, keganasan terhadap wanita, diskriminasi terhadap kanak-kanak, diskriminasi terhadap pendatang, dan seterusnya. Prejudis salah tumpuan Di dalam hal seksualiti sahaja, terutamanya isu hak asasi manusia LGBT, isu lanjutan manusia timbul dengan begitu ghairah di kalangan orang yang memperalatkan agama. Isu-isu penting yang lain, seperti keganasan terhadap wanita, diskriminasi terhadap kanak-kanak, penindasan tenaga buruh dan penghambaan moden, eksploitasi alam sekitar, serta keuntungan yang melampau tidak dipandang sebagai faktor utama yang akan menghapuskan kewujudan manusia di bumi ini. Tetapi di dalam hal seksualiti, terutamanya untuk mengawal hak asasi wanita dan hak asasi golongan LGBT, undang-undang mudah sajaka diluluskan dan dikuatkuasakan. Kepada orang yang beriman, saya ingin bertanya, bukankah “isu” kelanjutan manusia di bumi ini keistimewaan tunggal Tuhan dan tidak patut dijadikan kebimbangan ciptaan-Nya? Benarkah “penimbulan” LGBT ini akan membawa kepada penghapusan manusia di bumi ini? Pada pendapat saya, tanpa wujudnya LGBT pun, kita sudah memastikan penghapusan bumi tersayang.         unnamed

]]>

“Seksualiti”: Suatu pengenalan

Seksualiti Merdeka yang diharamkan pada tahun 2011 seringkali didakwa oleh pihak-pihak tertentu sebagai satu usaha yang mempromosikan seks bebas. Ia dianggap oleh sesetengah pihak kononya sebagai satu perancangan untuk memperalatkan isu hak asasi manusia untuk kepentingan golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual, transgender atau kelompok trans) semata-mata sambil mengelirukan rakyat Malaysia. Akan tetapi tuduhan tersebut silap dalam satu hal yang penting: seksualiti dan seks tidak membawa maksud yang sama. Seksualiti bukan seks semata-mata Seksualiti merangkumi dimensi yang luas. Ia tidak tertumpu kepada kelakuan seks invididu sahaja. Seksualiti berkait dengan segala aspek kemahuan dan luahan seks manusia. Dengan kata lain, seksualiti adalah satu istilah yang luas maknanya. Penggunaanya haruslah merujuk kepada tujuan yang khusus. Contohnya istilah seksualiti boleh digunakan untuk merujuk kepada dimensi-dimensi berikut:

  • gender (kategori atau identiti, status, peranan);
  • makna, pemahaman dan tafsiran kelakuan sesuatu jantina (kelelakian, kewanitaan, erotisme, tarikan seksual, keberanian, kehormatan, stigma;
  • identiti seksual (lesbian, gay, biseksual, panseksual, aseksual dan sebagainya)
  • tindakan seksual, posisi seksual dan pilihan kelakuan seksual,
  • perhubungan seksual (keintiman, concensus, komitmen);
  • hak seksual;
  • nafsu, fantasi dan niat.
Seks pula merangkumi aspek-aspek biologi dan cara pembiakan. Seks merujuk kepada fenomena fisiologi. Ini selari dengan kesimpulan-kesimpulan yang dibuat oleh World Health Organization (WHO) yang juga mempunyai takrifan “seksualiti” yang menjangkaui tindakan seks semata-mata. Mengikut WHO, seksualiti adalah aspek utama manusia sepanjang hayat dan merangkumi gender, identiti gender dan peranan gender, orientasi seksual, erotisme, keseronokan, kemesraan dan pembiakan. Seksualiti dialami dan dinyatakan dalam fikiran, fantasi, keinginan, kepercayaan, sikap, nilai, tingkah laku, amalan, peranan dan perhubungan. Rangkakerja Ruth Dixon-Mueller dan Michael Tan menambah perspektif yang menarik dalam wacana ini: Ia mengambilkira bahawa seksualiti dan seks boleh berubah mengikut masa, dipengaruhi khususnya sejarah dan pengalaman seseorang individu atau masyarakat sesebuah negara. Di dalam bukunya, Policing Sexuality: Sex, Society and the State (Mengawas Seksualiti: Seks, Masyarakat dan Negara), Julian Lee menunjukkan dari aspek antropologi bahawa Negara atau kerajaan pernah menggunakan kuasanya untuk mengawal seksualiti penduduk untuk kepentingan masing-masing yang biasanya berasaskan isu produktiviti (hasil cukai, sumber tenaga manusia, ketulinan bangsa dan agama, seperti yang kita alami sekarang di Malaysia dan mahu pula diundangkan di Negara Myanmar oleh sesetengah sami Buddha ekstremis untuk membela dan melindungi agama Buddha). Kepentingan konteks Apa yang penting di sini ialah istilah “seks” dan “seksualiti” tidak boleh difahami secara abstrak seolah-olah dalam suatu vakuum. Seperti istilah-istilah rumit yang lain, mereka harus diteliti dalam konteks yang khusus, terutamanya jika mereka menyentuh sentimen-sentimen sensitif atau yang jarang (kadang-kadang dilarang) dibahas masyarakat. Dengan kata lain, penggunaan istilah “seks” dan “seksualiti” pada sesuatu masa itu dipengaruhi oleh nilai-nilai dan faktor-faktor sosial, politik, ekonomi dan budaya. Kesemua interaksi faktor-faktor tersebut juga dipengaruhi oleh kelaluan masa, iaitu sejarah dan pengalaman sesebuah konteks tersebut. Ini juga, pada waktu yang sama, harus dipertimbangkan dengan faktor-faktor keunikan keadaan individu. Apabila konteks di ambil kira, kita akan lihat bahawa “seks” dan “seksualiti” tiada luahan dan penzahiran sejagat atau universal. Seperti evolusi halus budaya dan masa, seks dan seksualiti juga tidak terpisah daripada perubahan zaman dan konteks serta keunikan individu. Apabila kita jelas dengan objektif dan konteks ini, barulah kita boleh tahu bagaimana istilah “seks” dan “seksualiti” itu boleh digunakan dengan tepat, tanpa pengaruh sentimen politik. Lebih penting lagi, sudut pandangan sensitif itu akan membuka ruang untuk melihat seks dan seksualiti dalam perspektif yang lebih rumit, walaupun benar. Kerumitan harus diiktiraf Contohnya golongan aseksual. Seorang aseksual langsung tidak ada minat atau nafsu untuk mengadakan perhubungan seks dengan sesiapa pun, tetapi ada di antaranya mungkin ada tarikan romantis sahaja dengan orang lain, tidak kira orang itu lelaki, perempuan atau orang trans (golongan transgender). Mungkin ada di antaranya akan sudi melakukan perhubungan seks kerana keinginan mereka untuk memastikan pasangan romantisnya bahagia. Jadi seorang yang aseksual tidak sama dengan orang yang memutus untuk menjauhi diri daripada perhubungan seks kerana kepercayaannya. Malah, jelas tersirat di dalam golongan aseksual adalah satu kepelbagaian yang agak luas. Bayangkan: sekiranya, golongan aseksual sudah ada kepelbagaian sebegini, apatah lagi golongan lesbian, gay, biseksual, heteroseksual, orang trans, dan seterusnya. Saya pernah membuat kajian kualitatif tentang seksualiti wanita yang tertarik atau mencintai seks yang sama, dan kajian saya ada menunjukkan bahawa seksualiti itu agak cair, berubah-ubah dan bersifat temporal, iaitu, walaupun seseorang wanita itu heteroseksual, dia tidak akan berasa tarikan seksual kepada setiap orang lelaki pada setiap masa. Sama juga untuk orang lelaki yang heteroseksual. Ada kemungkinan juga pada masa-masa tertentu tiada apa-apa tarikan seksual di antara dua individu yang berpasangan walaupun mereka sudah berkahwin. Jangan pukul rata perkara yang penuh dimensi Menelaah isu ini dari kaca mata yang kritis dan berhati-hati menunjukkan bahawa daya tarik seksual tidak semudah yang biasanya dibayangkan. Contohnya, seorang yang identiti seksualnya lesbian tidak akan rasa tertarik kepada setiap orang wanita pada setiap masa. Tarikan seksualnya akan bergantung kepada faktor-faktor lain, bukan sahaja setakat orang itu juga seorang wanita. Sama juga dengan seorang lelaki yang gay. Dia tidak semestinya tertarik kepada orang lelaki semata-mata dia seorang lelaki. Ada faktor-faktor lain yang akan memikat perhatiannya, mungkin di dalam cara tutur bahasanya, mungkin dia tertarik dengan pemikiran yang sama tentang imperialisme Negara Amerika, dan banyak lagi faktor-faktor lain.         unnamed ]]>